Gambar hiasan... Kerajaan Terengganu bercadang untuk membuka kaunter suntikan vaksin Covid-19 di masjid di setiap Dun


BAGI memudahkan para penerima mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, Kerajaan Negeri Terengganu berhasrat untuk membuka kaunter suntikan berkenaan di masjid-masjid terpilih.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, berdasarkan perancangan kemudahan kaunter itu akan dibuka di sebuah masjid bagi setiap kawasan dewan undangan negeri (Dun).

“Kita sedang berusaha untuk laksanakannya kerana banyak perkara perlu diberi perhatian. Kita perlu atasi masalah kekangan sumber manusia kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk realisasikan cadangan ini.

“Mereka telah banyak tugasan, jaga wad hospital dan bertugas di pusat kuarantin, jadi kita perlu mendapatkan bantuan badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta jika bagi buka kaunter suntikan di masjid.

“Hanya empat klinik sahaja setakat ini telah bersetuju berikan kerjasama. Kita telah tawarkan kepada lebih 100 klinik swasta di Terengganu jadi ejen pemberian suntikan vaksin Covid-19,” katanya dipetik Astro Awani, 2 Jun 2021.

Terdahulu, kira-kira 10,000 individu mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 gagal hadiri sesi janji temu vaksinasi dan rata-rata  memberi alasan terlupa tarikh janji temu selain tiada kenderaan untuk pergi ke pusat pemberian vaksin ditetapkan. -KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter


0
0
0
0
0

Copy Link: