Simpang masuk ke kawasan perkampungan Felda Tenang, Labis di Johor.


Pintu gerbang di jalan masuk ke kawasan penempatan penduduk di Felda Tenang, Labis.


IBU bapa di kampung pastinya berasa sedih kerana kemungkinan terpaksa "berkurung" sekali lagi tanpa kepulangan anak cucu ketika menyambut kedatangan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi. 

Namun bagi peneroka Felda, pengumuman kerajaan untuk melupuskan sebahagian besar hutang peneroka Felda di seluruh negara mungkin mampu mengubat sedikit kesedihan mereka. 

Tinjauan di Felda Tenang, Labis mendapati rata-rata peneroka yang ditemui menyambut baik berita gembira tersebut yang disifatkan sebagai hadiah sempena hari raya korban pada tahun 2021 ini. 

Namun terdapat juga dalam kalangan mereka yang masih ragu dengan perkhabaran tersebut dan hanya yakin kesahihannya seleoas mendapat penjelasan daripada pihak pengurusan Felda. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Felda


Zolkapali Samad


Zolkapali Samad menunjukkan penyata baki hutangnya selepas pelarasan dibuat.


Apa tidaknya, jumlah hutang yang dilupuskan bukan sedikit, malah mencecah puluhan ribu bagi setiap peneroka membuatkan mereka berhati-hati untuk terus mempercayai berita tersebut. 

Zolkapali Samad, 57, generasi kedua Felda Tenang yang menguruskan  ladang dan rumah selepas kedua-dua orang tuanya meninggal dunia sementara satu-satu adik beradiknya menetap di Singapura pada awalnya turut kurang yakin dengan berita tersebut. 
"Namun selepas ke pejabat untuk mendapatkan kepastian,  ternyata berita itu benar dan melalui  penerangan pegawai Felda, saya dimaklumkan sejumlah RM75,000 daripada RM110,000 hutang saya dilupuskan.
"Hutang tersebut adalah hutang tanaman semula pokok kelapa sawit yang meliputi kerja pembersihan tapak,  anak benih, upah tenaga kerja dan baja selain bantuan sara hidup sepanjang tempoh kebun belum mengeluarkan hasil," katanya.
Menurutnya, pelupusan jumlah hutang yang banyak itu secara tidak langsung akan turut mengurangkan jumlah bayaran yang perlu dibuat setiap bulan. 
Selain tempoh bayaran balik semakin pendek, peneroka akan mempunyai baki tunai yang lebih banyak setiap bulan berbanding apa yang diperolehi sebelum ini. 

Nasaruddin Mohd. Jadan


Sementara itu seorang lagi peneroka, Nasaruddin Mohd Jadan, 75, turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan yang disifatkannya telah membuat keputusan tepat dalam usaha membela nasib peneroka Felda yang turut terjejas ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Katanya jika tiada bantuan daripada kerajaan untuk melupuskan baki hutang peneroka yang berjumlah ratusan ribu ringgit itu kemungkinan peneroka yang kebanyakannya sudah lanjut usia tidak sempat melunaskan kesemua hutang tersebut yang memerlukan tempoh belasan tahun untuk diselesaikan. 
Perkembangan terbaharu ini akan memberi peluang kepada peneroka terutama yang sudah lanjut usia sepertinya "menikmati" hari-hari tanpa hutang, sekali gus menerima hasil kebun mereka sepenuhnya tanpa pemotongan bayaran balik hutang. 

Bangunan pejabat pentadbiran Felda Tenang, Labis, Johor.


Kerajaan sebelum ini bersetuju melupuskan sebahagian hutang peneroka merangkumi empat jenis baki pinjaman sehingga 31 Disember 2019 yang dianggarkan berjumlah RM8 billion dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 90,000 peneroka Felda meliputi 82 peratus daripada 112,638 peneroka di seluruh negara. 

Empat jenis baki pinjaman yang diberi pelarasan tersebut adalah sebahagian pinjaman tanam semula berjumlah RM8 bilion dan baki pinjaman baja berjumlah RM168 juta

Selain itu turut dilupuskan sepenuhnya ialah baki pinjaman FGV Holdings Berhad sehingga 7 Julai 2021 bernilai RM78 juta serta baki pinjaman pembangunan asal sebanyak RM56 juta

Dengan adanya pelarasan tersebut, purata bayaran balik pinjaman sekitar RM800 hingga RM1,000 sebulan sebelum ini akan berkurangan kepada RM300 sebuan bagi peneroka kelapa sawit dan RM150 bagi peneroka getah. -   KitaReporters

Kebun kelapa sawit milik peneroka Felda Tenang, Labis, Johor.

0
1
0
0
0

Copy Link: