Tiada mata ranking FIFA! Piala AFF cuma pertandingan muhibah
Published bySEKALIPUN diubah tarikhnya ke 11 April hingga 8 Mei 2021, Piala AFF 2020 hanya seolah-olah berstatus kejohanan muhibah rantau Asia Tenggara tanpa menawarkan apa-apa ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Justeru kalaulah Malaysia yang kembali menjulang trofinya seperti edisi 2010, keputusan itu tidak akan mampu mempengaruhi ranking ke-154 dunia miliknya sekarang yang masih di bawah Vietnam, Thailand, Filipina dan Myanmar. : KitaReporters
PIALA AFF anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN dijenamakan semula sejak 2008. - Kredit foto AFF.
Lantas yang boleh direbut Harimau Malaya dan jiran-jiran serantau ialah kejuaraannya dan pengiktirafan selaku 'Raja Bola Asia Tenggara' yang lebih tinggi daripada pingat emas Sukan SEA (saingan pemain bawah 22 tahun dan tiga senior juga secara dwitahunan).
Tarikh baharu kejohanan senior utama anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) ini didapati dijadualkan semula di luar kalendar pertandingan FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) malah bakal berlangsung pada hari ketiga umat Islam menjalani ibadat puasa Ramadan menurut takwim 1442-43 Hijrah.
WINDSOR PAUL JOHN.
“(Piala AFF) tidak akan dikira sebagai perlawanan tahap 1 antarabangsa kerana diadakan di luar kalendar antarabangsa (FIFA-AFC) iaitu Mac, Jun, September, Oktober dan November),” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John.
Piala AFF Ke-13, 2020 mulanya dijadualkan pada 23 November hingga 31 Disember ini (masih di luar kalendar tersebut) tetapi terpaksa ditunda ke tahun depan gara-gara kebimbangan kepada situasi semasa penularan pandemik maut Covid-19 di seluruh dunia.
Kata Presiden AFF, Khiev Sameth, “keputusan terbaharu ini diambil dengan satu hasrat kukuh untuk melangsungkan (Piala AFF) dalam format penuhnya - timbal balik di seluruh negara yang layak di Asia Tenggara - sekiranya keadaan berkaitan Covid-19 mengizinkan.
“Dalam perbincangan dengan AFF dan pihak-pihak berkuasa lain yang berkaitan, Jawatankuasa bertindak kejohanan memutuskan bahawa tarikh berkenaan sebagai jadual yang terbaik yang selari dengan saingan liga tempatan.
“Jawatankuasa ini akan terus memantau rapat situasinya untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pemain, jurulatih, rakan kongsi, peminat dan umum.
“Kami gembira dengan sokongan positif yang kami terima daripada persatuan negara-negara anggota AFF dan bahawa kami mampu untuk menemui satu jadual yang sesuai tahun depan untuk melangsungkan kejohanan yang paling kita tunggu-tunggu ini,” katanya dalam siaran media, 25 September 2020 lalu.
KHIEV Sameth, Presiden AFF dari Kemboja. - Kredit foto AFF.
Sambil menyedari bahawa perang terhadap pandemik dunia itu belum berakhir, AFF katanya, yakin dengan berhati-hati untuk melihat Piala AFF berlangsung dalam format penuh selain berharap dapat menjayakan penganjurannya yang terbaik di rantau Asia Tenggara pada 2021 - luar tradisinya, dwitahunan tahun genap.
“AFF juga berharap bahawa pengumuman tarikh baharu Piala AFF ini akan mampu menjelaskan perancangan buat rakan kongsi komersial kami termasuk penaja-penaja dan penyiar media yang kini dalam masa yang tidak menentu.
“AFF dan persatuan-persatuan anggota mahu berterima kasih kepada semua peminat, pemain, jurulatih, pegawai, media dan lain-lain rakan kongsi atas sokongan dan kesetiaan padu mereka dalam masa-masa yang mencabar ini dan mengalu-alukan Piala AFF untuk menyatukan seluruh Asia Tenggara apabila kita mampu bersama semula,” katanya.
HARIMAU Malaya (kuning) seri sekali dan kalah dua kali termasuk final kepada Vietnam dalam Piala AFF 2018. - Kredit foto AFF.
DENGAN ilmu dan pengalaman berkelana di Portugal, Safawi Rasid (kanan) bakal sehebat atau mengatasi Safee Sali ketika edisi 2010 apabila Piala AFF berlangsung pada 11 April hingga 8 Mei 2021. - Kredit foto FAM.
Piala AFF yang diasaskan dengan nama lain pada 1996, menggantikan saingan peringkat senior ‘A’ rantau ini dalam Sukan SEA yang mulai 2001 mengehadkan penyertaannya kepada pemain berusia bawah 23 tahun sahaja.
Mulai 2018, format pertandingan karnivalnya dengan dua tuan rumah peringkat awal kumpulan juga ditukar kepada setiap pasukan akan mengharungi dua perlawanan di tempat sendiri dan dua lagi di tempat lawan, namun masih dalam liga berkumpulan. Format ini juga terpakai pada separuh akhir dan perlawanan akhir.
Harimau Malaya hanya pernah menjulang Piala AFF pada 2010 selepas menewaskan Indonesia secara agregat 4-2 dalam perlawanan akhir timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil (menang 3-0) dan Gelora Bung Karno, Jakarta (kalah 2-1).
Dua tahun lalu, skuad Tan Cheng Hoe dihampakan Vietnam 3-2 (terikat 2-2 di Bukit Jalil namun tewas 1-0 di Stadium My Dinh, Hanoi) untuk sekadar bergelar naib juara. - KitaReporters
RANGKAIAN penyerang Malaysia (dari kiri) Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Norshahrul Idlan Talaha.