Jangan bagi malu orang Perak, Yob! Karathu mahu The Bos pertahan maruah! Kekal dalam Liga Super!

Published by
KitaReporters

Kredit foto: FB Perak FC.


BEKAS pemain dan jurulatih Perak, Datuk M Karathu mahu pengurusan, jurulatih dan pemain mempertahankan maruah negeri itu dengan memastikan pasukan berkenaan tidak tersingkir ke Liga Perdana musim depan (2022).

Walaupun kini berada pada tangga kedua tercorot dengan hanya baki empat perlawanan, Perak FC tidak boleh berputus asa kerana secara matematiknya mereka masih berpeluang untuk kekal dalam Liga Super jika mencapai keputusan positif dalam semua baki perlawanan.

“Ini soal maruah, Perak tak pernah jatuh ke Liga Perdana sejak format pertandingan dibuat secara divisyen (pada 2004). Jadi, maruah ini perlu dipertahankan,” kata Karathu.

Datuk M Karathu. - Foto: Berita Harian.


Dalam keadaan sebegini, bawa jurulatih terbaik dunia sekali pun tak boleh buat apa-apa jika pihak lain tidak komited 


Menurut Karathu, sebagai bekas pemain dan jurulatih yang sayangkan negeri kelahirannya, beliau tidak dapat menerima jika Perak jatuh ke Liga Perdana.

“Ada orang tak rasa apa-apa jika Perak jatuh ke Liga Perdana. Mereka anggap tak kisahlah, nanti Perak boleh naik balik ke Liga Super. 

“Tapi, kalau saya terbabit dengan pasukan, saya malu jika Perak jatuh ke Liga Perdana. Lagi pun, kalau dah jatuh, jangan fikir mudah untuk mereka naik balik,” katanya.

Justeru, menurut Karathu, semua pihak perlu duduk berbincang untuk mencari formula bagaimana mahu mengekalkan Perak dalam Liga Super melalui baki empat perlawanan itu.

“Jurulatih perlu berbincang dengan pengurusan dan pemain malah perlu juga mengumpul pandangan orang luar. Sekarang semua pihak terbabit perlu menunjukkan komitmen 100 peratus.

“Setakat tukar jurulatih tidak selesaikan masalah. Dalam keadaan sebegini, bawa jurulatih terbaik dunia sekali pun tak boleh buat apa-apa jika pihak lain tidak komited.

“Saya dengar ada pemain tak ikut arahan, tak mahu turun berlatih dan bermain. Pemain sebegini jangan diberi muka, jurulatih atau pengurusan kena tegas, hukum mereka.

“Saya tak tahu apa masalah sebenar mereka dengan pasukan tapi jika jelas mereka melanggar kontrak, pengurusan mesti mengambil tindakan,” kata Karathu.


Jurulatih, Shahril Nizam sedang merangka strategi bersama pemain-pemainnya dalam latihan baru-baru ini. - Kredit foto: FB Perak FC


Walaupun tidak menyebut nama, namun Karathu mungkin merujuk kepada kes pemain import, Samir Ayass yang didakwa enggan turun padang dengan memberi alasan masih cedera walhal sebelum itu dikatakan sudah memberi ‘lampu hijau’ kepada pengurusan untuk diturunkan.

Terdahulu, dua pemain import, Leandro dos Santos dan Careca turut ‘memeningkan’ kepala ketua jurulatih, Chong Yee Fatt apabila minta direhatkan atas alasan tidak sihat semasa perlawanan menentang Terengganu. Kedua-dua pemain itu kemudian mengambil keputusan menarik diri daripada pasukan.

Sejak awal musim, Perak dilihat sudah tempang apabila jurulatih, Mehmet Durakovic menarik diri daripada pasukan, digantikan oleh Yee Fatt.

Kemudian, pasukan itu berdepan pula kemelut gaji yang menyebabkan lima pemain utama,  Shahrul Saad, Guilherme de Paula, J Partiban, Kenny Palraj dan Nazirul Naim Che Hashim meninggalkan pasukan itu pada pertengahan musim.


Aksi Perak FC (jersi putih) menentang UiTM FC yang berkesudahan The Bos Gaurus kalah 0-2. - Kredit foto: FB Perak FC


Perak kemudian merehatkan Yee Fatt, diganti oleh penolongnya, Shahril Nizam Khalil, selepas prestasi buruk dalam empat perlawanan pusingan kedua, termasuk dibelasah 5-0 oleh Terengganu dan Johor Darul Ta’zim.

Namun Shahril juga belum mampu mengubah nasib The Bos Gaurus apabila tewas 3-5 kepada Penang FC pada 3 Ogos, 2021 dan 0-2 di tangan pasukan tercorot, UiTM FC, Sabtu, 7 Ogos, 2021 lalu.

Perak kini menduduki tangga ke-11 selepas hanya mengumpul 13 mata daripada 18 perlawanan. Namun, mereka sedikit lega apabila saingan terdekat, Melaka United juga turut tewas dalam dua perlawanan terakhir mereka, kepada Johor (0-1) dan Pulau Pinang (1-2).

Melaka yang menghuni tangga ke-10, mengutip 16 mata, hanya berkelebihan tiga mata ke atas Perak, sekali gus turut berada dalam zon kecemasan.


Tugas berat menanti Shahril Nizam untuk memastikan Perak tidak tersingkir ke Liga Perdana. Kredit foto: FB Perak FC


Laluan Perak dan Melaka pada baki empat perlawanan boleh dianggap sukar. Antara lawan yang bakal dihadapi mereka adalah Kedah dan Selangor.

Selain itu Perak akan menentang Sabah, sementara Melaka berdepan UiTM sambil kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan sesama mereka pada 17 Ogos, 2021.

Begitu pun, keputusan perlawanan pada hujung minggu ini mungkin boleh menjadi petunjuk untuk menilik nasib kedua-dua pasukan. Melaka akan berdepan UiTM pada Jumaat, 13 Ogos, 2021 sementara Perak melayan kunjungan Selangor pada Sabtu, 14 Ogos, 2021.

Perak perlu menang ke atas Selangor walaupun sukar, sementara Melaka mesti memanfaat perlawanan menentang pasukan tercorot, UiTM demi memberi ‘talian hayat’ untuk mereka kekal dalam Liga Super musim depan. – KitaReporters


Baki perlawanan Perak:

-      vs Selangor (14 Ogos, 2021)

-      vs Kedah (17 Ogos, 2021)

-      vs Melaka (21 Ogos, 2021)

-      vs Sabah (27 Ogos, 2021)


Baki perlawanan Melaka:

-      vs UiTM FC (13 Ogos, 2021)

-      vs Selangor (17 Ogos, 2021)

-      vs Perak (21 Ogos, 2021)

-      vs Kedah (27 Ogos, 2021)


 

 

 

0
0
6
1
4

Copy Link: