APABILA ekonomi dunia diramalkan akan merudum selama beberapa tahun berikutan wabak  COVID-19, itu tentunya bukan omongan. Sehingga kini entah berapa banyak syarikat tempatan mahupun antarabangsa menutup operasi, yang tidak perlu disebut satu persatu. : KitaReporters


Berjaya Tioman Chalet. - Kredit foto: TripAdvisor


Industri pelancongan antara teruk terkesan!! 

Terkini sebuah syarikat pelancongan dikenali, Berjaya Tioman Resort yang sudah beroperasi selama 50 tahun dilaporkan akan ditutup sepenuhnya bermula 15 Jun 2020, berikutan terkesan dengan penularan COVID-19.

Berita ini menjadi bahan laporan media arus perdana dan sosial, bersumberkan petikan daripada satu kenyataan rasmi oleh pihak Pengurusan Kanan syarikat itu, sehari dua ini.

Apa pun, warga syarikat itu bernasib baik kerana menurut kenyataan itu, semua kakitangan resort yang akan diberhentikan akan diberi pampasan sewajarnya membabitkan kos RM8 juta.

Pusat Taman Laut Pulau Tioman


Membaca berita ini, lantas terimbau kenangan manis sewaktu bertamu di Berjaya Tioman Resort sekitar tahun 90-an, bersama sekumpulan wartawan yang dijemput menyertai percutian sempena Tahun Melawat Malaysia. Tahunnya dah lupa.

Yang kekal di ingatan ialah pengalaman menginap, dan kenangan menyertai aktiviti yang disediakan. 

Hari pertama dalam kunjungan dengan pesawat ke pulau itu, melihat hidupan di alam laut melalui pelayaran dalam kapal ala submarine, di mana tempat duduk penumpang berada di bawah permukaan air.

Melalui tingkap lut sinar, kami dapat menghayati keindahan alam laut dan melihat pelbagai jenis ikan yang beraneka bentuk, saiz dan warna, ada yang berenang pantas, ada yang perlahan dan melintuk liuk bagaikan mengatur langkah tarian, ada bersendirian dan ada yang bergerak berkumpulan,  

Bot pelayaran yang membawa penumpang untuk kegiatan melawat pulau dan snorkeling.


Seingat penulis, kami menaiki kapal ala submarine kerana tempat duduk penumpang berada di dalam air dan melalui tingkap kaca telus pandang, dapat menilai kehebatan Pencipta melalui pemerhatian pergerakan ikan-ikan, penyu dan hidupan lain di dala laut.

Hari kedua, kami dibawa berlayar dengan bot untuk kegiatan snorkeling, melihat ikan dan terumbu karang. 

Kali pertama melihat terumbu hidup yang berwarna-warni, bergerak melambai dengan ikan kelihatan berenang di celah-celahnya memang sungguh teruja. 

Pergi ke beberapa pulau lain kemudian daripada itu, termasuk juga di Tioman, tidak terjumpa semula pemandangan karang seindah itu. 

Kebanyakan terumbu di kawasan ramai pelancongan dikatakan mati, betullah kebanyakan sudah kaku, tiada seri dan warna lagi.

Persinggahan di salah satu kawasan snorkeling.


Satu lagi pengalaman tidak kurang menarik, aktiviti berkuda, tidak dapat bayangkan bagaimana kami masing-masing boleh menunggang kuda dengan sendiri, setelah diajar bagaimana untuk membuat kuda berjalan dan berhenti.

Apatah lagi, menunggang dari kawasan lapang hingga memasuki trek hutan berbukit, tidak boleh lupa cabaran mendebarkan yang ingat sampai sekarang, apabila kuda menuruni bukit, badannya condong di bahagian kepala terasa mahu tercampak ke depan, lalu mengemaskan tangan pada pemegang, dan akhirnya selamat menunggang sehingga tempat mula menunggang.

Leka snorkeling, teruja melihat ikan dan terumbu di dasar laut.


Sangat-sangat menyeronokkan, teruja, tidak percaya bagaimana boleh melalui semua itu, masih terbayang jelas di ingatan, dan aktiviti terakhir yang tidak kurang menarik ialah menunggang jet ski, sehingga puas.  

Sayang gambar kenangan di Pulau Tioman dalam kunjunga bersama gurp media dulu, tidak banyak, kalau ada pun gelap almaklumlah tidak seperti zaman sekarang yang senang merakamkan gambar di hujung jari. 

Dipaparkan gambar suasana dan aktiviti di Pulau Tioman sewaktu kunjungan tahun lepas. Juga menyeronokkan, terutama snorkeling.

Banyak kawasan tumpuan snorkeling di Pulau Tioman


Mengenai penutupan itu, kenyataan berkenaan menyebut, "Adalah dengan berat hati diumumkan bahawa Berjaya Tioman Resort akan menghentikan operasinya berkuat kuasa 15 Jun, disebabkan pandemik COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini , yang memberi kesan buruk kepada industri pelancongan."

Difahamkan sepanjang penutupan, pembangunan semula akan dibuat untuk menghidupkan kembali resort berkenaan, yang telah berusia lebih 50 tahun.

Pihak pengurusan akan mempertimbang untuk menawar peluang pekerjaan baharu kepada semua pekerja yang terjejas.

Berjaya Tioman Resort adalah sebahagian daripada portfolia dimiliki Berjaya Land Bhd. 

Di Malaysia, Berjaya Land turut mempunyai resort lain, di Langkawi, Pulau Redang, Bukit Tinggi, serta hotel di beberapa kawasan di Asia dan Eropah.

Syarikat besar menutup operasi, semoga memberi peluang kepada pemain industri pelancongan dalam kalangan orang perseorangan dan penduduk tempatan berkembang.  

Video kenangan dalam kunjungan terbaru di Pulau Tioman, disertakan. - KitaReporters


 

 

1
0
1
1
0

Copy Link: