'Undogeze' dipersembahkan di Malaysia! Dilancar MukaRakat di Indonesia selepas lebih setahun!
Published byJangan tergelincir lidah nak sebut nama kumpulan ini, MukaRakat bukan Muafakat ya!
Tetapi apa pun barisan lima anggota MukaRakat ini tetap sepakat dan muafakat demi mengukuhkan nama mereka ke satu tahap yang membanggakan dalam usia baru 4 tahun penubuhannya.
Kumpulan hip hop terkenal dari Nusa Tenggara Timur (NTT) yang kini menetap di Bali ini mempunyai makna tersendiri.
Rakat atau masyarakat adalah panggilan khusus bagi pendatang dari Indonesia Timur, terutama NTT. Jadi, MukaRakat dapat diterjemahkan sebagai ‘wajah masyarakat Indonesia Timur’.
Dianggotai Lipooz, D’Flow, DirtyRazkal, A’Chi dan DJ GeraMar, MukaRakat mewakili suara Indonesia Timur melalui mesej muzik mereka yang menampilkan dialek daerah yang kuat serta bunyi-bunyi khas dari alat-alat muzik NTT.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan NTT
Begitu serba ringkas keunikan nama kumpulan yang telah menjadi salah satu nama yang terkemuka dalam kancah muzik hip hop Indonesia,
Terkini, pada kala dunia berhadapan dengan situasi genting gara-gara wabak COVID-19, MukaRakat tampil menjadikan suku ketiga tahun 2021 ini menarik dan meriah dengan single terbaharu mereka 'Undogeze', sekali gus menunjukkan kebanggaan terhadap latar belakang dan identiti budaya mereka yang dipegang selama ini.
‘Undogeze’ sudah tentu satu perkataan yang tidak kurang berbelitnya nak disebut kerana ia diambil dari dialek daerah Larantuka, Nusa Tenggara Timur yang lebih kurang bermaksud ‘ke tepi’ atau ‘beralih’.
Dalam konteks trek ini, MukaRakat ingin menyampaikan mesej bahawa tiada apa yang dapat menghalang cita-cita mereka malah inspirasi penciptaannya dipengaruhi daripada arena hip hop Amerika melalui lagu ‘Move B***h” nyanyian penyanyi Ludacris yang dikeluarkan pada tahun 2002 serta kumpulan muzik, 2 Live Crew.
"Pada mulanya, lagu ini hanyalah projek santai-santai oleh A'Chi dan D'Flow, dan demo itu kemudian dihantar ke kumpulan WhatsApp kami. Setelah ahli yang lain mendengarnya, kami semua sepakat untuk memasukkan suara kami dalam trek ini dan akhirnya memutuskan untuk melancarkannya sebagai salah satu single MukaRakat,” kata mereka sependapat mengenai proses di sebalik tabir pembikinan lagu tersebut.
Lebih menarik, lagu ‘Undogeze’ merupakan karya MukaRakat sendiri tanpa ada kolaborasi dengan mana-mana pihak tetapi sebenarnya bukan ciptaan baru.
"Lagu ini betul-betul siap pada akhir tahun 2019, ketika masalah virus Covid-19 mula tersebar di China tapi belum masuk ke Indonesia. Kami bahkan membawakan lagu ini secara langsung ketika kami membuat persembahan di Malaysia pada tahun 2020," kata mereka.
Throwback : Persembahan MukaRafat di Kuala Lumpur pada Mac 2020.
Malangnya, disebabkan keadaan yang tidak dijangka, lagu tersebut hanya dapat dilancarkan secara rasmi tahun 2021 ini.
“Tetapi tidak mengapa, kerana trek ini bakal menyuntik semangat dan memberi motivasi tambahan untuk kita semua dalam menghadapi waktu sukar kala ini,” kata MukaRakat.
Dan bukan MukaRakat namanya jika tidak memberi kejutan kepada peminat mereka kerana dalam keadaan berdepan pandemik koronavirus sekali pun, mereka sedang merancang sesuatu untuk peminat.
Dedah MukaRakat, "Undogeze" sebenarnya adalah pemanas untuk projek mereka seterusnya yang masih dirahsiakan - projek kolaborasi yang sangat istimewa dan pasti menarik perhatian peminat hip hop.
Tetapi yang pasti buat masa ini, MukaRakat dengan sepenuh hati mahu mempersembahkan sebuah single yang padat dan penuh karakter untuk peminat setia mereka yang sentiasa mengikuti dan menyokong setiap langkah dan idealisme mereka.
Dan dengan sokongan Def Jam South East Asia, semoga usaha kumpulan MukaRakat mampu terus sepakat dan muafakat membawa wajah dari Timur kepada seluruh dunia agar setidak-tidaknya menghiburkan duka lara pencinta muzik hip hop di mana jua mereka berada. - KitaReporters