Stadium Merdeka kembali jengah minda! Ali tinju Bugner, Hoki India-Pakistan! Scoop story George Das!
Published bySTADIUM Merdeka bakal kembali bergema dengan sorak-sorai acara sukan sejak dibuka semula kepada umum pada 17 Ogos 2024 bersempena perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor Ke-18 antara Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura. - Kredit foto: AC
TULISAN George Das mengenai Stadium Merdeka dalam sebuah buku berjudul "Sports Flame" terbitan 2018. - Kredit foto: GD/mysportsflame.com
STADIUM Merdeka, Kuala Lumpur yang pernah ditutup sejak 2016, merakamkan sebegitu banyak memori suka-duka khususnya arena sukan tanah air yang seolah-olah kembali tertayang sebaik sahaja dibuka semula kepada umum mulai 17 Ogos 2024.
‘Siaran
ulangannya’ masih segar sekalipun segelintirnya hanya dalam minda mantan wartawan sukan akhbar berbahasa Inggeris tempatan, Datuk George Das (GD) yang menurutnya,
inilah bilik editorial keduanya dan rakan-rakan sejawatan sepanjang era 70-an.
“Stadium Merdeka menjadi arena sukan yang terbesar di Malaysia ketika itu. Semua sukan kecuali badminton (kerap dilangsungkan di Stadium Negara yang bersebelahan) dan boling, dilangsungkan di situ.
“Di sinilah saya dan semua wartawan sukan era tersebut, menghabiskan banyak masa kami meliputi kejohanan daripada bola sepak Piala Malaysia hinggalah olahraga,” kata George kepada KitaReporters.
"Bertahun-tahun saya akan menulis tangan berita kerana tiada mesin taip. Hanya selepas kira-kira lima tahun, barulah saya membeli mesin taip berjenama Brother berharga RM400 di Singapura. Tidak sempat saya memasuki era pemberitaan berlaptop (komputer riba), saya sudah pun meninggalkan media cetak," cerita George.
MUHAMMAD Ali (kiri) menewaskan Joe Bugner dengan keputusan sebulat suara hakim dalam pertarungan 12 pusingan tanggal 30 Jun 1975 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. - Kredit foto: EL
KR: Apa acara sukan di Stadium Merdeka yang paling saudara kenang dan momen terindahnya?
GD: Ada
terlalu banyak memori di sana namun hanya dua yang paling menonjol. Perlawanan
akhir Hoki Piala Dunia Ketiga pada 15 Mac 1975 antara India dan Pakistan dan
pertarungan tinju heavyweight dunia antara Muhammad Ali (Allahyarham) dan Joe
Bugner pada 30 Jun 1975.
Mengapa? Gembar-gembur mengenai kedua-duanya meluas sehingga lebih sebulan. Dua acara
dunia ini mendedahkan saya dengan atlet-atlet terhandal dunia. Saya juga banyak
belajar daripada para wartawan sukan ternama dunia dari pelbagai negara.
Saya mendapat banyak wawancara bersemuka dengan Ali sendirian yang saya anggap atlet No. 1 dalam abad ini.
Pada Hoki Piala Dunia, saya berpeluang masuk bilik persalinan pasukan India dan Pakistan beberapa kali. Hari ini, anda tidak akan dapat peluang sebegitu.
GAMBAR koleksi peribadi George Das (kiri) ketika dia berjoging dengan Muhammad Ali di Padang Kelab Selangor, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. - Kredit foto: GD
GAMBAR Muhammad Ali koleksi peribadi George Das yang berautograf legenda tinju heavyweight dunia itu. - Kredit foto: GD
KR: Ada detik yang paling menghampakan anda sepanjang meliputi sukan di situ?
GD: Tiada.
Setiap kejohanan yang saya liputi memberikan saya pengalaman yang berbeza.
KR:
Bayangkan jika anda mempunyai mesin merentas masa untuk kembali ke zaman silam seperti
filem “Back To The Future”, apakah yang akan anda lakukan kepada sebarang peristiwa
sukan di Stadium Merdeka?
GD:
Saya tidak akan mengubah apa-apa kerana saya juga akan terpaksa berubah.
KR:
Muatan stadiumnya pernah mencapai 45,000 orang, wajarkah dikekalkan atau diubah
suai kepada hanya 20,000 orang seperti hari ini?
GD: Biarkan sahaja seperti sebelumnya. Setiap kali anda mengubah suainya, banyaklah wang pembayar cukai yang perit mereka peroleh, dibelanjakan.
GEORGE Das sebagai wartawan sukan ketika era 70-an. - Kredit foto: GD
GEORGE Das (dua dari kiri) bersama-sama rakan seangkatan media 70-an (dari kiri), Datuk Fauzi Omar, Datuk Lazarus Rokk dan R. Velu. - Kredit foto: mysportsflame.com
KR: Kita tahu Stadium Merdeka kerap menerima kehadiran atlet dan jurulatih asing sempena pelbagai pertandingan di situ, adakah tokoh-tokoh sukan luar negara ini yang tidak begitu bekerjasama apabila diwawancara anda atau tidak berpuas hati dengan kritikan dalam penulisan berita anda?
GD: Sebagai seorang penulis sukan, saya perlu menyesuaikan diri dengan mood yang berlainan para atlet. Mereka perlu menyerlah dan kami perlu menjalankan tugas sedaya upaya kami.
KR: Selain laporan perlawanan hakiki, pernahkah anda mendapat skup besar (perintis berita) sepanjang karier pemberitaan sukan daripada peristiwa di stadium itu?
GD: Bagi saya, bukanlah skup yang dikumpul tetapi menulis sebuah berita yang mempunyai sudut pemberitaan dan persembahan yang berbeza daripada wartawan lain.
Cuma saya pernah berjoging dengan Ali di Padang Kelab Selangor di Jalan Ampang, Kuala Lumpur yang hari ini tersergamnya Menara Kembar Petronas. Rasanya, tiada penulis sukan di dunia yang pernah melakukannya (dengan juara heavyweight dunia tiga kali itu). Saya merancangnya dengan pengurus Ali, Angelo Dundee untuk membuat kelainan.
Saya meliputi menjelang pertarungan Ali-Bugner sepenuh masa. Tidak sempat pula untuk menemu bual Joe Frazier (seteru Ali yang datang mengejut ke Kuala Lumpur) walaupun ada berjumpanya.
Sehari sebelum final menentang Pakistan, pasukan hoki India yang mengandungi Muslim dan penganut Kristian serta Hindu mengunjungi rumah ibadat masing-masing, Masjid Negara, Gereja St. John dan Kuil Sri Mariappan. Sekali lagi saya merancang dengan jurulatih untuk mengikuti dan meliputi mereka di ketiga-tiga tempat tersebut.
KOLEKSI liputan berita oleh George Das (bulatan) di Kuala Lumpur dalam akhbar The Star berhubung pertarungan Muhammad Ali-Joe Bugner, petinju England dan sidang media mereka (gambar atas dan bawah). - Kredit foto: mysportsflame.com
KR:
Jika pernah terlintas minda, anda mampu menggantikan seorang atlet yang anda
fikir bukan pada tahap terbaik ketika meliputinya, siapakah dia dan bagaimana
anda akan melakukannya secara berlainan?
GD:
Tiada.
KR: Satu soalan ringan yang berunsur minat insani, bagaimana pengalaman anda menikmati juadah Kari Kepala Ikan Stadium Merdeka, khabarnya cukup popular?
GD: Apabila meliputi perlawanan Piala Malaysia, mula-mula sekali kami pasti menjamah makan malam di situ. Selalunya kami pilih ayam goreng dan bukanlah ikan. - KitaReporters