ZARIF Marican Ibrahim Marican (biru, tengah) masuk menggantikan Syahmi Husin menghadapi Korea Selatan, sekali gus menambah kutipan mata mudah menerusi servis pematinya. - Kredit foto: SASA


MALAYSIA mengulangi pertemuan final dengan Thailand dalam acara regu berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand Ke-37, seperti mana Piala Dunia Istaf, setelah mengatasi Korea Selatan 2-0 dalam separuh akhir di Korat pada 7 September 2024.

Skuad negara akan berentap dengan musuh tradisi itu mulai pukul 2 petang waktu Malaysia, sekali gus cuba menuntut bela atas kekalahan 1-2 pada final Piala Dunia di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 26 Mei 2024 lalu.

Namun regu pertama kita, Haziq Hairul Nizam (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam dipaksa bertarung sehingga set penentuan sebelum mampu menjinakkan gandingan Korea Selatan (Park Hyeon Geun, Seon Woo Young Soo dan Lee Min Ju) 16-17, 15-8, 15-10.

Tentangan getir lawan turut menimpa Syahmi Husin (Zarif Marican Ibrahim Marican), Shahalril Aiman Halim dan Aidil Aiman Azwawi sekalipun mereka berjaya memastikan mata kemenangan, 17-14, 13-15, 15-5 dan tiket perlawanan akhir terhadap Cheon Dong Ryung (Shin Hee Seop), Lee Jun Uk (Seo Seung Beum) dan Kim Young Chul.

Dua kemenangan tersebut sekali gus tidak memerlukan regu ketiga atau gantian Malaysia iaitu Zuhri Zain, Fetri Aswadi/Noraizat Nordin dan Norfaizzul Razak/Zaim Razali turun ke gelanggang dalam peringkat kalah singkir kejohanan yang turut digelar King’s Cup ini.



Tuan rumah pula seperti dijangka, tidak banyak mengerah kudrat dan keringat untuk melangkah awal ke final apabila membenam Myanmar 2-0 (15-6, 15-10), (15-6, 15-5), sekali gus melangkah setapak lagi ke arah terus menyimpan trofi pertandingan antarabangsa yang tertua miliknya sejak 1989 dan mula dipertanding pada 1984.

Si Gajah Putih kendalian Supot Tumpracha dan Prawet Intra, menurunkan Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan sebagai regu pembuka dan Sittipong Khamchan, Varayut Jantarasena dan Supasin Boonrueng menyusuli selaku regu kedua dan pengesah kemenangan.

Terdahulu pada 6 September 2024, skuad kita juga menjuarai Kumpulan A sesudah mengalahkan China 3-0 (15-8, 15-5), (15-4, 15-2), (15-6, 15-7) dan Laos 3-0 (15-8, 15-4), (15-9, 15-5), (15-9, 15-5).  

Malaysia sudah pun mengutip satu gelaran, antara regu pada 2 September 2024 dengan hanya mengalahkan India 15-5, 15-9 tanpa penyandangnya, Thailand mahupun Korea Selatan dan Myanmar kerana bertumpu kepada satu lagi pilihan acara yang ditetapkan penganjur, kuadran (berempat).

Satu lagi acara, kuadran campuran menyaksikan gandingan pemain lelaki antaranya Noraizat dan Aidil serta Fetri, disekat oleh Thailand 16-17, 7-15 dalam separuh akhir namun muncul naib juara Kumpulan B setelah hanya mengalahkan India tetapi ditundukkan oleh Vietnam dan Laos.   

Barisan wanita negara pula kandas lebih awal pada peringkat kumpulan acara kuadran dan regu berpasukan.


AZLAN Alias menjalankan tugasnya sebagai apit kanan dan perejam dengan baik berdepan Korea Selatan ketika mengapit Haziq Hairul Nizam (20) dan diumpan Farhan Adam (13). - Kredit foto: SASA 


Kali akhir Malaysia membawa pulang King’s Cup (khas bagi regu berpasukan sahaja) ialah pada 12 Disember 1988 di Stadium Hua Mark, Bangkok, manakala yang pertama di bawah bimbingan Hassan Sulaiman, tanggal 12 Mei 1985 juga di ibu kota Thailand.

Skuad 1988 kendalian Haris Abdul Rahman yang dibintangi antaranya Azman Ismail, Sha’ari Hashim, Malik Samsudin, Rehan Mohamad Din, Rosli Rahman, Noor Rani Adnan dan Raziman Hassan menumpaskan Thailand 2-0 (15-11, 11-15, 15-9), (15-9, 15-4).

Final King's Cup 2023 menjadi milik tuan rumah setelah mengalahkan Malaysia 2-0 (21-18, 21-9), (21-14, 21-14) malah menjulang Piala Dunia Istaf 2024 dengan kemenangan 2-1 (15-9, 11-15, 13–15), (15-8, 15-5), (15-12, 15-12). - KitaReporters


REGU kedua Malaysia (kuning, dari kiri), Shahalril Aiman Halim, Syahmi Husin dan Aidil Aiman Azwawi yang memastikan kemenangan 2-0 terhadap Korea Selatan dalam separuh akhir regu berpasukan King's Cup Ke-37 di Korat. - Kredit foto: SASA

 

15
12
0
13
0

Copy Link: