PERDANA Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, proses membina Keluarga Malaysia yang bersatu padu dan memiliki satu identiti nasional, harus terus dipertahan demi menjamin kelangsungan kedaulatan negara bangsa.

Beliau berkata, menyatupadukan pelbagai negeri dengan latar belakang demografi yang rencam dan berbeza, ditambahkan lagi dengan faktor geografi yang berbukit-bukau dan Laut China Selatan menjadi pemisah, bukanlah tugas yang mudah.

"Semakin bertambah usia negara, cabaran dan ancaman yang dihadapi semakin besar serta bertambah kompleks

"Musuh yang memecahbelahkan hadir berbentuk; ekonomi, politik, sosial selain anasir-anasir dari luar yang giat berusaha menggugat kestabilan serta ketenteraman bangsa dan negara

"Jika anasir-anasir ini dibiar berleluasa dan akhirnya memuncak, ia dibimbangi akan menjadi ancaman kritikal yang boleh mengancam perpaduan Keluarga Malaysia. 

"Laksana bara yang mula menyalakan puntung, menyalakan unggun, jika tidak segera dibendung akan menyemarakkan api permusuhan, mencetuskan perselisihan kaum dan agama yang boleh melemahkan Keluarga Malaysia, seterusnya memusnahkan negara. 

"Umpama bidalan, Kukur apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa," jelas Perdana Menteri pada Sambutan Hari Malaysia 2022 pada Jumaat, 16 September 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, Ayer Keroh, Melaka.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aspirasi Keluarga Malaysia


Menurut Ismail Sabri, memupuk perpaduan Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, kaum, budaya dan taraf sosioekonomi, merupakan agenda besar lagi penting bagi Kerajaan, demi kelangsungan sebuah negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera.

"Justeru, nilai-nilai Keluarga Malaysia yang berteraskan; Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran adalah ramuan penting dalam usaha membina kekuatan seluruh Keluarga Malaysia, agar terus teguh bersatu, kukuh berpadu serta kalis cabaran dalam menghadapi gelombang dan arus globalisasi. 

"Nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran ini juga adalah antara jaminan kepada kelangsungan, untuk Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera," katanya lagi.

Beliau menambah, dengan bersendikan konsep Tasamuh yang digariskan oleh Islam - iaitu hidup saling bertoleransi, harmoni dan selesa, menjauhi diri dari sifat prasangka serta curiga – segala perbezaan dan kepelbagaian yang dikurniakan Tuhan di bumi bertuah ini, mampu dirai dan dihargai oleh Keluarga Malaysia dengan hati yang terbuka. 

"Malaysia dibentuk dan dibangunkan dengan memberikan jaminan keadilan, perlindungan dan hak kepada setiap Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum; Melayu, Cina, India, Orang Asli, Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Bajau, Iban, Orang Ulu dan lain-lain.

"Semua ahli Keluarga Malaysia, bebas mengamalkan budaya warisan bangsa, menguasai pelbagai bahasa serta menganut agama yang dianuti dari leluhur masing-masing," tegas Perdana Menteri. - KitaReporters



Teks ucapan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Malaysia 2022 pada Jumaat, 16 September 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, Ayer Keroh, Melaka :


1. Segala puji dan rasa syukur ke hadrat Allah SWT, kerana  dengan inayah dan rahmat-Nya, kita dapat berhimpun meraikan ulang tahun penubuhan Malaysia ke-59, di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Melaka Bandaraya Bersejarah pada malam ini (16 September 2022). Selamat Hari Malaysia! 

2. Terlebih dahulu, izinkan saya merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama, Tun Datuk Seri (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam, serta Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, dan Kerajaan Negeri Melaka kerana kesudian menjadi tuan rumah untuk sambutan kali ini. 

3. Terima kasih juga kepada Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan yang mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak dan Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan yang mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah kerana sudi hadir pada majlis yang amat bermakna ini. 

4. Alhamdulillah selepas sambutan meriah dan luar biasa Hari Kebangsaan 2022 baru-baru ini, pada malam ini kita dapat bersama-sama meraikan satu lagi detik penting dalam lipatan sejarah negara. 

5. Saya amat terharu dengan kehadiran luar biasa Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa, agama, budaya dan usia pada malam ini. Kehadiran Keluarga Malaysia bersama anak-anak kecil membanjiri Dataran Pahlawan pada malam ini membuktikan Keluarga Malaysia menjiwai semangat patriotisme yang sangat tinggi. 

6. Sesungguhnya, sejarah perjalanan bumi bertuah ini penuh dengan lembaran yang berwarna-warni. Sebagai tanah yang pernah dijajah, hari ini Malaysia berdiri utuh sebagai sebuah negara yang aman, makmur, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong sebagai Payung Perpaduan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

7. Buat julung kalinya, sambutan Hari Malaysia dianjurkan di luar Sabah dan Sarawak. Pemilihan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir Melaka kali ini, sudah tentunya mengimbau kembali lipatan sejarah tanah air kita. 

8. Banda Hilir Melaka ini pernah menjadi saksi laungan pengisytiharan Kemerdekaan pada 20 Februari 1956, dan tanggal 30 Ogos 1957 pula, langit raya Banda Hilir ini menyaksikan turunnya Bendera Union Jack, tepat jam 6.30 petang. 

9. Catatan sejarah menjadi saksi bahawa pengisytiharan itu juga bagaikan satu penyembuh duka bangsa, selepas Melaka dicengkam penjajah lebih 400 tahun lamanya.  

10. Menyingkap fakta, barangkali ramai yang tidak mengetahui bahawa Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menyuarakan hasrat penubuhan Malaysia buat pertama kali, sewaktu Persidangan Wartawan-wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara, iaitu di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961.

11. Sejarah panjang menyaksikan, bukan mudah untuk membentuk Malaysia. Membina pasak persefahaman dan mencari muafakat persetujuan negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak termasuklah Singapura. 

12. Proses pungutan suara dan rundingan sangat getir dan berlangsung panjang, menagih pengertian serta kesabaran para pejuang. Segala cabaran membuktikan bahawa tiada jalan pintas dalam melahirkan sebuah negara bangsa berasaskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. 

13. Rintangan yang hadir ketika itu bersifat dalaman dan luaran, termasuklah pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, cabaran ekonomi, serta kerencaman agama, kaum, budaya dan bahasa. 

14. Pun begitu, biar seribu halangan yang merintangi, Alhamdulillah setiap satu yang keruh, berjaya dijernihkan  dengan kesungguhan dan kebijaksanaan oleh pejuang pejuang terdahulu. 

15. Nama-nama seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Mohammad Fuad Stephens, Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Abang Haji Openg Abang Sapiee, Tun Jugah Anak Barieng, dan Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha, adalah antara tokoh-tokoh yang telah menoktahkan rundingan penubuhan Malaysia. Mereka inilah antara pejuang yang mewariskan kita nikmat kemakmuran. 

16. Persekutuan Tanah Melayu lahir sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat pada 31 Ogos 1957, dan kemudian pembentukan Malaysia pada tarikh keramat 16 September 1963, adalah bukti penyatuan niat dan tekad kesungguhan, pejuang-pejuang bangsa yang terdahulu. Mereka berjuang bersandarkan satu iltizam. 


Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

17. Proses membina Keluarga Malaysia yang bersatu padu dan memiliki satu identiti nasional, harus terus dipertahankan demi menjamin kelangsungan kedaulatan negara bangsa. 

18. Menyatupadukan pelbagai negeri dengan latar belakang demografi yang rencam dan berbeza, ditambahkan lagi dengan faktor geografi yang berbukit-bukau dan Laut China Selatan menjadi pemisah, bukanlah tugas yang mudah.

19. Semakin bertambah usia negara, cabaran dan ancaman yang dihadapi semakin besar serta bertambah kompleks. Musuh yang memecahbelahkan hadir berbentuk; ekonomi, politik, sosial selain anasir-anasir dari luar yang giat berusaha menggugat kestabilan serta ketenteraman bangsa dan negara. 

20. Jika anasir-anasir ini dibiar berleluasa dan akhirnya memuncak, ia dibimbangi akan menjadi ancaman kritikal yang boleh mengancam perpaduan Keluarga Malaysia. 

21. Laksana bara yang mula menyalakan puntung, menyalakan unggun, jika tidak segera dibendung akan menyemarakkan api permusuhan, mencetuskan perselisihan kaum dan agama yang boleh melemahkan Keluarga Malaysia, seterusnya memusnahkan negara. Umpama bidalan, Kukur apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa. 

22. Memupuk perpaduan Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, kaum, budaya dan taraf sosioekonomi, merupakan agenda besar lagi penting bagi Kerajaan, demi kelangsungan sebuah negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera.

23. Justeru, nilai-nilai Keluarga Malaysia yang berteraskan; Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran adalah ramuan penting dalam usaha membina kekuatan seluruh Keluarga Malaysia, agar terus teguh bersatu, kukuh berpadu serta kalis cabaran dalam menghadapi gelombang dan arus globalisasi. 

24. Nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran ini juga adalah antara jaminan kepada kelangsungan, untuk Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera. 

25. Dengan bersendikan konsep Tasamuh yang digariskan oleh Islam - iaitu hidup saling bertoleransi, harmoni dan selesa, menjauhi diri dari sifat prasangka serta curiga – segala perbezaan dan kepelbagaian yang dikurniakan Tuhan di bumi bertuah ini, mampu dirai dan dihargai oleh Keluarga Malaysia dengan hati yang terbuka. 

26. Malaysia dibentuk dan dibangunkan dengan memberikan jaminan keadilan, perlindungan dan hak kepada setiap Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum; Melayu, Cina, India, Orang Asli, Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Bajau, Iban, Orang Ulu dan lain-lain.

27. Semua ahli Keluarga Malaysia, bebas mengamalkan budaya warisan bangsa, menguasai pelbagai bahasa serta menganut agama yang dianuti dari leluhur masing-masing. 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

28. Pada sambutan Hari Malaysia tahun lalu, Kerajaan Persekutuan telah menyatakan jaminan untuk memberi perhatian kepada isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak. 

29. Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63, yang diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat, pada 14 Disember 2021 adalah bukti Kerajaan serius mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia. 

30. Usaha ini selaras dengan agenda transformasi kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat, termasuk pelabur asing terhadap kemampuan Kerajaan, demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosioekonomi mampan.

31. Saya sebagai Pengerusi Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963, akan memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak seperti mana yang terkandung dalam perjanjian MA63 adalah terpelihara. 

32. Majlis Khas ini bukan sahaja berperanan merungkai beberapa isu yang tertangguh berhubung hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak, tetapi juga memberi penekanan kepada usaha-usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri ini. 

33. Umpama peribahasa; bersukat sama paras, bertimbang sama berat, Kerajaan mahu melihat Sabah dan Sarawak bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat, seperti negeri-negeri lain di Semenanjung. 

34. Kerajaan juga komited menghapuskan jurang pembangunan dan ini dibuktikan dengan peruntukan sebanyak RM5.6 bilion untuk Sabah, manakala RM4 bilion untuk Sarawak pada tahun ini bagi melaksanakan projek pembangunan seperti bekalan air, elektrik, dan jalan raya, serta kemudahan pendidikan dan kesihatan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

35. Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, Hari Malaysia hendaklah menjadi sambutan yang mengingatkan seluruh Keluarga Malaysia, tentang kekuatan muafakat dan kesepaduan sosial berteraskan integrasi nasional. 

36. Tanggal keramat 16 September, wajar dijadikan titik tolak memperhebatkan azam dan menyemarakkan semangat mencari persamaan. Berpijak di bumi yang sama, Keluarga Malaysia perlu terus berdiri menjunjung langit yang sama, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara. 

37. Akhir kalam, sekali lagi saya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran sambutan Hari Malaysia pada tahun ini. 

38. Marilah kita sama-sama berdoa semoga bumi berdaulat ini sentiasa dalam limpah rahmat Ilahi, dikurniakan keamanan dan kemakmuran dan semoga hubungan harmoni terus terjalin dalam semangat Keluarga Malaysia.

Selamat Hari Malaysia! 

Keluarga Malaysia, Teguh Bersama! 


15
14
0
11
0

Copy Link: