2,054km, 5 hari! Konvoi Bermotosikal Jelajah Malaya Sahoca!
Published bySEMANGAT setiakawan dari zaman sekolah dan persahabatan yang tidak pernah putus mendorong mereka melakukan perjalanan sejauh 2,054 km selama 5 hari 4 malam sempena menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-63 dengan Konvoi Bermotosikal Jelajah Malaya Sahoca Bikers 90 - 2020. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan kemerdekaan:
https://kitareporters.com/search?search=kemerdekaan
Kemerdekaanlah yang membawa mereka ke mercu kejayaan dengan memiliki pendidikan dan berjaya mengejar impian untuk berjaya dalam hidup dan seterusnya berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Maka. semangat yang ditunjukkan oleh sekumpulan bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar, Kedah dalam misi Konvoi Bermotosikal Jelajah Malaya Sahoca Bikers 90 - 2020 sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 ini patut menjadi inspirasi kepada bekas pelajar lain untuk berbuat aktiviti atas nama setiakawan dan jati diri.
Dengan perjalanan sejauh 2,054km selama 5 hari 4 malam konvoi ini telah melalui 11 negeri dan singgah di beberapa tempat untuk melakukan aktiviti santai dan CSR.
"Konvoi Bermotosikal Jelajah Malaya Sahoca Bikers 90 Tahun 2020 telah memulakan perjalanan pada 19 Ogos lalu dan berakhir 23 Ogos 2020," kata ketua Konvoi Ahmad Zahir Hamzah.
Dilepaskan oleh Yusri Bappu, Pengetua Kolej Sultan Abdul Hamid, Konvoi ini disertai 23 orang bekas pelajar KSAH 1990 termasuk dua bekas guru Cikgu Shafferi Rejab, 64, dan Cikgu Mazlan Abdullah, 62.
"Kalau dahulu kami berada dalam bilik darjah mendengar mereka mengajar, dalam konvoi ini kami sama sama boleh bermotosikal dan bergurau serta bertukar pendapat serta berbuat aktiviti kemasyarakatan dengan cikgu seperti masih berada dalam bilik darjah," tambah Ahmad Zahir.
Selain meraikan hari kemerdekaan, konvoi juga turut menjejaki sahabat-sahabat lama dalam dari Persatuan Pelajar-Pelajar Tua Kolej Sultan Abdul Hamid (Sahoca) sepanjang dalam perjalanan untuk menyambung kembali silaturrahim setelah berpuluh-puluh tahun tak berjumpa selepas sekolah.
"Banyak pengalaman yang kami dapat dalam perjalanan kali ini terutama dalam melihat kehidupan masyarakat setempat yang kami singgah. Juga pertemuan semula dengan rakan rakan sekelas yang sudah lama tak berjumpa. Ia satu pengalaman manis dan sangat berharga," ujar Ahmad Zahir.
Malah konvoi bersama rakan sekolah turut meniup semangat jati diri, setiakawan serta semangat cintakan negara.
"Dalam konvoi ini juga kami dididik untuk saling membantu antara satu sama lain, bekerjasama dan sentiasa menjaga ukhwah," ujar Ahmad Zahir lagi.
Menurut Ahmad Zahir, aktiviti konvoi ini akan diteruskan setiap tahun sempena Hari Kemerdekaan dan berharap lebih ramai bekas pelajar dan ahli Sahoca 90 akan menyertainya.
" Insya-Allah, kami akan berusaha menambah baik mana yang kurang dalam konvoi ini terutama dalam mengadakan aktiviti dengan masyarakat setempat yang kami singgah dalam perjalanan, " kata Ahmad Zahir lagi.
Turut menyertai konvoi adalah bekas pelari kebangsaan, Romzi Bakar, yang mula mewakili negara dalam Sukan SEA 1991 ketika berusia 16 tahun dan memenangi pingat emas pada Sukan SEA Jakarta 1997. - KitaReporters