Mushaf al-Quran Terengganu diisytihar warisan negara! Bukti keunikan warisan kesultanan Terengganu!
Published bySultan Terenggnu yang ditemani Sultanah Terengganu melihat koleksi al-Quran di UMT Terengganu. - Kredit f0to: Media Kreatif UMT
UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) mencatat satu lagi sejarah apabila Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyempurnakan perisytiharan Mushaf al-Qur’an Terengganu.
Pada majlis perisytiharan itu, empat Mushaf al-Quran Terengganu koleksi Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) telah berjaya diwartakan sebagai warisan di bawah akta Warisan Kebangsaan 2005 (akta 645).
Lagi
Dr Mazlan memperkat sesuatu kepada Sultan Terengganu mengenai khazanah al-Quran yang disimpan di UMT
Pengistiharan pada Majlis Santapan Petang Sempena Majlis Konvokesyen UMT Ke-20 pada Sabtu 10 Disember 2022 itu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah turut berkenan melawat pameran Kesucian dan Keindahan Mushaf al-Quran Diraja Terengganu.
Pameran tersebut memaparkan secara terperinci keunikan yang ada pada mushaf-al-Qur’an Terengganu meliputi diaspora, kaligrafi, motif, material dan penjilidan sehingga ia diterima untuk diwartakan sebagai warisan negara.
Sultan Terengganu dan Permaisuri terpegum melihat koleksi Al Quran pada pameran di UMT
Naib Canselor UMT Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, usaha pewartaan tersebut telah mula digerakkan pada tahun 2020 oleh penyelidik UMT yang diketuai Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud UMT, Dr. Riswadi Azmi.
Katanya, pengetahuan umum mengenai keunikan warisan kesultanan Terengganu ini perlu dihebahkan kepada masyarakat. Pewartaan sebagai warisan ini juga bertujuan agar usaha pemuliharan dapat dilakukan oleh pihak-pihak berkaitan demi kelestarian warisan budaya negara.
Untuk rekod, kajian UMT telah merekodkan 45 manuskrip ini berada dalam dan luar negara. Jumlahnya yang banyak melebihi daripada apa yang dijangkakan, kerana untuk menghasilkan satu-satu manuskrip tulisan tangan pada abad ke-19 ini memerlukan tuntutan masa, tenaga dan kos yang tinggi.
Ini sekali gus membuktikan negeri Terengganu pernah menjadi pusat penyalinan mushaf al-Qur’an yang paling terkemuka dan terkenal di Asia Tenggara.
Dr Mazlan ketika mempersembahkan ucapan
UMT dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) telah melakukan pelbagai inisiatif demi memastikan warisan ini sentiasa dihargai dan dipelihara.
Selain itu, demi memastikan warisan suci ini dihargai pada peringkat global, cadangan UMT telah diterima sebagai senarai akhir negara oleh Jabatan Warisan Negara untuk mencalonkannya dalam daftar Peringatan Dunia UNESCO. Pelbagai usaha akan dilakukan agar percalonan diterima pada peringkat UNESCO.
Selain daripada itu UMT turut menjalin kerjasama dengan penyelidik dari pelbagai agensi dalam dan luar negara terutama daripada Dato Dr Annabel Teh Gallop, Ketua Kurator Seksyen Asia Tenggara, British Library dalam konservasi manuskrip al-Quran Terenganu.
Tambahnya lagi, usaha ini turut disokong oleh syarikat terkemuka dunia, Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd bagi membangunkan Galeri Digital Warisan Budaya.
Keberangkatan Sultan Terengganu di UMT disambut oleh Dr Mazlan
Sehubungan itu, UMT telah berjaya mendigitalkan 6 Manuskrip al-Quran Terengganu yang disimpan oleh pihak muzium menggunakan teknologi
realiti terimbuh (Augmented Reality) dan menempatkannya dalam Galeri Digital
Warisan Budaya UMT.
“Dengan adanya galeri ini, ia bakal menjadi tumpuan
penyelidik dan pelajar untuk mengkaji keunikan Manuskrip al-Quran Emas, warisan
Kesultanan Terengganu yang diiktiraf paling cantik di Asia Tenggara. Inisiatif
ini telah memartabatkan mushaf al-Quran ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Turut hadir dalam Majlis Santapan Petang Sempena Majlis Konvokesyen UMT Ke-20 tersebut ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua DUN Terengganu,Datuk Yahaya Ali; dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil. - KitaReporters
Keberangkatan Sultanah Terengganu untuk pengistiharan Mushaf Al Quran Terengganu di UMT