SEBAB mulut badan binasa... Akibat sikap tidak sensitif dan keceluparan memuat naik komen berkenaan protes yang dilakukan oleh masyarakat kulit hitam di Amerika Syarikat (AS), bekas ratu cantik Miss Universe Malaysia 2017, Samantha Katie James teruk dikecam netizen. Ini memaksa Persatuan Miss Universe Malaysia (MUMO) mengeluarkan kenyataan membidas Samantha. : KitaReporters

Kenyataan tidak sensitif Samantha telah mengundang kecaman.


Samantha didakwa meninggalkan komen yang mengundang kontroversi apabila menganggap protes yang dilakukan oleh penduduk kulit hitam sebagai bukti kemenangan masyarakat kulit putih serta menganggap kalangan pemprotes sebagai orang ‘bodoh’. 

“Saya tak tinggal di AS dan ia tiada kena mengena dengan saya. Tetapi bagi saya, ia kelihatan seperti orang putih sudah menang.

“Jika anda marah, anda bertindak balas dalam kemarahan dan penuh penderitaan, ia bermaksud anda telah dikuasai perasaan itu. Mereka sudah menguasai anda,” tulisnya.


Tidak cukup dengan itu, Samantha juga menasihati agar masyarakat kulit hitam supaya tenang dan menganggap apa yang berlaku sebagai cabaran yang menguatkan diri.

“Anda memilih untuk lahir sebagai ‘coloured person’ (kulit berwarna) atas sebab tertentu. Untuk belajar sesuatu.

“Terimalah seadanya. Sehingga sekarang kelaparan dan kemiskinan masih wujud. Ia adalah seadanya. Ia tidak dapat dielakkan.

"Lebih baik anda bertenang, lindungi hati anda, jangan biarkan ia rapuh,” ujarnya.


Kenyataan Samantha itu akhirnya mengundang pelbagai kecaman daripada netizen sehingga membuatkan Persatuan Ratu Universe Malaysia (MUMO) mengeluarkan kenyataan.

Menurut MUMO, mereka sama sekali tidak bersetuju dengan Samantha dan mengambil maklum kenyataan bekas Miss Universe Malaysia itu sebagai tidak wajar, menghina, dan menjengkelkan.

“Kenyataan yang disampaikan Samantha dalam akaun Instagramnya adalah pandangan peribadi, dan tidak mewakili persatuan kami.

"Samantha tidak mempunyai kontrak dengan MUMO dan tidak lagi mewakili persatuan ini sejak Jun 2018,” jelas MUMO.



AS kini bukan sahaja terpaksa berdepan dengan wabak pendemik COVID-19, tetapi juga terpaksa berhadapan dengan bantahan dan tunjuk perasaan yang sudah merebak di seluruh negara Uncle Sam itu.

Tunjuk perasaan tersebut berpunca perasaan tidak puas hati terhadap polis kulit putih yang menggunakan kekerasan melampuan ketika menahan seorang lelaki kulit hitam bernama George Floyd dengan menekan leher mangsa dengan lutut hampir sembilan minit, lalu menyebabkan dia sukar bernafas dan seterusnya meninggal dunia.

Kejadian itu telah dirakam dan tular hingga membangkitkan kemarahan rakyat AS dan ada mengaitkannya dengan sentimen ketidaksamaan kaum. - KitaReporters

0
0
0
2
0

Copy Link: