ASTRO melakar inisiatif baharu dengan mengangkat bakat yang sebelum ini sekadar tular dalam platform media sosial dan tular dalam bidang pekerjaan masing-masing ke skala yang lebih besar di platform televisyen dengan memperkenalkan program “Suara Viral”. : KitaReporters

Sejumlah 10 peserta bakal bersaing pada program 'Suara Viral', musim pertama di Astro Prima bermula 17 Jun 2020.


Bermula 17 Jun 2020 ini, ‘Suara Viral’, program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian terbitan Astro Prima bakal menampilkan 10 barisan pelantun suara bekerjaya yang pernah tular dalam bidang masing-masing di Malaysia menerusi platform media sosial.

Mengumumkan program terbaharu dari ASTRO berkenaan, Norzeha Mohd Salleh selaku Pengurus Saluran Astro Prima memberitahu media, memandangkan elemen yang bersifat tular menjadi trend masa kini, “Suara Viral” dilihat mampu mengubah nilai komersial kandungan yang ditawarkan malah menjanjikan kelainan yang segar.

Norzeha Mohd Salleh.

“Menerusi ‘Suara Viral’ para peserta diberi peluang untuk mempamerkan bakat dan kreativiti masing-masing yang selama ini mungkin hanya dipertontonkan dalam alam maya ke alam sebenar.” tambah Norzeha.

Seramai 10 peserta yang terdiri daripada enam peserta lelaki dan empat peserta wanita bakal bersaing di pentas utama ‘Suara Viral’ selama lapan minggu untuk musim yang pertama. 

Mereka terdiri daripada:

  1. Ahmad Anis Aznan, 32, (Bobby, rider); 
  2. Nabilah Mohammad, 31 (Bella, Eksekutif PR); 
  3. Mohd Firdaus Mahadzir, 32 (Boy, Krew Teknikal Audio); 
  4. Zamari Zakaria, 36, (Jerry, Setiausaha Pertahanan Awam); 
  5. Fairuzziha Hazwany Mohamad Yusoff, 31, (Soffwany, Koperal Pemerhati Udara, PDRM); 
  6. Mohd Azruil Bohari, 38, (Azrul, Pegawai Lalu Lintas Pembinaan); 
  7. Farid Othman, 30, (Farid, Jurutera Mekanikal); 
  8. Dian Sulastrie Abdul Fattah, 39, (Sulastrie, Koperal French Horn PDRM); 
  9. Abdul Hamim Haji Sulaiman, 32, (Ameem, Eksekutif Pemasaran Agensi Pelancongan): dan 
  10. Farah Noorasikin Abdul Rahim, 32,  (Farah, Lans Koperal Angkatan Tentera Malaysia). 


Format penjurian berdasarkan sistem pecahan pemarkahan 70% oleh barisan juri profesional di studio dan 30% oleh ‘Juri Duduk Rumahiaitu juri virtual yang telah dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. 

Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan.

Menurut Norzeha, pada asalnya program ‘Suara Viral’ sepatutnya disiarkan secara langsung, namun bagi mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam usaha mengekang wabak COVID-19, ia hanya akan diteruskan dengan rakaman awal tanpa melibatkan kehadiran penonton di studio.

Siapa pula barisan para juri?

Buat pertama kali, dua penyanyi popular tanah air dengan latar belakang portfolio seni yang cukup disegani dalam persada muzik tanah air iaitu Misha Omar dan Akim Ahmad bakal digandingkan bersama sebagai Juri Tetap ‘Suara Viral’.

Siapakah yang berjaya viralkan suara mereka? Adakah ‘Abg Rider’ lebih hebat dari ‘kakak polis’? Atau mungkin ‘Abg Jurutera’ lebih terserlah dari ‘Kakak Tentera’?, tulis Misha melalui Instagramnya @mishaomar.


Bersama Misha dan Akim, seorang Juri Otai turut diundang khas secara bergilir-gillir sebagai juri jemputan di studio bagi mengadili persembahan para peserta. 

Mereka terdiri daripada selebriti tersohor tanah air.

Selain mereka, seramai lapan figura berpengaruh yang mewakili bidang masing-masing turut dilantik sebagai Juri Duduk Rumah yang akan mengadili persembahan setiap peserta secara virtual. 

Mereka terdiri daripada Idayu, Bob Yusof, Sissy Imann, Sarah Suhairi, Syafiq Farhain, Ngektsai, Niezam Abdullah dan Sudyr Tahir.

AC Mizal. - Kredit foto: Instagram @emyliadac.

Sementara itu, bagi memeriahkan program sudah tentu memerlukan pengacara yang versatil dan berpengalaman dalam mengendalikan program pertandingan realiti malah elemen selitan elemen humor dapat menambat hati penonton.

Untuk itu, tanggungjawab tersebut tidak lain diletakkan ke atas bahu Dato AC Mizal memandangkan kredibitliti, karisma dan kredibiliti beliau selaku pengacara mendapat sambutan penonton. 

Dan bersamanya bagi menceriakan suasana di belakang pentas, penyanyi Marsha Milan Londoh ditugaskan sebagai ‘Pengacara Back Stage’ untuk musim ini.

Bagi makluman semua, pemilihan barisan peserta adalah melalui sesi uji bakat dan saringan tertutup yang teliti bagi mengenal pasti bakat yang benar-benar mampu memberi cabaran sengit.

Tunjang utama pemilihan adalah berdasarkan kekuatan vokal, mempunyai kerjaya, keunikan karektor dan identiti serta nilai komersial yang tinggi.

Juara ‘Suara Viral’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 beserta trofi sumbangan Astro.


Jadi jangan lupa ya… ”Suara Viral’ akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan aktiviti perkembangan para peserta ketika membuat persiapan dan latihan menjelang konsert mingguan dapat ditonton melalui liputan harian ‘Jom Intai Suara Viral’ pada setiap hari Isnin dan Selasa, jam 6.55pm bermula 15 June 2020.

Manakala rakaman konsert mingguan ‘Suara Viral’ akan berlangsung dari Studio Visual Three, Seri Kembangan dan bakal ditayangkan selama dua jam pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 17 Jun 2020.

Jom kita tonton siapa mempunyai suara viral antara yang benar-benar viral. - KitaReporters

2
2
0
2
0

Copy Link: