Berniaga hasil laut Tawau dalam talian! Nurul Ihsan jana pendapatan untuk keluarga masa PKP!
Published byAbdullah Abu Bakar (kiri) membantu isterinya Nurul Ihsan menunjukkan ikan bilis yang siap dibungkus untuk diposkan kepada pelanggan.
BERHIJRAH mengikut suami seorang kakitangan kerajaan yang ditukarkan ke Tawau, Sabah enam tahun lalu membuka peluang kepada seorang suri rumah untuk berjinak dalam perniagaan secara dalam talian yang semakin popular sekarang ini.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan berikutan pandemik Covid-19 sejak setahun lalu, kesempatan itu digunakan sebaik mungkin oleh seorang ibu Nurul Ihsan Nasiruddin untuk menjadi pengedar hasil laut dari Tawau secara dalam talian.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan usahawan
Nurul Ihsan Nasiruddin
Nurul Ihsan yang dihubungi berkata, hasil pergaulan dengan penduduk termasuk jiran tetangga ketika menetap di Taman Ria, Tanjung Baru Darat, Tawau, mereka menggalakkan dia untuk menjadi pengedar hasil laut dari daerah itu yang sukar diperoleh di Semenanjung.
Menurutnya, sebelum berpindah semula ke Semenanjung hujung tahun lalu, dia dan suaminya Abdullah Abu Bakar berbincang dengan pemborong hasil laut di Tawau untuk dilantik sebagai pengedar yang sah bagi memasarkan makanan berkenaan di utara tanah air.
Bungkusan ikan bilis dan udang kering disusun rapi untuk melalui proses penghantaran kepada pelanggan.
Beliau berkata, jika sebelum itu ketika menetap di Tawau dia dan suaminya akan ke tempat pemborong makanan laut untuk membeli sendiri terutama ikan bilis dan udang kering kemudian dibungkus dan diposkan kepada kawan-kawan dan saudara mara yang membuat tempahan.
Katanya, dengan pelbagai platform yang ada sekarang, dia mengambil tempahan daripada orang ramai yang menghubungi melalui telefon dan WhatsApp, kemudian tempahan itu disalurkan kepada pemborong terbabit untuk menghantarkan terus kepada pelanggan.
Ikan bilis dan udang kering yang dibeli terus daripada pemborong akan dibungkus dengan sempurna sebelum diposkan kepada pelanggan.
“Selepas beberapa bulan terbabit dengan perniagaan ini, ia membantu saya meringankan bebanan perbelanjaan keluarga apabila memperoleh sumber pendapatan tambahan selain menyediakan kemudahan kepada orang ramai mendapatkan hasil laut yang berkualiti dan bermutu dari Tawau.
“Perniagaan ini juga memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan ikan bilis, udang kering dan pelbagai makanan hasil laut lain seperti ikan merah dan jenahak masin tanpa bersusah payah keluar rumah untuk ke pasar berikutan kekangan PKP,” katanya.
Bagang yang menjadi tumpuan nelayan di Tawau untuk menangkap ikan bilis termasuk ikan bilis mata biru yang halus dan menjadi pilihan ramai pelanggan.
Nurul Ihsan
berkata, hasil laut dari Tawau memang popular terutama ikan bilis mata biru
yang halus di samping kos untuk menangkap ikan itu tidak terlalu tinggi
berbanding di tempat lain kerana proses tangkapan dilakukan di bagang hanya
beberapa kilometer sahaja dari pantai.
Menurutnya, bagang yang dibina di pesisir pantai itu khusus bagi menangkap ikan bilis yang dikongsi secara bergilir-gilir antara nelayan tanpa perlu mereka keluar jauh ke laut bagi tujuan itu seperti nelayan di negeri lain.
Beliau
berkata, kerana itu harga pasaran ikan bilis termasuk udang kering dan ikan
masin lain masih murah berbanding di tempat lain walaupun dijual secara dalam talian di samping menjadi buah tangan kepada mereka yang datang melancong ke
Tawau sebelum negara dilanda pandemik Covid-19.
Katanya, apabila menerima tempahan dia akan pastikan ikan bilis atau udang kering yang diposkan itu sampai segera kepada pelanggan dalam keadaan sempurna dan mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.
Selain ikan bilis yang berkualiti baik, Nurul Ihsan turut menerima tempahan ikan merah, jenahak dan talang yang masin atau kering.
“Walaupun ikan bilis itu dikelaskan kepada beberapa gred, saya beri jaminan harganya masih murah kerana makanan hasil laut berkenaan diperoleh terus daripada pemborong tanpa melalui orang tengah dan sebagainya.
“Orang ramai juga boleh membuat tempahan untuk mendapatkan ikan masin seperti ikan merah, jenahak dan talang yang turut popular kerana saya akan memenuhi permintaan pelanggan apabila menerima tempahan,” katanya.
Kepada mereka yang berminat mendapatkan hasil laut dari Tawau seperti ikan bilis mata biru, udang kering dan ikan masin boleh menghubungi Nurul Ihsan menerusi telefon atau WhatsApp 013-4034296 dan Abdullah 011-65055225. - KitaReporters