Nasi Lemak Ikan Aya Cik Su hanya RM1! Usaha Faez, Rahmah untuk bantu diri, penduduk tempoh PKP!

Published by
KitaReporters

Mohamad Faez Zakaria menyusun nasi lemak ikan aya RM1 mengikut tempahan yang diterima. - Kredit foto: Speed Media.


SEPASANG suami isteri putus akal untuk meneruskan perniagaan apabila beberapa kali berniaga menjual pelbagai makanan serta membuka kafe siber mengalami kerugian berikutan pandemik Covid-19 sejak setahun lalu.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung wabak Covid-19 menambahkan lagi masalah mereka untuk bertahan dalam perniagaan itu sehingga terpaksa mencari alternatif lain.

Tiada pilihan lain kecuali terus berusaha mencari jalan keluar daripada kekangan ekonomi, Rahmah Kamruzaman, 28,  dan suaminya Mohamad Faez Zakaria, 31, lalu bersepakat untuk mencuba sesuatu yang boleh membantu diri dan orang lain di Bachok, Kelantan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan nasi lemak


Rahmah berkata, bermula PKP 1.0 dan 2.0 dia dan suami terpaksa menerima hakikat serta banyak belajar daripada kenyataan hidup, wabak Covid-19 mengubah segalanya termasuklah gulung tikar dalam perniagaan kafe siber. 

Menurutnya, ketika sumber pendapatan semakin terjejas dengan pelaksanaan PKP 3.0 yang menambahkan lagi kegusaran hidup dia sekeluarga, beliau serta suaminya akhirnya nekad menjual nasi lemak yang agak berbeza, iaitu nasi lemak ikan aya atau ikan tongkol dan dijual dengan harga RM1 sebungkus.

Beliau berkata, ramai yang beranggapan dia tidak akan bertahan lama dengan menjual nasi lemak itu ditambah pula dengan harga RM1, malah akan menanggung kerugian apabila menjual dengan harga yang terlalu murah.


Nasi lemak ikan aya disusun rapi dalam bakul sebelum di hantar kedai dan gerai kuih-muih sekitar Bachok.


"Saya kena berfikiran positif, kalau kami susah, ada orang lain lagi susah, sampai nak beli makanan dan barangan keperluan harian pun jadi masalah. Daripada harga nasi lemak RM1, saya untung sangat tipis tetapi mampu membantu meringankan beban keluarga yang kesusahan," katanya yang dikenali dengan nama Cik Su.

Suami beliau, Mohamad Faez Zakaria, berkata ketika kebuntuan mencari pendapatan baharu, isterinya mencadangkan mereka jual Nasi Lemak Ikan Aya Cik Su pada harga RM1 sahaja.


Mohamad Faez sedang membungkus nasi lemak ikan aya.


"Pada mulanya memang kami berdepan banyak rintangan juga, kerana terpaksa meletakkan nasi lemak ini di kedai makan dan gerai menjual kuih-muih sekitar Kampung Perupok antara 30 dan 40 bungkus sehari.

"Bagaimanapun agak malang apabila berbelas-belas bungkus tidak habis dijual setiap hari. Berikutan itu kami mengambil keputusan untuk membuat jualan secara COD dan adik-beradik pula membantu membuat viral dalam Facebook (FB)," katanya.  

Beliau berkata, akhirnya idea menjual secara COD itu adalah langkah yang tepat ketika PKP dan kini mereka dapat membuat jualan menerusi dalam talian lebih 300 bungkus sehari


Mohamad Faez mengecap jenama nasi lemak ikan aya pada kertas bungkusan.


Menurutnya. Walaupun terpaksa bangun seawal jam tiga pagi untuk memasak serta membungkus nasi lemak berkenaan tetapi kepenatan mereka berbaloi dan amat bersyukur kerana perniagaan menjual nasi lemak ikan aya itu semakin berjaya dan menambat hati penduduk sekitar Bachok. 

“Selain memenuhi tempahan COD, saya tetap meneruskan meletak nasi lemak ini di kedai atau gerai menjual kuih-muih yang secara tidak langsung turut berkongsi rezeki dengan peniaga lain,” kata Mohamad Faez.

Mereka yang ingin membuat tempahan Nasi Lemak ikan Aya Cik Su boleh menghubungi nombor telefon atau WhatsApp 011-1783 1183. - KitaReporters

Rahmah dan Mohamad Faez bersyukur nasi lemak ikan aya mereka mendapat sambutan.

24
0
0
0
0

Copy Link: