TV AlHijrah teruskan kempen Jom Vaksin! Ajak rakyat ikhtiar dan tawakal! Hadir ke janji temu!
Published bySudahkah anda menerima suntikan vaksin bagi memerangi wabak COVID-19?
Atau masih ragu-ragu disebabkan pelbagai salah tanggapan, salah faham serta teori konspirasi yang tersebar luas dalam media sosial sedangkan pelbagai usaha telah dilaksanakan pihak kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 pada ketika ini, termasuk melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Amatlah malang sekali jika anda terpengaruh dengan dakyah-dakyah tidak berasas sedemikian pada hal tidak cakna akan peri pentingnya suntikan vaksin bagi mewujudkan imuniti kelompok sebagai usaha memerangi wabak COVID-19.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan TV AlHijrah
Sehubungan itu, rangkaian televisyen Islam, TV AlHijrah, akan meneruskan 'Kempen Jom Vaksin' yang telah dilaksanakan bermula 26 Mei 2021 lalu sehingga pada penghujung Jun 2021 ini.
Menggunakan tema 'Jom Vaksin: Ikhtiar dan Tawakal', kempen berkenaan bersifat memujuk serta memberi ilmu kepada orang ramai terutama warga emas dan mereka yang berada di luar bandar untuk tidak mensia-siakan peluang suntikan vaksin.
“Anda telah mendaftar, maka ayuh sama-sama pastikan kita hadir pada waktu yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV),” seru Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris (gambar bawah).
Menurutnya, kempen tersebut merupakan satu kesedaran yang bertujuan menjernihkan salah tanggap masyarakat serta menyeru mereka terutama warga emas untuk hadir ke janji temu suntikan vaksin COVID-19.
“Insya-Allah, kita akan lanjutkan kempen ini ke bulan seterusnya sekiranya ia memberi impak positif kepada masyarakat,” tambah Namanzee yakin.
Sambung beliau, TV AlHijrah percaya bahawa suntikan vaksin Covid-19 adalah antara ikhtiar yang bertepatan dengan Maqasid Syariah serta selari dengan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.
‘Kempen Jom Vaksin’ dilaksanakan secara holistik dan bersifat 360 darjah dengan menggunakan dua inisiatif utama.
Inisiatif pertama adalah menerusi program-program istimewa yang disiarkan di platform televisyen. TV AlHijrah membariskan pelbagai program istimewa yang mempunyai DNA penting iaitu peringatan buat masyarakat untuk hadir ke janji temu vaksinasi.
“Antara program-program tersebut adalah Analisis, My #Qurantime, E-Kaunter Netizen Versi PKP, Al-Istibyan, Dengar, Assalamualaikum, Kapsul Wabak, Keluarga dan Berita AlHijrah,” jelas Namanzee.
Selain itu, TV AlHijrah juga bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menyiarkan Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA), rerayap, dan video pendek tentang program vaksinasi.
Tambah Namanzee. kempen ini mendapat sokongan beberapa pendakwah tempatan yang berbesar hati memberikan kata-kata sokongan dan suntikan semangat agar masyarakat hadir pada sesi vaksinasi bagi mewujudkan imuniti kelompok menjelang penghujung tahun 2021.
Antaranya adalah Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali (Pengerusi Dewan Dakwah), Ustaz Husaini Mahmur (Johan Tilawah Al-Quran Remaja), Dato’ Ustaz Badli Shah Alauddin (Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan), Prof Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi (Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia), Ustaz Roslan Mohamed (Mantan Pensyarah Kanan di Universiti Malaya) dan Ustazah Asma’ Harun (Pendakwah Bebas, gambar bawah).
Selain itu, majlis bacaan Yasin, Al-Kahfi dan Al-Mulk juga dianjurkan setiap hari, jam 5.30 pagi dan 4.30 petang bagi mendoakan kesejahteraan negara serta seluruh rakyat Malaysia.
Paling istimewa, TV AlHijrah turut melancarkan lagu tema buat kempen ini, berjudul ‘Pada-Mu Tuhanku’ nyanyian kakitangan TV AlHijrah iaitu Norkamal Azhary Ahmad yang dimainkan setiap hari di kaca televisyen sebagai pembakar semangat untuk rakyat Malaysia berjuang melawan COVID-19.
Inisiatif kedua pula adalah melalui platform media sosial di mana TV AlHijrah memperkemaskan kandungan media sosialnya seperti Instagram, Facebook, portal AlHijrahnews.com dan portal gaya hidup HBit.
“Pelbagai poster, artikel serta video seruan dari sudut pandang para agamawan dan pakar perubatan yang memberi penjelasan menyeluruh tentang vaksin Covid-19 akan dimuatnaik setiap hari,” tambah Namanzee.
Jadi ayuh sama-sama kita jadikan TV AlHijrah ladang ilmu sepanjang PKP 3.0 ini dilaksanakan dan sama-sama menontonnya untuk informasi terkini mengenai program vaksinasi. - KitaReporters