11 pemain bola Harimauwati Malaya ke menara gading! Tawaran KPT! Bekalan ilmu pascabola sepak!
Published byNORAINI beramah dengan pemain-pemain wanita negara. Empat dari kiri, Suraya Yaacob dan Hamidin Mohd. Amin (empat dari kanan). - Kredit foto: FAM
SEBELAS pemain Harimauwati Malaya yang beraksi pada Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 di Palestin, September 2021 lalu, mendapat peluang melangkah ke menara gading dengan tawaran yang disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Sembilan daripadanya ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) manakala selebihnya, bakal ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Mereka yang ditawarkan memasuki UPNM ialah Nurul Azurin Mazlan, Eva Olivianie Antinus, Waitie Taming, Nurfatin Rozani, Henrietta Justine, Nur Syafinaz Abdul Rajak, Felicia Loudea Thomas, Nor Ezza Ashikin dan Nurul Arliana Nabila Mohamad Ramadhan. Nuralyaa Natasha Zulkefli dan Grace Handirian pula ditawarkan ke UiTM.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak wanita
Surat tawaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi 2021 itu disampaikan oleh Noraini sambil disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Turut menyaksikannya ialah Timbalan Presiden FAM, Dato' S. Sivasundaram dan dua Ahli Exco FAM, Datuk Suraya Yaacob dan Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah yang juga Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita persatuan.
Majlis penyampaiannya diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada 7 Oktober 2021.
TUJUH daripada 11 pemain Harimauwati Malaya berbaris di depan Noraini Ahmad (tengah) pada majlis penyampaian tawaran ke IPTA di Wisma FAM. - Kredit foto: FAM
Suraya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas tawaran tersebut.
"Kerjasama FAM dan KPT yang terjalin ini menunjukkan betapa pendidikan itu memainkan peranan besar dalam karier seseorang pemain bola sepak. Inilah tanda penghargaan jasa dan sumbangan pemain-pemain setelah mereka memerah keringat demi mengharumkan nama negara.
"Semoga barisan pemain yang menerima tawaran menyambung pengajian ini, dapat menimba pengalaman dan menamatkan pengajian mereka sebaik mungkin," katanya.
Suraya turut berharap kerjasama ini dapat mendorong masyarakat terutama golongan ibu bapa memberikan peluang dan menyokong anak-anak mereka menceburi bola sepak.
PEMAIN Harimauwati Malaya, Nurul Azurin Mazlan (dua dari kanan) menerima surat tawaran ke UPNM dan sumbangan beg cenderamata daripada Noraini. - Kredit foto: FAM
Penyerang skuad wanita negara, Henrietta, 19, yang bakal mengikuti program Diploma Kecergasan Pertahanan, berasa berbesar hati kerana atas peluang menyambung pelajaran di UPNM.
"Mewakili rakan pasukan yang turut menerima tawaran, saya berterima kasih kepada kementerian dan FAM untuk meraih satu lagi kejayaan dalam bidang pelajaran. Semoga ini memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk sentiasa melakukan yang terbaik walau di mana anda dan apa pun rintangannya.
“Ini juga membuktikan, ada laluan untuk seorang pemain bola sepak melangkah ke menara gading," kata Henrietta.
Hadir mewakili UiTM ialah Naib Canselornya, Prof. Roziah Mohd. Janor manakala Prof. Datuk Norhasni Zainal Abidin bagi pihak UPNM.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar; Ahli Exco FAM, Syed Yazid Syed Omar; Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Husaini Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid.
SURAYA (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata jersi utama pasukan kebangsaan kepada Noraini. - Kredit foto: FAM
Harimauwati Malaya menewaskan Palestin 2-0 dalam saingan Kumpulan H kelayakan itu pada 22 September 2021 dan dikalahkan Thailand 4-0, empat hari sebelumnya di Stadium Faisal Al-Husseini.
Dengan hanya tiga mata dan menghuni tempat kedua, skuad kendalian Jacob Joseph ini gagal ke pusingan akhir Piala Asia Wanita di India kerana hanya pemenang setiap kumpulan akan layak.
Misi antarabangsa mereka berikutnya ialah Sukan SEA Hanoi 2022 yang telah ditunda dari November 2021. - KitaReporters
AKSI Harimauwati Malaya (jersi kuning) ketika mengalahkan Palestin 2-0 dalam Kelayakan Piala Asia Wanita AFC. - Kredit foto: AFC
HARIMAUWATI Malaya yang bakal dipertaruhkan semula ke Sukan SEA Hanoi 2022 sekiranya tidak dibatalkan kerana pandemik Covid-19. - Kredit foto: Era Sabah