PEMAIN Paling Bernilai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 dan 2019, Safawi Rasid melaungkan ikrar apabila mula menyarung jersi kelab Portimonense SC, pada semalam Rabu, 7 Oktober 2020 (waktu Portugal) untuk menjadi sehebat Shoya Nakajima yang pernah dipinjamkan semusim di kelab Liga Portugal itu. : KitaReporters

SAFAWI diperkenalkan secara rasmi dalam sidang akhbar di Algavre, Portugal oleh Rodiney Sampaio (kanan). - Foto Portimonense SC.


Sayap kanan Harimau Malaya dan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC ini menyedari harapan tinggi pasukan dan para penyokong Portimonense yang mungkin membandingkan kemampuannya dengan pemain kebangsaan Jepun itu, namun janjinya, “saya akan beri segalanya dan yang terbaik. 

“Saya harap dapat menyumbangkan sesuatu kepada kelab ini dan saya memang tidak sabar beraksi bagi perlawanan sulung saya di sini. 

“Saya tahu Nakajima yang pernah beraksi di Portimonense (2017), kini menyertai kelab yang lebih besar (FC Porto, tahun lalu) dan saya mahu jadi pemain yang sepertinya,” katanya, dipetik daripada laman sesawang, www.portimonense.pt


DI JDT FC, Safawi dianggap 'Harimau Berantai Selatan' tetapi bagaimana langkahnya di Portimonense SC pula? - Kredit foto JDT.


Safawi, 23, diperkenalkan secara rasmi dalam sidang akhbar di Stadium Perbandaran Portimao, Algarve, semalam (awal pagi Khamis, 8 Oktober 2020 waktu Malaysia) dengan diberikan jersi bernombor 29, seperti mana di JDT FC dalam Liga Super Malaysia dan Liga Juara Asia pada musim 2020.

Anak jati Dungun, Terengganu ini yang sudah menyumbat 10 gol dalam 34 penampilan bersama Harimau Malaya dan 47 gol serta 101 penampilan dengan JDT sejak 2017, diperkenalkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Portimonense SC, Rodiney Sampaio. 

“Sebagai pemain, sudah tentu saya mahu bermain secepat mungkin dan saya sedia menjalankan tugas itu di posisi serangan,” katanya yang dipinjamkan semusim dari JDT malah disifatkan pengurusan Portimonense SC sebagai berkemahiran teknikal bola sepak yang bagus.

"Ramai yang belum mengenali Safawi sebagaimana ketika Nakajima tiba di sini, namun saya harap dia berjaya sepertinya (bekas pemain FC Tokyo itu)," kata Sampaio.

SAFAWI Rasid diberikan jersi Portimonense SC bernombor 29, sama ketika di JDT. - Foto Portimonense SC.


Nakajima dipinjamkan semusim pada 27 Ogos 2017 dan 10 golnya dalam 32 perlawanan, memikat Portimonense SC menawarkan kontrak tetap pada Mei 2018 sebelum berhijrah ke Al-Duhail (Qatar) pada Februari 2019 diikuti FC Porto, lima bulan kemudian.

Sejak 2017, Safawi sudah merangkul empat gelaran Liga Super termasuk mengesahkannya bagi musim 2020, Jumaat 2 Oktober 2020 lalu menerusi dua gol ketika membenam Sabah 4-1 dalam perlawanan terakhirnya dengan JDT FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Selain itu, koleksi kejayaannya bersama JDT FC milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ini meliputi dua Piala Malaysia dan tiga Piala Sumbangsih.

 SAFAWI berjanji untuk menyumbangkan sesuatu kepada kelab Liga Primeira Portugal bagi musim 2020-2021. - Foto Portimonense SC.


Bagaimana pula langkahnya dalam Liga Primeira Portugal musim 2020-2021 selepas tiga perlawanan menyaksikan Portimonense SC hanya mengutip satu mata dan menghuni tempat ke-16 dalam saingan 18 pasukan?

Portimonense membuka saingan liga dengan seri 1-1 dengan Pacos de Ferreira pada 21 September 2020 lalu, dikalahkan Gil Vicente 1-0, enam hari kemudian dan Sporting CP 2-0, Ahad 4 Oktober 2020 lalu, manakala aksi seterusnya ialah bertandang ke CS Maritimo pada 18 Oktober 2020 ini.  - KitaReporters

0
0
1
0
0

Copy Link: