Perebutan Anugerah SAM-100PLUS 2019? Atlet senior vs junior?
Published byPEMENANG pingat emas acara badminton perseorangan wanita di Sukan SEA 2019 S. Kisona antara calon bagi merebut Anugerah Atlet Terbaik pada Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100PLUS 2019, daripada lima atlet yang berada dalam senarai pendek. : KitaReporters
- Lagi cerita-cerita berkaitan sukan:
- https://kitareporters.com/tag/sukan
Dalam satu kenyataan media, SAM menyebut, kejayaan yang telah dicipta oleh pemain kelahiran Negeri Sembilan ini ternyata di luar jangkaan tatkala tidak ramai yang menjangkakan beliau bakal menaiki podium selaku pemenang pingat emas, sekali gus mempertahankan gelaran untuk kali kedua berturut- turut untuk negara selepas Goh Jin Wei melakukannya pada 2017 di Malaysia.
Malah, beliau menundukkan beberapa pemain yang jauh lebih berpengalaman dan ranking lebih tinggi termasuk pilihan kedua dari Thailand, Nitchaon Jindapol yang berada di ranking ke-22 dunia ketika itu di pentas separuh akhir pastinya menjadi kenangan paling manis buat Kisona.
Namun, beliau perlu bersaing sengit kerana turut berada dalam senarai adalah ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi.
Bumi Manila menjadi saksi kepada kejayaan Farah Ann yang cemerlang meraih tiga pingat emas di temasya Sukan SEA 2019 Filipina. Farah menaiki podium selaku pemenang pingat emas menerusi acara individu keseluruhan, palang bertingkat dan senaman lantai.
Sukan wushu juga cemerlang menerusi Loh Choon How yang turut menyerlah sepanjang 2019. Kejayaan menaiki podium di Kejohanan Dunia pada Oktober tidak terhenti setakat itu apabila berjaya meraih dua pingat emas di pentas Sukan SEA ke 29. Kesakitan diketepikan demi nama Malaysia dibalas dengan kilauan dua pingat emas menerusi acara taijiquan dan taijijian.
Kelibat jaguh keirin negara, Mohd Azizulhasni Awang juga tidak boleh diketepikan sebagai calon apabila muncul juara di Kejohanan Basikal Trek Siri Dunia di New Zeland dengan menewaskan bekas juara dunia, Shane Perkins dari Rusia dan juara dunia kelahiran Australia, Matthew Glaetzer. Nama anak jati Terengganu ini antara yang dilihat sebagai prospek pingat di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Atlet berusia 22 tahun, Julian Yee juga tersenarai bagi calon Anugerah Atlet Terbaik selepas berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara luncur ais untuk kali kedua berturut turut selepas melakukannya ketika di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.
Sementara itu, bagi Anugerah Atlet Para Terbaik 2019 pula, kejayaan atlet kelahiran Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin yang menggegar bumi Kazakhstan apabila muncul pemenang pingat emas di Kejohanan Dunia Para Powerlifting bagi kategori Bawah 65 kg menyaksikan namanya berada di dalam senarai. Beliau melakukan angkatan 190 kg dan gagal dicabar mana-mana peserta lain.
Bonnie bagaimanapun berdepan tentangan sengit dua atlet memanah para negara. S Suresh menaiki podium selaku juara di Kejohanan Memanah Para Dunia pada Jun tahun lalu di Hertogenbosch, Belanda. Malah, beliau turut mengukir nama sebagai atlet para negara yang layak beraksi di pentas Paralimpik Tokyo 2020 di atas kejayaannya itu.
Beliau akan ditemani Wiro anak Julin yang muncul juara di Kejohanan Menanah Para Asia di Bangkok, Thailand yang turut sama tercalon dalam anugerah ini.
Melengkapkan senarai pencalonan Anugerah Atlet Para Terbaik 2019 adalah Muhd Ziyad Zolkefli yang meraih pingat perak pada Sukan SEA ke 30, Manila. Catatan 17.03 meter memastikan namanya dipahat selaku pemenang pingat perak untuk berada di belakang atlet tuan rumah, William Morrison III yang mencatat 18.38 m.
Pemenang kedua-dua anugerah utama ini akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi pada Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100PLUS 2019 yang dijadual berlangsung pada 12 Ogos 2020 di Auditorium Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun 2019, turut dirai pada majlis Anugerah SAM-100PLUS adalah wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50, 000 pada majlis Anugerah SAM-100PLUS kali ini.
Anugerah dibahagi kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.
Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM RM7,000 berserta trofi.
Majlis Anugerah Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100PLUS 2019 dijangka dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican.
Presiden SAM, Jasni Shafie, berkata meskipun Malaysia sedang ‘resah’ susulan pandemik Covid -19 yang melanda negara sejak Mac 2020 lalu, SAM tetap komited untuk menganjurkan majlis ini selepas kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan menerusi perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan majlis atau acara dilangsungkan pada skala yang kecil.
"Barisan Exco SAM akan memastikan segala peraturan terutama penjarakan fizikal dan aspek-aspek lain dipatuhi sepenuhnya bagi mengelakkan jangkitan Covid -19 berlaku,” kata Jasni dalam kenyataan media tersebut.
Pengeluar minuman isotonik terkemuka di Malaysia, 100PUS memainkan peranan yang penting dan menjadi rakan kongsi utama majlis anugerah ini. Turut hadir di majlis sidang media Anugerah SAM – 100PLUS 2019 Pengurus Pemasaran dan Pengaktifan 100PLUS, Engku Isyamuddin Tuan Losin dan Konsultan F&N Datuk Kamal Harun. - KitaReporters
SENARAI ATLET TERBAIK SAM :
1995 - Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton)
1996 - Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton)
1997 - Nurul Huda Baharin (menembak)
1998 - Lim KengLiat (renang)
1999-2001 - TiadaAnugerah
2002 - Lim Keng Liat (renang) dan S. Premila (karate-do)
2003 - Lim Keng Liat (renang)
2004 - Bryan Nikson Lomas (terjun)
2005 - Nicol Ann David (skuasy)
2006 - Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton)
2007 - Wong Mew Choo (badminton)
2008 - Lee Chong Wei (badminton)
2009 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal)
2010 – Pandelela Rinong (terjun)
2011 – Nur Suryani Taibi (menembak)
2012 – Pandelela Rinong (terjun)
2013 – Sazali Samad (bina badan)
2014 - Nicol Ann David (skuasy)
2015 – Pandelela Rinong (terjun)
2016 - Lee Chong Wei (badminton)
2017 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal trek)
2018 – Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling
ATLET PARALIMPIK TERBAIK SAM:
2016 – Mohd Ridzuan Mohd Puzi (olahraga)
2017 – Muhd Ziyad Zolkefli (olahraga)
2018 - Mohd Ridzuan Mohd Puzi (olahraga)