ABDUL Halim Kader diapit oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT), Thana Chaiprasit (kiri) dan Pemangku Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat ketika Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand Ke-37 pada September 2024. - Kredit foto: TAT 



KENAPA acara beregu (double) yang cukup popular dan peluang pingat emasnya lebih terbuka, bakal ditiadakan dalam Sukan SEA Thailand 2025?

Malaysia pun hanya baru berjaya menjuarai acara ini dalam Piala Dunia Istaf pada 22 Mei 2024 dengan menumpaskan musuh tradisi, Thailand 17-16, 15-13 di Kuala Lumpur.

Pada September 2024 lalu, Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) telah menyarankan 10 acara kategori lelaki dan wanita iaitu regu berpasukan, antara regu, kuadran (berempat) dan gelung di samping regu campuran serta kuadran campuran kepada Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Thailand 2025. 



Sejak diperkenal pada Sukan SEA Filipina 2005, inilah kali pertama beregu tiada dalam program sepak takraw temasya serantau dwitahunan itu. 

Sukan SEA Ke-33 di Thailand yang dijadualkan dari 7 hingga 19 Disember 2025, setakat ini sudah meluluskan 50 jenis sukan pertandingan dan dua jenis sukan pertunjukan. 

Senarai muktamad jenis sukannya termasuk yang melalui proses rayuan akhir, akan dibentangkan bagi sokongan dan kelulusan Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) Kedua pada mesyuarat 25 Oktober 2024 nanti di Bangkok, Thailand. 


THAILAND membolot pingat emas regu berpasukan, antara regu dan kuadran sepak takraw Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh, manakala Malaysia kempunan acara beregu kerana ditewaskan oleh Indonesia. - Kredit foto: TAT


Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, "melalui dasar sekatan monopoli dan pengagihan pingat emas yang lebih terbuka, kami tidak mahu ada negara peserta yang hanya mengirim tiga hingga lima pemain bagi acara beregu dan antara regu sepak takraw Sukan SEA.

“Kecenderungan mereka ini telah mengakibatkan acara kemuncak sepak takraw dan tertua sejak Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965, regu berpasukan langsung diabaikan seperti terjadi di Malaysia 2017, Vietnam 2022 dan Kemboja 2023.

“Malah regu berpasukan buat kali pertamanya dalam sejarah Sukan SEA/SEAP, digugurkan daripada temasya Filipina 2005. 

“Mulai Sukan SEA Thailand 2025, regu berpasukan diwajibkan kepada setiap negara peserta yang mahu menyertai sepak takraw supaya acara tertua ini tidak lagi di ambang kepupusan atau lama kelamaan terus terkubur,” katanya. 

Halim, 74, turut mengimbas bagaimana hanya tuan rumah Kemboja, Malaysia dan Thailand yang bersaing bagi podium regu berpasukan di Phnom Penh pada 2023 malah nyaris terpaksa dibatalkan kerana kekurangan satu dua lagi negara peserta sebagai memenuhi syarat kelayakan SEAGF. 


PODIUM emas, perak dan gangsa regu berpasukan sepak takraw Sukan SEA Kemboja 2023 hanya ditentukan secara liga tiga penjuru sahaja antara Thailand (tengah), Malaysia (kiri) dan Kemboja. - Kredit foto: TAT 


“Di Hanoi 2022 pula termasuk Vietnam dan tiga negara tadi, begitu juga di Kuala Lumpur 2017 dengan Malaysia, Thailand, Indonesia dan Brunei sahaja yang masuk,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).  

Hanya Sukan SEA Filipina 2019 di Cebu, Filipina sempat menyaksikan penyertaan terbanyak lima negara bagi regu berpasukan oleh Thailand, Malaysia, Indonesia, Myanmar dan tuan rumah. 

Undang-undang permainan sepak takraw Istaf menetapkan, setiap negara peserta regu berpasukan mesti mempunyai sekurang-kurangnya sembilan pemain dan boleh atau diberikan pilihan mendaftarkan tiga lagi pemain simpanan atau 12 orang maksimumnya. 

Dengan mewajibkan acara regu berpasukan pada Sukan SEA kata Halim, lebih ramai pemain negara-negara pesertanya akan mendapat pendedahan pertandingan antarabangsa bertaraf tinggi dan bukan lagi sekadar dua hingga tiga pemain jika mereka hanya kerap memilih acara beregu. - KitaReporters


AKSI rejaman apit kanan Malaysia, Afifuddin Razali yang cuba dipagari Phutawan Sopa (12) dan Siriwat Sakha dari Thailand dalam final regu berpasukan Sukan SEA Kemboja 2023 di Dewan Bola Keranjang Kompleks Olimpik, Phnom Penh. - Kredit foto: TAT


ABDUL Halim Kader (empat dari kanan) bersalaman dengan Setiausaha Agung TAT, Boonchit Poonpitak pada pertemuan pemimpin Istaf/Astaf dan TAT di Bangkok.  

8
15
0
10
0

Copy Link: