Video| Ismail dan Shalma serasi bergandingan! Kali ini bersama lagi dalam filem Dendam Penunggu
Published byIsmail Izzani dan ‘buah hatinya’, Shalma Eliana.
INI kali kedua, pasangan muda ini, Ismail Izzani dan ‘buah hatinya’, Shalma Eliana digandingkan berlakon bersama namun merupakan langkah pertama mereka tampil dalam sebuah karya bergenre seram, ‘Dendam Penunggu’.
Sebelum ini, mereka tampil dalam drama bersiri ‘Lelaki Lingkungan Cinta’ yang mengisi slot Lestary TV3 pada Oktober 2020 lalu. Apakah mereka mengikat pakej perjanjian harus bersama apabila ditawarkan berlakon?
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan kisah percintaan
“Oh tidak, kebetulan kami mendapat tawaran ini, jadi kami mengambil keputusan apa salah menerimanya,” jawab Shalma Eliana, 21, sambil mendapat anggukan tanda bersetuju daripada Ismail Izzani yang duduk di sebelahnya.
Kedua-dua mereka bersama dua barisan pelakon muda lain, Bella Dowanna dan Imran Aqil ditemui pada sesi sidang media secara virtual filem ‘Dendam Penunggu’ pada Jumaat, 29 Oktober 2021.
Dari kiri, Bella Dowanna, Imran Aqil, Shalma Eliana dan Ismail Izzani.
SS
Menyambung jawapan Shalma, Ismail Izzani turut menafikan beliau akan hanya berlakon di samping 'kekasih'nya itu.
“Tidak terlintas langsung sama sekali, Ia rezeki masing-masing, Jika Shalma dapat tawaran tanpa saya pun beliau boleh menerimanya dan begitu juga saya,” ujar Ismail Izzani.
Anak kepada penyanyi veteran 80-an, Datin Suliza Salam ini berpendapat kebaikannya dapat berlakon bersama sudah tentu ‘chemistry’ itu lebih mudah dibina sebagaimana yang mereka rasakan ketika melakonkan watak masing-masing dalam ‘Dendam Penunggu’.
“Ini cerita seram pertama saya dan juga Shalma, jadi untuk membina keserasian sudah tentu memudahkan cuma cabarannya saya seorang yang periang jadi untuk berlakon watak serius memang sukar,” akui Ismail Izani Zainal Nazeri ini yang juga berusia 21 tahun .
“Nak tergelak pun ada, “ sambung Shalma.
Namun kata Shalma, bersama rakan-rakan pelakon lain seperti Bella Dowanna dan Imran Aqil, pengalaman berkumpul bersama sangat ‘fun’ memandangkan mereka sudah mengenali antara satu sama lain.
“Yang menariknya, walaupun genre filem ini seram tetapi mesej di sebaliknya itu yang mahu kami sampaikan iaitu berkaitan buli. Jangan membuli,” tekan Shalma dipersetujui rakan-rakan lainnya.
Dalam pada itu, Ismail Izzani melahirkan rasa terujanya untuk melihat hasil lakonannya dalam ‘Dendam Penunggu’ memandangkan watak yang dipegang mengingatkannya juga kenangan alam persekolahan.
“Apabila melakonkan watak Zul, seorang pelajar yang mempunyai masalah dengan keluarga, saya boleh relate dengan kehidupan saya juga cuma susahnya apabila perlu jadi serius sebab saya bukan seorang yang serius,” ujarnya dalam ketawa kecil.
‘Dendam Penunggu’ mengisahkan lima orang pelajar baharu di Kolej Kebangsaan Malaya menemui rahsia-rahsia gelap yang menghantui sekolah mereka.
Zul dan rakan-rakannya kini menghadapi pelbagai gangguan ghaib setelah menceroboh blok terlarang di kolej mereka.
Mampukah mereka menghentikan gangguan ngeri ini atau sejarah bakal berulang kembali?
Nak tahu jawapannya, bolehlah saksikan ‘Dendam Penunggu’ yang merupakan filem original pertama dihasilkan untuk tonton Cinema bermula 5 November 2021, eksklusif di www.cinema.tonton.com.my atau aplikasi tonton dengan harga langgan RM12.90 untuk tontonan selama 48 jam.
“Mereka juga boleh tonton melalui aplikasi Tonton yang tersedia dalam telefon pintar dan smart TV termasuklah dalam laptop melalui laman sesawang Tonton Cinema,” jelas Amir Rasyidi Johari, sesuai dengan tagline Tonton Cinema, #IkutCaraYou.
Menurut Amir, misi Tonton Cinema adalah untuk menjadi sebuah platform di mana penonton boleh memilih pelbagai kandungan untuk ditonton bersama seisi keluarga.
“Kami juga memastikan pendekatan yang berbeza untuk setiap kandungan yang ditawarkan, di mana anda tidak akan dapat dari TV dan ‘Dendam Penunggu’ adalah permulaannya. Dan bekerja bersama pelakon-pelakon yang berbakat juga adalah antara perkara yang kami titik beratkan semasa memilih sesuatu kandungan itu,” tambah Amir.
Dendam Penunggu juga menampilkan lagu Sengsara nyanyian Khai Bahar yang dihasilkan oleh John Jeeves, Firdaus Rahmat dan Omar K sebagai OST filem ini, membawa mesej antibuli. - KitaReporters