KIM Pan-gon (dua dari kanan) di samping barisan penolong jurulatih pasukan negara di tepi gelanggang ketika Malaysia berdepan Kyrgyzstan. - Kredit foto FAM


KIM Pan-gon atau singkatan nama popularnya, KPG tampak berpegang teguh dengan keyakinannya. Selagi belum sampai wisel penamat Selasa ini, 11 Jun 2024, apa sahaja tidak mustahil dalam bola sepak. 

Harimau Malaya kendaliannya memikul misi berat berdepan Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil sejurus selepas sekadar mengikat Kyrgyzstan 1-1 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada Khamis, 6 Jun 2024 lalu dalam perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. 

Mengenai lebih tujuh gol yang wajib membolosi Taiwan untuk layak automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi, katanya, “pada saat akhir pun, masih ada harapannya.


BEK kiri Malaysia, La'Vere Corbin-Ong (22) menguasai bola sambil cuba direbut dua pemain Kyrgyzstan di kiri dan kanannya. - Kredit foto: FAM


“Kami sedari Kyrgyzstan ada kelebihan besar (jurang enam gol berbanding negatif dua Malaysia) dalam kedudukan Kumpulan D namun) kami boleh skor lebih dalam perlawanan berikutnya. Pasukan anda pernah melepaskan empat gol (di Bukit Jalil pada 16 November 2023) anda tahu, ingat tak?

“Siapa tahu? Kami gagah di gelanggang sendiri, jika skor lebih daripada tujuh, anda kalah 2-0 (dengan Oman di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada 11 Jun 2024, kami yang akan mara. Kami pun pernah kalahkan Papua New Guinea di ranking lebih baik, 10-0 (perlawanan antarabangsa tahap 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada 20 Jun 2023),” katanya.

Ketua jurulatih Malaysia ini walau bagaimanapun masih tidak mampu menyembunyikan kegusarannya dengan tekanan dan harapan begitu tinggi itu malah masih dianggap seperti bercakap besar dan tidak berpijak di bumi nyata.  

Oman dan Kyrgyzstan yang di ranking dunia lebih tinggi, ke-77 dan 100 pun hanya dapat membelasah Taiwan 3-0 dan 5-1 di Muscat dan Bishkek, ini 'kan pula Malaysia hanya di ranking ke-138?

Warga Korea Selatan itu juga jelas terasa kehilangan kedua-dua sayap negara, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim yang tercedera dan masih menjalani rawatan pemulihan sejak awal Mei 2024 lalu. 

Langkah drastiknya menaikkan kapten Dion Cools dari bek tengah ke sayap kanan hanya membawa sedikit impak manakala ketumpulan penyudah penyerang tunggal, Paulo Josue terhadap Kyrgyzstan, semakin mengencangkan degup jantungnya.  

Barisan tengah dan serangan bakal menjadi perhatian serius Pan-gon dan tim penolongnya termasuk jurulatih tempatan, E. Elavarasan dalam sesi latihan dua hari terakhir ini. 


SAYAP kiri Harimau Malaya, Akhyar Rashid (19) cuba menggelecek dua pemain Kyrgyzstan termasuk Kairat Zhyrgalbekuulu. - Kredit foto: FAM 


Malaysia sekadar mampu menjinakkan kedegilan Taiwan 1-0 di Stadium Perbandaran Taipei pada 21 November 2023 lalu menerusi jaringan Darren Lok yang kali ini tidak bersama pasukan gara-gara kecederaan. 

Pelawat yang digelar Sesayap Biru (Blue Wings) itu dikendalikan oleh warga England, Gary White masih kempunan sebarang mata di anak tangga corot Kumpulan D dengan dibolosi 14 kali dan hanya menyumbat satu gol di Bishkek pada 26 Mac 2024 lalu. - KitaReporters

 

 

11
8
0
13
0

Copy Link: