SELEPAS lagu Sesungguhnya 2019 mendapat sambutan hangat, kini penyanyi Alif Satar kembali lagi dengan kumpulan nasyid yang digemarinya iaitu Raihan. Untuk Ramadan tahun ini, Alif memilih lagu Damba CintaMu, dendangan asal oleh Raihan untuk mereka kolaborasi. : KitaReporters


Alif Satar dan kumpulan Raihan kembali berganding mendendangkan lagu Damba CintaMu.


Menurut Alif, beliau memilih Damba CintaMu kerana ia merupakan antara lagu dendangan Raihan yang digemarinya.

“Lagu itu cukup memberi kesan keinsafan kepada insan yang sedang mencari cinta Allah. Sudah lama saya simpan hasrat untuk menyanyikan lagu ini kerana maksudnya amat mendalam.

“Melodi asal lagu ini adalah berbentuk accappella tapi untuk kolaborasi ini, susunan lagu dan melodi telah dibuat dengan lebih segar dan moden. 

"Susunan lagu ini dibuat oleh ahli-ahli band The Locos,” jelas Alif.

Tambah penyanyi I Want You To Love Me itu, penggunaan alat muzik sangat sesuai pada tempatnya dan tidak terlalu berlebihan. 

Bunyi dram yang bersahaja tetapi ada dinamiknya.

Turut digunakan untuk menampakkan lagu ini lebih segar dan sesuai dengan masa kini, penggunaan gitar, bes dan clarinet turut dimasukkan.

“Kami tidak sempat menyiapkan video muzik lagu ini untuk dimuat naik dalam YouTube. 

"Bagaimanapun video lirik lagu yang disiarkan dibuat dalam dua versi iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris.

“Tujuan dibuat dalam dua bahasa untuk memudahkan mereka yang tidak faham bahasa Melayu agar mengerti maksud yang cuba kami sampaikan menerusi lagu Damba CintaMu,” ujar Alif.

Menariknya untuk video lirik tersebut Alif dan Raihan sempat menggunakan khidmat seorang selebriti wanita terkenal dan rakaman dibuat sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kalau nak tahu siapa selebriti tersebut, jangan lupa tonton video muzik Damba CintaMu pada Isnin 27 April 2020 di semua platform streaming termasuk di YouTube, selepas sahur.

Damba CintaMu merupakan lagu pilihan Alif sendiri.


Sementara itu, Abu Bakar Md Yatim yang mencipta Damba CintaMu pada 1997 berkata, lagu tersebut adalah tentang pengakuan secara terus terang kita sebagai hamba kepada Tuhan yang Esa.

Kolaborasi Alif dan Raihan mendapat sokongan ramai.


“Sebagai manusia biasa, ada kalanya kita melakukan kebaikan dan kadang-kadang tidak sengaja terlupa siapa diri kita. Ada kalanya kita sengaja berbuat dosa, sedangkan kita tahu Allah mengetahui segalanya.

“Selepas berbuat salah, kembalilah bertaubat kepada-Nya.

"Walaupun berulang kali berbuat salah tetaplah kembali kepada Allah. Saya bersyukur kerana lagu ini akan kembali didengari oleh orang ramai,” katanya.

Bagaimanapun Abu Bakar sempat melahirkan rasa kesedihan kerana seminggu sebelum Raihan merakam lagu tersebut, ibu kesayangannya, Raden Ramlah Raden Ali telah kembali ke rahmatullah.

Dalam pada itu, kata Che Am, Damba CintaMu sesuai dengan situasi semasa kerana mesej yang dimuatkan dalam lagu tersebut amat relevan.

Damba CintaMu merupakan lagu pertama terbitan ASET Records (Alif Satar Entertainment Records) dan Alif telah bekerjasama dengan Universal Music Malaysia sebagai pengedar di platform digital dan promosi single tersebut. - KitaReporters


2
0
0
0
0

Copy Link: