Yob! Kipidap dan dongibab! Berjuang hingga perlawanan terakhir! Serap semangat Seladang 2014!
Published byKredit video: Perak FC
KEADAAN terdesak dihadapi Perak FC sekarang mengingatkan kembali jurulatih, Abu Bakar Fadzim pada episod yang pernah dilalui oleh pasukan itu pada musim 2014 lalu.
Malah, menurut Abu Bakar, pengalaman 2014 itu memberi keyakinan kepada dirinya bahawa Perak masih berpeluang untuk kekal dalam Liga Super meskipun mereka kini berada dalam zon penyingkiran dengan baki tiga perlawanan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Perak FC
Abu Bakar dan Weigang, dua watak utama yang menyelamatkan Perak daripada jatuh ke Liga Perdana pada musim 2014.
“Dalam bola sepak segala-galanya serba berkemungkinan. Selagi belum tamat pertandingan, tidak ada istilah angkat ‘bendera putih’. Macam-macam boleh berlaku.
“Lagi pun ini bukan pertama kali Perak berada dalam situasi sedemikian. Kami pernah lalui keadaan sama pada 2014, hampir tersingkir ke Liga Perdana tapi akhirnya bangkit dalam dua perlawanan terakhir untuk kekal dalam Liga Super,” kata Abu Bakar.
Menurut Abu Bakar, keadaan Perak ketika itu boleh diibaratkan ‘bagai telur di hujung tanduk’ apabila mereka menduduki tangga ke-11 dengan hanya berbaki dua perlawanan. Kegagalan mengutip mata maksimum dalam baki aksi itu bakal menghumban mereka ke Liga Perdana.
Skuad Perak 2014. - Kredit foto: Perak Today.
Saya dan Weigang duduk berbincang, merangka strategi di samping memotivasikan pemain untuk berdepan Singapura."
Sebagai jurulatih, Abu Bakar mengakui situasi itu menyebabkan beliau tidak dapat tidur malam apabila menerima tekanan daripada penyokong yang tidak rela melihat Perak jatuh ke Liga Perdana.
“Dua perlawanan terakhir yang bakal kami hadapi ketika itu pula bukan dengan calang-calang pasukan, iaitu Singapura dan Pahang.
“Kami menghadapi situasi hidup atau mati apabila turun menentang Singapura di tempat mereka. Ketika itu, kami tidak mempunyai pilihan kecuali menang. Seri atau kalah akan menutup peluang kami untuk kekal dalam Liga Super walaupun masih berbaki satu perlawanan.
“Saya selaku jurulatih dan (Karl Heinz) Weigang sebagai pengarah teknikal duduk berbincang, merangka strategi di samping memotivasikan pemain untuk berdepan Singapura.
“Ternyata dengan taktikal yang betul serta semangat dan kesungguhan pemain, kami berjaya menewaskan Singapura 2-0, sekali gus menghidupkan semula peluang untuk kekal dalam Liga Super.
Pemain import, Milan Purovic dijulang oleh penyokong Perak selepas pasukan itu mengalahkan Pahang 3-0 pada perlawanan terakhir musim 2014, untuk kekal dalam Liga Super. - Kredit foto: Perak Today.
“Apabila berdepan Pahang dalam perlawanan terakhir di Ipoh, kami menang 3-0, sekali gus melonjakkan Perak dari tangga ke-11 ke tangga ke-9 dan menyelamatkan pasukan itu daripada jatuh ke Liga Perdana.
“Saya masih ingat, penyokong meraikan kemenangan itu seolah-olah kami memenangi piala kerana terlalu gembira,” imbas Abu Bakar.
Justeru, menurut Abu Bakar, beliau yakin perkara yang sama boleh diulangi pasukan sekarang jika pemain mempunyai kemahuan yang tinggi untuk melaksanakannya.
“Jangan putus asa, masih ada perlawanan. Lagipun jurang mata Perak dengan pasukan-pasukan di atasnya (Pahang, PJ City dan Melaka) tidak jauh, masih mampu disaingi.
“Saya harap mereka menjadikan pengalaman kami pada 2014 sebagai panduan dan menyerap semangat itu dalam diri mereka,” kata bekas jurulatih PKNP FC itu.
Pemain-pemain Perak gigih menjalani latihan. - Kredit foto: FB Perak FC
Perak kini menduduki tangga ke-11selepas mengutip 13 mata hasil tiga kemenangan, empat seri dan 11 kekalahan daripada 19 perlawanan sambil Melaka setangga di atas dengan 16 mata. Pahang dan PJ City pula mempunyai 18 mata.
Terbaharu, The Bos Gaurus tewas 0-3 kepada Selangor di Stadium Ipoh, Perak, pada Sabtu, 21 Ogos, 2021. Mereka akan menentang Kedah, Melaka United dan Sabah untuk melengkapkan jadual musim ini.
Sejak Liga Super diperkenalkan pada 2004, Perak adalah satu-satunya pasukan yang tidak pernah tersingkir ke Liga Perdana, satu rekod yang menjadi kebanggaan penyokong mereka.
Namun, perjuangan pasukan itu musim ini serba tidak menjadi yang menyaksikan jurulatih, Mehmet Durakovic meninggalkan pasukan itu sebelum sepak mula musim 2021, digantikan oleh Chong Yee Fatt.
Kemelut gaji yang melanda pasukan itu menyaksikan lima pemain utamanya iaitu Shahrul Saad, Guilherme de Paula, J Partiban, Kenny Palraj dan Nazirul Naim Che Hashim angkat kaki ke pasukan lain pada pertengahan musim.
Shahril Nizam (kanan) bersama pembantunya merangka strategi menghadapi baki tiga perlawanan bagi memastikan Perak kekal dalam Liga Super 2022. - Kredit foto: Perak FC.
Akibatnya, prestasi Perak merudum sehingga memaksa pengurusan merehatkan Yee Fatt dan tugasnya diambil alih oleh penolong jurulatih, Shahril Nizam Khalil. Namun selepas tiga perlawanan di bawah kendalian jurulatih muda itu, The Bos Gaurus belum mencapai kemenangan selepas turut dikalahkan Penang FC 5-3 dan UiTM 2-0.
Mungkin, selain menyerap semangat skuad 2014 sebagaimana dikatakan Abu Bakar, Perak FC juga perlu meminjam ungkapan keramat Abdul Rani Kulup Abdullah, ‘Kipidap! Dongibab!’ untuk menaikkan semangat juang mereka! - KitaReporters
Kredit foto: FB Perak FC