Video| Farid Kamil kini boleh tumpu kepada filem Anwar! Bersyukur terlepas hukuman penjara 9 bulan!
Published byPelakon dan pengarah, Farid Kamil Zahari, 41, menarik nafas lega apabila terlepas hukuman penjara.
Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Rabu, 30 November 2022 cuma mengenakan hukuman denda RM5,000 kerana menggunakan dadah, pada empat tahun lalu.
Bagaimanapun, hakim mengekalkan dua tahun pengawasan bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ke atas Farid Kamil, dan memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Farid Kamil membayar denda tersebut.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelakon Farid Kamil
Kamaludin dalam keputusan sebulat suara itu berkata, mahkamah bersetuju dengan peguam perayu bahawa Mahkamah Majistret tidak konsisten dalam membuat pertimbangan ketika menjatuhkan hukuman terhadap Farid Kamil.
"Oleh itu, mahkamah bersetuju dengan hujah peguam perayu, serta memutuskan bahawa hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi, diketepikan serta diganti dengan hukuman denda RM5,000. Dua tahun pengawasan bawah AADK dikekalkan," kata Kamaludin.
Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Mei 2019 menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Farid Kamil bersalah kerana menggunakan dadah dikenali sebagai THC, iaitu '11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid'.
Farid Kamil dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 4.30 petang 11 Januari 2018. Hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada November 2019.
Farid Kamil ditemani isterinya Diana Danielle yang juga pelakon, dan adiknya Fadzil Zahari.
Farid Kamil kini dapat memberi tumpuan bagi kerja filem ‘Anwar’ yang sudah pada peringkat akhir dan bakal ditayang pada Februari 2023.
Filem biopik ‘Anwar’ diterbit syarikat produksi Indonesia, Bianglala Entertainment di mana Farid Kamil melakonkan watak Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Sementara pelakon Indonesia Acha Septriasa membawa watak Datin Seri Wan Azizah Ismail.
Bagi mendapatkan kesan lebih mendalam dalam membawakan watak itu, Farid Kamil berjumpa dua kali dengan Anwar Ibrahim.
Filem ‘Anwar’ antara lain menceritakan detik penahanan Anwar Ibrahim dan dicederakan ketika ditahan sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1998. - KitaReporters