Detik baharu Harimau Malaya! Pau buat transformasi kepada ala Barca? Mampukah legasi Pan-gon bertahan?
Published byHAMIDIN Amin meninggalkan seketika pemantauan latihan skuad berbasikal trek Team Mas bagi Sukan Olimpik Paris untuk berbincang mengenai hala tuju baharu Harimau Malaya dengan Pau Marti Vicente di Mallorca, Sepanyol pada 17 Julai 2024. - Kredit foto: FAM
PAU Marti Vicente yang diumumkan sebagai pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya berkuat kuasa 16 Julai 2024, menjadi warga asing ke-17 yang dilantik ke ‘kerusi panas’ tersebut.
Warga
Sepanyol ini mengambil alih sementara jawatan milik Kim Pan-gon dari Korea
Selatan yang melepaskannya atas alasan peribadi pada sidang media khas di Wisma
FAM, Kelana Jaya, Selangor.
Vicente atau kerap disapa Pau, 41, dijangka diserapkan sebagai ketua jurulatih tetap sekiranya prestasi pasukan kebangsaan menyerlah dalam tiga medan penilaian – Pestabola Merdeka, Kejohanan ASEAN dan Kelayakan Piala Asia.
Pestabola Merdeka Ke-43, 2024 dianjurkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2 hingga 10 September 2024, Kejohanan ASEAN 2024 atau sebelumnya, Piala AFF pada 23 November hingga 21 Disember 2024 dan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 mulai 25 Mac 2025 hingga 31 Mac 2026.
KIM Pan-gon mengakui beliau 'sifar rungutan' berhubung kerjasama Presiden FAM dan Jawatankuasa Eksekutif persatuan malah takjub dengan sokongan padu UItras Malaya. - Kredit foto: FAM
Kenaikan pangkat Pau turut melengkapkan trio Sepanyol dalam struktur kejurulatihan FAM yang meliputi ketua jurulatih pasukan Bawah 23 dan 19 tahun (B-23 dan B-19) negara, Juan Torres Garrido dan Bawah 16 tahun (B-16) negara, Javier Jorda Ribera.
Seperti Pan-gon dengan Lesen Kejurulatihan Pro AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), 55, Pau juga memiliki Lesen Kejurulatihan Pro UEFA (Kesatuan Bola Sepak Eropah).
Malah
pemangku ketua jurulatih baharu Harimau Malaya ini punya latar belakang karier
yang mengagumkan dengan skuad Bawah 18 (B-18) FC Barcelona - sebuah kelab gergasi La
Liga Sepanyol dari 2021 hingga 2022.
Dia juga pernah menyandang jawatan penolong jurulatih FC Barcelona B (2018-2021), B-19 FC Barcelona (2017-2018), Adelaide United FC (Australia, 2013-2017), Hong Kong (2012-2013) dan Kitchee SC Hong Kong (2012-2013).
HARIMAU Malaya bakal beransur-ansur menerapkan gaya permainan ala Barcelona, Sepanyol dengan pengendalian Pau Marti Vicente mulai Pestabola Merdeka pada 2 September 2024. - Kredit foto: FAM
Gaya
pengendalian Pau ‘ala La Roja’ juga dijangka mempengaruhi falsafah, penampilan
permainan dan taktikal Harimau Malaya apabila berdepan antara Tajikistan, Lebanon
dan Filipina mulai Pestabola nant,i sekali gus beransur-ansur mengambil alih ‘resipi
ginseng’ Pan-gon.
Namun
kemungkinan masih melekat elemen-elemen resmi Korea Selatan seperti gemar
menyerang dan asakan kerap serta penekanan permainan bertempo tinggi menerusi kedua-dua
sayap pada Harimau Malaya yang terbukti berjaya mengekang Wira Taegeuk 3-3 dalam
Piala Asia di Qatar pada 25 Januari 2024.
Hujah
ini diperkuat dengan pengekalan khidmat empat rakan senegara Pan-gon iaitu Park
Bo-bae (penolong jurulatih), Cho Jun-ho (jurulatih penjaga gol), Park Ji-hyeon
(jurulatih kecergasan) dan Lim Jae-hun (juruanalisis prestasi) seperti diumum
Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi dalam sidang media tersebut.
“Mereka
masih berkontrak dengan FAM sehingga Disember 2025,” katanya yang juga Timbalan
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan persatuan.
“Pau seorang pakar. Mindanya hebat dan bertaraf tinggi (dengan ilmu
dan pengalaman FC) Barcelona, Sepanyol.
“Kami kerap memanfaatkan pengalamannya. Dia berhak berada di sini. Saya harap dia dapat bertugas dengan baik (sebagai pemangku ketua jurulatih skuad negara,” kata Pan-gon, bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) dari 2018 hingga 2022 ini.
PAU Marti Vicente mengadakan pertemuan dengan Hamidin Amin di Mallorca yang bergegas dari Paris sebagai Ketua Kontinjen Team Mas ke Sukan Olimpik Paris. - Kredit foto: FAM
Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin pula mengadakan pertemuan dengan Pau di Mallorca, Sepanyol pada pagi waktu tempatan 17 Julai 2024 sebagai langkah segera membincangkan hala tuju dan perancangan Harimau Malaya selepas pengunduran Pan-gon.
Beliau yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 menjelang temasya ke-33 dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024, berkata, "kebetulan juga Pau sedang pulang bercuti di Sepanyol dan saya terus menghubunginya supaya datang ke Mallorca.
"Biarpun kami berdua masih terkejut dengan keputusan drastik Pan-gon itu, Pau menyatakan kesediaannya untuk menggalas tanggungjawab baharu ini dan mempunyai misi untuk terus memperkasa Harimau Malaya," katanya yang turut memantau latihan persediaan skuad berbasikal trek Team Mas di Paris.
"Terima kasih kepada Pan-gon kerana sepanjang (khidmatnya dari 17 Februari 2022 hingga 16 Julai 2024), ranking Harimau Malaya meningkat dan pasukan layak ke Piala Asia secara merit sejak 1980 yang tidak akan kita lupakan," kata Hamidin yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
HAMIDIN Amin (baju cerah) menyampaikan taklimat kepada pasukan Malaysia di bilik persalinan ketika pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 lalu sambil diperhatikan Kim Pan-gon (kiri). - Kredit foto: FAM
"Agak sedih beliau meninggalkan pasukan negara. Kita perlu konsisten, bukan untuk tempoh setahun dua tetapi selama mana yang boleh dan jangan sesekali kembali ke belakang.
SENARAI JURULATIH IMPORT MALAYSIA:
1958-1963:
Choo Seng Quee (Singapura)
1965-1966:
Otto Westphal (Jerman Barat)
1967:
Dettmar Cramer (Jerman Barat)
1968:
Harold Hassall (England)
1970-1971:
Dave McLaren (Scotland)
1977,
1980-1981: Karl-Heinz Weigang (Jerman Barat)
1983-1985:
Frank Lord (England)
1986-1987:
Josef Venglos (Czechoslovakia)
1988:
Richard Bates (England)
1989-1990:
Trevor Hartley (England)
1992-1993:
Ken Worden (England)
1994-1995:
Claude Le Roy (Perancis)
2001-2004:
Allan John Harris (England)
2004-2005:
Bertalan Bicskei (Hungary)
2017-2017:
Nelo Vingada (Portugal)
2022-2024:
Kim Pan-gon (Korea Selatan)
2024: Pau Marti Vicente (Sepanyol - pemangku)
PARK Bo-bae (baju hitam) mengarahkan pemain-pemain negara seperti (dari kiri), Sergio Aguero, Daniel Sang Ting, La'Vere Corbin-Ong dan Matthew Davies dalam sesi latihan di Wisma FAM. - Kredit foto: FAM
SENARAI KETUA JURULATIH MALAYSIA PALING BERJAYA:
Choo
Seng Quee (Singapura)
*
Juara Pestabola Merdeka 1958, 1959 dan 1960; pingat emas Sukan SEAP Rangoon
1961; pingat gangsa Sukan Asia Jakarta 1962
Harold Hassall (England)
*
Juara Pestabola Merdeka 1968
Dave
McLaren (Scotland)
*
Layak ke Sukan Olimpik Munich 1972 (Kelayakan Kumpulan 1 Asia di Seoul 1971)
Jalil
Che Din
*
Menyertai Sukan Olimpik Munich 1972; juara Pestabola Merdeka 1973 & 1974; pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974
M.
Kuppan
*
Juara Pestabola Merdeka 1976; layak ke Piala Asia 1976 di Iran (kelayakan
1975); pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1977
Mohamad
Bakar
*
Juara Pestabola Merdeka 1979; pingat emas Sukan SEA Jakarta 1979; layak ke
Piala Asia 1980 (kelayakan 1979)
Karl-Heinz
Weigang (Jerman Barat)
* Layak
ke Sukan Olimpik Moscow 1980 (Kelayakan Kumpulan 2 Asia di Kuala Lumpur 1980)
Jozef
Venglos (Czechoslovakia)
•
Juara Pestabola Merdeka 1986
Trevor
Hartley (England)
•
Pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989
Ken
Worden (England)
*
Juara Pestabola Merdeka 1993
K.
Rajagobal
* Juara Piala AFF 2010
Kim Pan-gon (Korea Selatan)
* Layak ke Piala Asia 2023/2024
* Meraih satu mata Kumpulan E Piala Asia 2023/2024
KIM Pan-gon (kiri) bersalaman dengan Nelo Vingada, ketua jurulatih Harimau Malaya dalam sidang media praperlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 September 2019. - Kredit foto: FAM