Empat bahasa dalam sebuah lagu, “Together We Stand’, begitulah yang dapat dihayati pendengar pada karya Amy Bong dan Zimi Sofazr yang dicipta khas sempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini Khamis, 16 September 2021.

Terbitan Kumpulan Sri Ternak dengan kerjasama Rocketfuel Entertainment, ‘Together We Stand’ membariskan artis-artis muda terdiri daripada pasangan suami isteri, Syamel & Ernie Zakri bersama  gadis dari Utara, Masya Masyitah, rapper Lil J, penyanyi baharu, Abigail Chew serta Naib Johan AJL33, Ara Johari.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Hari Malaysia


“Lagu ini melahirkan rasa semangat perkauman yang sangat unik kerana dalam satu lagu kita  dapat dengar pelbagai bahasa dan bangsa bergabung dengan penuh keharmonian.” kata Ernie Zakri sambil diakui Syamel dan teman seperjuangannya Ara Johari yang turut rasa teruja dapat kembali bekerjasama dalam lagu genre sedemikian.

Malah bagi Masya Masyitah yang petah berbahasa Cina, penampilannya dalam lagu berkenaan dianggap mampu menyerlahkan lagi kebolehannya bertutur dalam bahasa Mandarin.

“Saya amat gembira dipilih bersama menyampaikan lagu ini dalam bahasa Mandarin apatah lagi melodinya sangat rancak, senang didengar dan mudah diingati,” komen juara Yippi Star Quest 2020  yang menewaskan 3,000 peserta seluruh Asia itu.


Lil J bersama Masya Marshitah dan Abigail (kiri). - Foto kredit: Instagram @liljgram.

Seperti Masya, tidak lupa juga pujian perlu diberikan kepada rapper muda dari Subang Jaya, Lil J yang berpeluang untuk rap di dalam bahasa Tamil dan bahasa Inggeris melalui ‘Together We Stand’.

“Saya sangat teruja sepanjang proses pembikinan lagu dan video ini kerana dapat bekerjasama artis-artis terkenal tanah air dan rasa terharu kerana terpilih dalam menjayakan lagu ini,”  kata Lil J atau nama sebenarnya, Rvijay Raj.

Seorang lagi penyanyi baru  berusia 21 tahun yang membarisi projek ini, Abigail tidak melepaskan peluang menonjolkan bakat nyanyiannya. 

“Lagu ini mampu menanamkan lagi semangat keharmonian sesama rakyat yang berbilang bangsa dan agama,” ujar Abigail.

Pendek kata, secara keseluruhannya kesemua artis yang menyanyikan lagu merdeka ini berpendapat idea sebenar penciptaan lagu “Together We Stand” ini adalah untuk mengeratkan hubungan warga syarikat. 



Selain itu, ia sekali gus dapat merapatkan semua kaum di Malaysia, berdiri bersama-sama, menyanyi lagu yang sama, ke arah yang sama. 

Malah, sebagai salah seorang daripada Lembaga Pengarah Kumpulan Sri Ternak selaku penerbit bersama Dato Raymond Ho, Alan Ho dan  Williem Ho, pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor sependapat dengan rakan-rakan usahawannya itu bahawa lagu ‘Together We Stand’ tepat diperkenalkan pada kala negara berdepan pandemik COVID-19 yang menyebabkan ekonomi murung sehingga semua lapisan masyarakat terkesan.

“Sempena sambutan Hari Malaysia ini, kami dari Sri Ternak Group dan ST Rosyam Mart serta ST Rosyam Wholesale Express sangat teruja melancarkan lagu berkenaan,” kata Rosyam.

Harapan mereka, semoga lagu ini mampu menjadi pemangkin semangat rakyat Malaysia agar jadi lebih bertenaga dalam mengharung hari hari yang mendatang serta bersatu menjadi ‘Keluarga Malaysia’ yang lebih berjaya. - KitaReporters


12
14
0
8
0

Copy Link: