‘Aunty’ Rafidah buka rahsia kejayaan Hidilyn Diaz! Atlet kita kalau nak berjaya, ikut cara dia!
Published byRafidah (kanan) wanita yang turut memainkan peranan dalam kejayaan Hidilyn memenangi emas Olimpik 2020. - Kredit foto: Rafidah Muhammed.
KEJAYAAN atlet Filipina, Hidilyn Diaz memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2020, Tokyo, melalui acara angkat berat wanita kategori 55kg menyebabkan Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka tiba-tiba menjadi tumpuan dan bahan perbincangan.
Rumah milik
keluarga Rafidah Muhammed, tempat Hidi menjalani latihan sebagai persiapan ke
Sukan Olimpik yang terletak dalam kampung itu kini tidak sunyi menerima tetamu.
Pada Rabu, 28 Julai, 2021, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Rustam turut membuat kunjungan ke rumah berkenaan untuk meninjau ‘gimnasium kampung’ yang menjadi tempat latihan jaguh angkat berat Filipina itu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Hidilyh Diaz
Rafidah, 49, yang
dipanggil sebagai ‘Aunty Rafidah’ oleh
Hidi, tidak menafikan, sebagai orang yang dekat dengan atlet Filipina itu, beliau
turut berbangga dengan kejayaan Hidi, apatah lagi ia dicapai hasil latihan di
garaj rumahnya.
Tidak syak
lagi, Rafidah adalah antara individu yang memainkan peranan besar di sebalik
kejayaan Hidi sehingga atlet itu turut menyebut namanya dalam sidang media
selepas memenangi emas.
“Saya
terkejut dia menyebut nama saya dalam sidang media itu,” akui Rafidah.
“Kami terlalu
gembira bila Hidi memenangi pingat emas apatah lagi ia di luar jangkaan kerana
pesaingnya dari China (Liao Qiuyun) adalah pemegang rekod dunia.
“Lagipun prestasi Hidi pada Kejohanan Dunia April (2021) lalu kurang memuaskan yang mana dia hanya menduduki tempat keempat. Tapi, mungkin itu juga yang memberi motivasi untuk dia bekerja lebih keras sehingga memenangi emas,” kata Rafidah.
Kawasan rumah dan garaj di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka, yang dijadikan tempat tinggal serta latihan Hidilyn sebagai persiapan ke Sukan Olimpik 2020, Tokyo. - Kredit video: Rafidah Muhammed.
Menurut Rafidah, walaupun berbeza negara namun beliau sudah menganggp Hidi sebagai sebahagian daripada keluarganya terutama selepas atlet itu tinggal di rumah pusaka mereka di Kampung Kesang Tua, Melaka sejak September 2020.
“Rumah itu
sebenarnya rumah pusaka. Sejak emak dan ayah berpindah tinggal dengan saya di
Bangi (Selangor), rumah itu kosong dan tidak terurus.
“Apabila
Covid melanda, kami tidak dapat balik menjenguk rumah itu saban minggu
sebagaimana sebelumnya kerana PKP (perintah kawalan pergerakan). Lama, kelamaan
ia jadi terbiar.
“Jadi,
apabila melihat kesukaran Hidi mencari tempat untuk berlatih, suami saya (Ahmad
Janius Abdullah) mencadangkan agar Hidi berpindah tinggal di rumah itu.”
Suami Rafidah, Ahmad Janius adalah naib presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan juga setiausaha Persatuan Angkat Berat Putrajaya (PABP). Atas kapasitinya itu, ia memudahkan Janius untuk membantu Hidi.
Rafidah menyantuni Hidilyn bagai keluarga sendiri. - Kredit foto: Rafidah Muhammed.
“Bagi memastikan Hidi dapat menjalani latihan dengan selesa, kami mengubah suai garaj kereta di rumah itu sebagai tempat latihan angkat berat.
“Jika kita
lihat secara mata kasar, memanglah ia nampak tidak selesa berbanding tempat latihan
sebenar, apatah lagi untuk atlet yang akan bertanding di Olimpik sehingga ada
yang menggelarnya sebagai ‘gimnasium kampung’.
“Seminggu
selepas Hidi berlatih di situ, simen garaj itu pecah kena hentakan besi angkat
berat, jadi kami terpaksa ganti dengan simen konkrit.
“Walaupun
secara fizikalnya tempat itu nampak tidak sesuai, kami pastikan peralatan yang disediakan
lengkap kerana dalam bab ini Hidi memang cerewet, tidak berkompromi dan mahukan
kesempurnaan,” ujar Rafidah.
Selain itu
menurut Rafidah, Hidi adalah seorang yang sangat berdisiplin dan komited dengan
kariernya.
“Hidi berlatih setiap hari, pagi dan petang, kecuali Ahad. Dia tidak pernah merungut dan mengikut semua program latihan ditetapkan oleh jurulatihnya.
Hidilyn menangis kegembiraan selepas menghadiahkan emas Olimpik kepada negaranya, Filipina.
“Malah, dia juga amat menitikberatkan soal pemakanan bagi memastikan berat badannya tidak melebihi had berat badan bagi kategori diambilnya.
“Selain latihan
yang bersistematik, kesungguhan dan disiplin adalah faktor yang membawa
kejayaan kepada Hidi. Dia memang layak memenangi emas.
“Inilah
rahsia kejayaan Hidi yang saya boleh kongsi. Atlet kita kalau hendak berjaya,
ikutlah cara Hidi. Dia membuktikan, jika ada kemahuan, sesuatu boleh dicapai
walau apa pun cabarannya.
“Tiada jalan pintas untuk berjaya, kecuali komitmen, disiplin dan kesungguhan di samping faktor lain seperti sokongan keluarga dan pihak berkaitan,” katanya. - KitaReporters
Rumah pusaka Rafidah di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka menjadi tumpuan media ekoran kejayaan Hidilyn pada Sukan Olimpik Tokyo 2020. - Kredit foto: Rafidah Muhammed.