Video| LTdL 2025 lebih mencabar, menarik? Genting tak ada, Fraser ada! Status Siri Pro UCI kekal!
Published by.
SEKALIPUN tanpa Genting Highlands dan Cameron Highlands di antara lapan peringkat laluan, Bukit Fraser tetap diyakini sebagai galang ganti medan perlumbaan pendakian bukit yang turut mencabar.
Ketua Pegawai Operasi Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, Emir Abdul Jalal berkata, “Genting Highlands dan Cameron Highlands memang tahun ini tidak beri kebenaran dan tidak tersenarai. Memang ada isu dalaman macam tahun lalu (2024), permohonan kami tidak dapat.
“Setakat ini kami tidak tahu apa sebabnya. Ada masanya kena fikir benda yang lebih menarik, bukan tidak hendakkan Genting dan Cameron Highlands tetapi tidak dapat kelulusan.
“Selalu memang kita akan rasakan dua laluan itu sukar tetapi Bukit Fraser pun sudah digunakan dua kali, 2009 dan 2015 (Peringkat 5 termasuk bagi 2025 nanti).
“Tahun lalu (2024) pun dalam sejarah laluan itu, saya rasa tidak sampai Bukit Fraser pun yang penamatnya di Bentong, ada pelumba yang tidak dapat menghabiskan perlumbaan dan dibatalkan kerana melebihi had masa dan tidak tahu kesukarannya,” katanya.
EMIR Abdul Jalal (kiri) dan Pengarah Bahagian Pengurusan Acara dan Sukan MSN, Safrushahar Yusoff pada mesyuarat Jawatankuasa Induk LTdL 2025 di Menara KBS, Putrajaya. - Kredit foto: LTdL
Tiga daripada kategori Pasukan Dunia, tujuh Pasukan Pro, 11 Pasukan Benua dan satu negara katanya, disasarkan oleh penganjur LTdL, Majlis Sukan Negara (MSN) bagi edisi perlumbaan jelajah berbasikal ke-29 itu dari 28 September hingga 5 Oktober 2025.
Emir yang ditemui selepas Majlis
Pelancaran LTdL 2025 di Dewan Podium Menara KBS, Putrajaya oleh Menteri Belia
dan Sukan, Hannah Yeoh pada 28 Februari 2025, menambah, “pelumba-pelumba memerlukan
kemahiran tertentu untuk menuruni Bukit Fraser.
“Ramai pelumba Malaysia yang terlibat (mendapati) kesukarannya agak luar biasa. Tahun ini (2025) mereka tidak ikut Kuala Kubu Bharu sebaliknya ikut Bentong dengan pendakiannya sejauh 27 kilometer untuk sampai puncak Bukit Fraser yang berketinggian 1,221 meter,” katanya.
AKSI perlepasan perlumbaan Peringkat 8 di Bintulu dalam LTdL 2024. - Kredit foto: LTdL
Tanpa Genting Highlands dan Cameron Highlands pun tegasnya, masih tidak akan menjejaskan status Siri Pro buat LTdL 2025 yang telah diberikan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
“Kalau tengok Tour Down
Under (Australia) pun puncak tertingginya 600 meter sahaja. Tour Of UAE (Amiriah
Arab Bersatu) pun tiada pendakian. Bukanlah sesuatu perkara yang besar tetapi
selagi bagaimana kita mencipta laluan itu dengan Bukit Fraser,” jelasnya.
Emir memberitahu,
semakannya dengan komisar antarabangsa, Jamaluddin Omar juga mendapati tahap
kesukaran dan menuruni Bukit Fraser yang memang curam, cukup untuk menepati ciri-ciri
kelas hors.
“Situasi sama juga macam Peringkat
3. Kali ini kita naik Banjaran Titiwangsa dan turunnya dari Jeli itu hendak
sampai 100 kilometer. Sudah naik tinggi, turunnya pula tajam dan memerlukan
jenis pelumba yang berbeza.
“(Peringkat itu) tidak akan jadi perlumbaan buat pendaki tulen. Pasukan kena betul-betul susun pelumba yang boleh fikir dua jenis pendakian ini dan mahir menuruni sampai Pasir Puteh,” katanya lagi.
PETA lapan laluan dan peringkat perlumbaan LTdL 2025. - Kredit foto: LTdL
LTdL yang pada beberapa edisi
terdahulu kerap dilangsungkan awal tahun (Februari) diakui Emir, memberikan
banyak kelebihan kepada pelumba Malaysia apatah lagi dengan keadaan mereka yang
masih segar dan mencari medan pemanas badan yang tepat.
“Apabila diputuskan
selepas Covid (2020-2022) itu hendak buat lewat tahun, untuk kembali ke
Februari ini akan mengambil masa yang agak panjang sebab akan melibatkan bukan
sahaja penganjuran tetapi juga penajaan dan kalendar.
“Bagi kami penganjur, hendak mula balik Februari memang tidak sempat. Kalau Oktober pun sama juga cabarannya, pelumba kita macam TSG (Pasukan Berbasikal Terengganu), MPC (Pasukan Berbasikal Pro Malaysia) dan skuad kebangsaan selalu bergelut di Genting,” katanya. - KitaReporters
BARISAN pemenang LTdL Ke-28, 2024 - Matteo Malucelli (jersi Oren - Raja Pecut), Max Poole (Hijau - Juara Keseluruhan), Maurio Apracio (Bintik Tebal - Raja Bukit) dan Manabu Ishibashi (Putih - Juara Asia). - Kredit foto: LTdL