Video| 1 pentas, 3 juara, 3 penyanyi otai, 3 bakat baharu! Siapa Terpaling Juara? Jom kita saksikan!
Published bySatu pentas, tiga juara AJL, tiga penyanyi otai dan 3 bakat baharu, begitulah aturan program realiti nyanyian terbaharu TV3, ‘Terpaling Juara’ yang bakal menggegarkan pada setiap malam Ahad, bermula 21 Ogos 2022 ini selama 8 minggu.
Juara Lagu AJL30. ‘Potret’, Akim Ahmad, 31, bersama Hael Husaini, 34, (Juara Lagu 32 - Jampi & Juara Lagu 33 - Haram), dan Naim Daniel, 24, (Juara Lagu 34 - Sumpah) akan menggalas tugas sebagai kapten, membimbing seorang penyanyi legenda dan seorang bintang baharu untuk menjayakan persembahan mingguan yang bertemakan #playlistAJL iaitu lagu-lagu popular AJL yang akan diberikan nafas baharu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan program realiti
Siapakah bakal bergelar Terpaling Juara dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000?
Persoalannya sebelum itu, tidak gentarkah Akim, Hael mahupun Naim menjadi pembimbing kepada tiga nama besar yang popular dengan genre muzik masing-masing seperti vokalis terbaik AJL 2005, Hazami, 47; artis versatil popular ABPBH 2015, Ifa Raziah , 46, dan penyanyi rock Rahmad Mega, 52 tahun?
Menjawab pertanyaan itu, ketiga-tiga ‘kapten’ berkenaan akui rasa gementar mahu ‘membimbing’ penyanyi-penyanyi otai yang mana sepatutnya mereka yang perlu dibimbing.
“Saya suka cabaran baharu begini, namun tugasan sebagai pembimbing terhadap penyanyi-penyanyi otai lebih kepada memperbaharui gaya nyanyian ke nafas baharu sesuai dengan penerimaan generasi terkini," ujar Naim Daniel ketika ditemui selepas pelancaran program ‘Terpaling Juara’ yang berlangsung di PJPAC pada petang Khamis, 11 Ogos 2022.
Kredit foto: FAS
Turut hadir antaranya Datuk Michael Chan, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Media Prima OMNIA; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Nini Yusof; Alex Tan, Pengurus Kanan Jenama Vivo Malaysia; dan Pengurus Jenamanya, Raymond Teoh selaku penaja rasmi di samping Nivea.
Sependapat dengan Naim, Hael turut memberitahu beliau menerima tawaran sebagai kapten memandangkan program Terpaling Juara membawa satu kelainan di mana sebagai penyanyi beliau memang suka bereksperimen dengan sesuatu yang baharu.
“Saya akui siapalah diri saya untuk membimbing otai-otai tetapi saya sahut cabaran ini dan akan memikul tanggungjawab sebaiknya,” ujar Hael yang masih belum tahu siapa penyanyi lama dan baharu yang akan diletakkan di bawah bimbingannya.
Haziq (kiri) dan Shiha Zikir (kanan) selaku pengacara menemu ramah Hael, Naim dan Akim selaku Kapten Terpaling Juara.
Berkongsi lanjut, Akim tidak kurang sependapat dengan Naim dan Hael namun anggap tugasan yang dipikul walaupun berat akan dilaksanakan sebaiknya malah yakin tidak sukar untuk bekerjasama dengan penyanyi otai memandangkan mereka dah mahir selok belok nyanyian.
“Mereka dah lama cuma barangkali apa yang perlu dibimbing adalah memberi nafas baharu kepada lagu-lagu bertemakan #PlayListAJL kepada nafas baharu,” jelas Akim berbanding dengan tugasan yang perlu ditumpukan lebih kepada bakat baharu.
Tiga peserta baharu yang berjaya menempah tiket ke Terpaling Juara menewaskan lebih kurang 380 peserta pada sesi uji hakat yang berlangsung pada 2 dan 3 Julai lalu terdiri dari Shaz (Shazreen Shaharum, 26); Aqmal (Aqmal Ramdan, 26) dan Aqeesh (Aqeesh Aleeya, 18).
Sementara itu, baik Ifa Raziah, Hazami mahu pun Rahmad Mega sependapat antara faktor yang membuatkan mereka menerima cabaran untuk bersaing dengan bakat baharu lebih kepada mahu menguji kemampuan masing-masing dengan cabaran baharu.
“Tetapi bagi saya tentulah sebab duit,” ujar Ifa Raziah jujur dalam gurauan.
Betapa tidaknya, selain hadiah RM100,000 bagi yang Terpaling Juara, Naib Juara bakal membawa pulang RM50,000 dan pemenang ketiga pula disediakan RM30,000.
'Terpaling Juara' menampilkan Haziq Hussni dan Shiha Zikir sebagai hos, manakala artis veteran Datuk Hattan dan Fauziah Latiff sebagai juri tetap.
Bakal bersiaran selama 8 episod, 'Terpaling Juara' membuka gelanggang dengan konsert pengenalan keenam-enam peserta sebelum 3 kapten mengumumkan siapakah 2 peserta pilihan mereka.
Bagaimanakah tiga peserta muda seperti Shaz, Aqeesh dan Aqmal berdepan dengan barisan penyanyi senior yang lebih berpengalaman?
Teruskan menonton mulai 21 Ogos ini untuk jawapannya. - KitaReporters