PRU15: Maghi Balik Ngundi! Terengganu isytihar 20 Nov 2022 cuti umum! Ada bas percuma untuk perantau!
Published byKERAJAAN Terengganu turut mencontohi Kerajaan Pusat apabila mengumumkan Hari Kelepasan Am pada Ahad, 20 November 2022 bagi memberi kemudahan dan peluang kepada perantau yang pulang menunaikan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada media.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Pilihan Raya umum Ke-15
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
"Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakub sebelum ini telah mengumumkan bahawa tarikh 18 dan 19 November 2022 (Jumaat dan Sabtu) sebagai Hari Kelepasan Am seluruh Malaysia.
“Cuti umum yang jatuh pada Jumaat itu akan digantikan pada hari
bekerja berikutnya iaitu Ahad, 20 November, 2022," jelasnya.
Menteri Besar berharap agar pengundi dapat membuat perancangan lebih awal dan dengan baik bagi melancarkan segala urusan.
Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu
Sementara itu, kerajaan negeri juga akan menyediakan perkhidmatan bas percuma bagi membolehkan pengundi luar pulang menunaikan tanggungjawab kepada negara pada PRU15 ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri,
Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian
daripada kempen ‘Maghi Balik Ngundi’.
Katanya, tujuan utama adalah untuk menerapkan kesedaran
tanggungjawab kalangan rakyat khususnya belia dan mahasiswa.
“Selain itu kita juga mahu meringankan beban rakyat Terengganu
di perantauan untuk pulang sempena dengan PRU15 ini,” katanya.
Menurut Wan Sukairi, kempen ‘Maghi Balik Ngundi’ itu akan dijalankan di setiap DUN dan Parlimen.
Wan Sukairi (tengah) menunjukkan poster kempen balik mengundi untuk rakyat Terengganu
“Mereka akan mengadakan promosi berkenaan dengan kempen ini termasuk NGO perantau dalam menguruskan proses pulang dari seluruh negara.
“Kemudian, sekretariat ini akan menyediakan pengangkutan bas
yang secukupnya dengan kerjasama penuh semua agensi kerajaan.
“Sekiranya bas-bas yang dimiliki pihak kerajaan tidak mencukupi,
maka sekretariat akan menyewa bas dari luar, insya-Allah,” katanya.
Wan Sukairi turut menjelaskan, segala proses permohonan pulang
menaiki bas sewa khas tersebut adalah terbuka buat semua golongan perantau.
“Pengangkutan dari semua lokasi luar negeri termasuklah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya. - KitaReporters