Video| Adlin rela dibenci jadi pengetua sekolah! Demi drama bersiri Astro, Projek: Anchor SPM
Published by“Saya tidak kisah dilabel sebagai guru garang, Terus membenci saya, Saya ok, itu pahala untuk saya. Tapi kalau betul-betul benci tengok tiap-tiap minggu supaya lebih benci,” ujar pelakon Adlin Aman Ramlie, 48, sambil berseloroh.
Beliau berpendapat demikian ketika menjawab soalan media pada sidang akhbar secara virtual drama bersiri premium terbaharu Astro Originals, ‘Projek: Anchor SPM’ pada petang Selasa, 2 Mac 2021.
“Saya tak ambil perkara itu personal langsung jika itu yang penonton rasakan tetapi mungkin itulah kesan yang diharapkan pengarah dan penulis cerita ini, “ tambah Adlin yang memegang watak Pengetua Awang yang tegas di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) Cameron Highlands.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan drama bersiri:
https://kitareporters.com/search?search=drama+bersiri
Ditanya kemunculannya semula setelah lama tidak berlakon, Adlin memberitahu agak teruja dengan karya yang diketengahkan itu apatah lagi diarahkan oleh pengarah dan penulis berkaliber filem ‘Pusaka’, Razaisyam Rashid serta Anwari Ashraf, bahkan yakin dengan penerbitan Astro Originals serta barisan pelakon muda lainnya.
‘Projek: Ancho SPM’, memaparkan kisah fiksyen diinspirasikan daripada kisah yang pernah berlaku dalam pengalaman kehidupan pelajar dan gelagat mereka menghadapi SPM bakal disiarkan selama 8 episod bermula 15 Mac ini di Astro Citra saluran 108 HD dan 128 SD, setiap hari Isnin, jam 9 malam.
Selain pelakon veteran seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat, Tony Eusoff dan Susan Lankester, rata-rata watak utama yang membintangi drama ini terdiri daripada barisan pelakon muda seperti Aedy Ashraf, Daiyan Trisha, Shasha Abedul, Nadhir Nasar dan Chubb-E.
Tambah menarik, keunikan yang diterapkan kepada drama ini berlatarbelakangkan tahun 2003 dengan harapan penonton dapat mengimbau kembali kenangan zaman persekolahan menerusi barang-barang nostalgia, prop dan set di samping elemen persahabatan, percintaan alam remaja, kekeluargaan, serta ragam dan aktiviti para pelajar sekolah.
Antara kekuatan lain 'Projek: Anchor SPM' adalah sinematografinya yang berkualiti tinggi setaraf filem, manakala busana dan gaya penampilan telah direka mengikut karakter setiap watak.
“Bagi memastikan lakon layar yang komersial, pasukan penulis Astro Shaw writers’ room turut memainkan peranannya dalam penghasilan skrip dan praproduksi yang telah memakan masa selama empat bulan, “ jelas Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad (gambar bawah), yang turut hadir bersama team produksi dan pelakon-pelakon terlibat.
Menurut Raja Jastina, drama ini mengetengahkan subjek yang dekat dengan penonton Malaysia, iaitu pengalaman dan isu di sekolah yang mungkin tidak dibincangkan selama ini.
Antaranya isu psikologi, tekanan daripada keluarga dan pengaruh rakan sebaya, lebih-lebih lagi di kalangan anak muda.
“Kami menyedari banyak isu sosial dan stigma yang jarang disentuh dan ia adalah subjek sangat menarik untuk kita kupas, di samping membawa penonton untuk mengimbas kembali memori di sekolah,” tambah Raja Jastina.
Dalam pada itu, menjawab persoalan mengenai mungkin ada yang mempertikaikan tentang subelemen iaitu ‘meniru’ yang dipaparkan dalam drama berkenaan, kata Raja Jastina, “kehadiran drama ini adalah untuk memberi teladan kepada semua kerana setiap kelakuan yang salah pasti ada hukuman dan pengajarannya.”
Sementara itu, Raja Jastina berharap golongan ibu bapa boleh membuka mata untuk lebih memahami beban serta tekanan yang dialami anak-anak dalam menghadapi peperiksaan.
Dari kiri: Razaisyam, Chubb-E, Raja Jastina, Aedy Ashraf, Daiyan Trisha, Anwari Ashraf (depan), Nadhir Nasar (belakang), Shasha Abedul dan Adlin yang hadir sidang media Projek: Anchor SPM secara virtual pada 2 Mac 2021.
“Saya harap penonton dapat berhibur dengan drama siri premium ini serta mengambil nilai-nilai positif yang boleh dijadikan sebagai pengajaran,” sambung Anwari Ashraf selaku Pengarah & Show Runner 'Projek: Anchor SPM' yang buat pertama kalinya juga mengarahkan drama siri premium bersama Razaisyam Rashid.
“Tentunya, ada cabaran dalam menghasilkan karya ini, lebih- lebih lagi sesi penggambaran adalah ketika berlangsungnya fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan banyak limitasi perlu ditempohi,” jelas Razaisyam sambil memberitahu menerusi 8 episod yang disiarkan, penonton dapat menyaksikan konflik berbeza ditampilkan dalam setiap episod yang diyakini mampu mencetuskan keterujaan, sekali gus mendorong penonton untuk terus menantikan episod seterusnya.
Tak sabar nak tahu apa kisahnya yang membuatkan Adlin bakal dibenci penonton?
Eloklah tandakan kalendar anda pada 15 Mac 2021 ini ya untuk menonton episod pertama ‘Projek: Anchor SPM' di Astro Citra dan saksikan apa kah ia sebuah cerita ciplak atau diinspirasikan oleh sebuah filem Thailand, "Bad Genius' (2017) seperti didakwa seorang netizen dalam laman twiter sehingga menjadi viral.
Yang penting kedua-dua pengarahnya dah menjawab menafikan dakwaan tersebut sambil berkata 'ia 100% lain daripada 'Bad Genius.' - KitaReporters