PENDUDUK Terengganu sekali lagi berpeluang turun padang untuk hadir beramai-ramai ke program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) yang akan berlangsung pada 2 sehingga 4 Jun 2022 di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus bagi sama-sama menghayati konsep yang mahu diterapkan oleh kerajaan itu.

Penganjuran program JAKM itu adalah yang kedua terbesar anjuran Kerajaan Pusat dengan kerjasama Kerajaan Negeri selepas Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri pada 20 Mei 2022 di Dataran Jambatan Angkat, Kuala Terengganu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aspirasi Keluarga Malaysia


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat negeri ini untuk hadir memeriahkan program tersebut yang dipenuhi dengan pelbagai acara menarik.

Katanya, menerusi program itu sudah tentu apabila kerajaan negeri melaksanakan program ini, kerajaan negeri mendukung semangat kerjasama, kesepaduan dalam satu masyarakat dan komuniti serta kebersamaan di Negeri Terengganu khususnya. 

"Oleh kerana itu, kerajaan negeri menyokong dan mendukung Aspirasi Keluarga Malaysia ini dari awal lagi dan bagi kita ia sangat bertepatan dengan keperluan dan suasana semasa ketika ini,” katanya.



Menurutnya, yang paling penting dalam program ini ialah bagaimana rakyat menggunakan ruang dan peluang yang ada ini untuk sama-sama membentuk satu Keluarga Malaysia dan juga menghidupkan kembali ekonomi seluruh anggota masyarakat setelah berdepan dengan pandemik selama lebih dua tahun.

Sehubungan itu, beliau dan seluruh kepimpinan negeri menyeru masyarakat untuk hadir dan meraikan pelbagai aktiviti yang disediakan.


Datuk Ser Dr Ahmad Samsuri Mokhtar


"Kami pada peringkat kerajaan negeri amat teruja dengan penganjuran JAKM dan kita ingin memaksimumkan kehadiran dalam kalangan pengunjung, setakat ini persiapan diketuai kementerian peneraju iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjalan lancar. 

"Oleh itu pelbagai tarikan dirancang untuk pengunjung terutama penglibatan kementerian dan jualan yang menjadi tumpuan pada program ini.

"Ada karnival kerjaya, jualan, dan pada salah satu malam ada Kuala Terengganu Berselawat, jadi kita cuba membuat pengisian jasmani dan rohani dalam memenuhi keperluan hidup bekeluarga," katanya.


Ahmad Samsuri menyambut  ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malsysia Aidilfitri pada 20 Mei 2022 lalu di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Seri Bijaya Raja Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata pihak kerajaan negeri sendiri melibatkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pejabat Menteri Besar, Pihak Berkuasa Tempatan, jabatan-jabatan, agensi-agensi, pihak swasta dan komuniti pada peringkat akar umbi sentiasa memberikan sokongan bagi memastikan Program JAKM Terengganu di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus pada 2 sehingga 4 Jun ini berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

“Berdasarkan beberapa mesyuarat jawatankuasa, lawatan persediaan ke tapak, pertemuan dengan semua pihak berkaitan dan pemegang taruh, Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang bersifat holistik dan memenuhi keperluan semasa, memiliki konsep yang bersifat kekeluargaan dan boleh disertai semua tanpa mengira peringkat usia,” katanya ketika ditemu bual menerusi stesyen radio Manis FM pada 31 Mei 2021. - KitaReporters


Tengku Farok Hussin ketika diwawancara oleh stesyen radio Manis FM untuk promosi program JAKM

13
9
1
16
0

Copy Link: