Video| Siti Nordiana dah 'Cukup Derita Itu'! Salurkan jiwa dengan sepenuh emosi dan rintihan!
Published byPERNAH menyepi beberapa tahun namun sejak menjuarai program nyanyian realiti ‘Gegar Vaganza’ musim ke-2 pada 2016, penyanyi 90-an, Siti Nordiana Alias, 36, terus bangkit tanpa menoleh ke belakang lagi.
Namun pasangan duet lagu popular ‘Paling Comel’ bersama rakan baiknya, Allahyarham Acik Spin kini ‘Cukup Derita Itu’ dan kembali bersedih serta merintih.
Dah kenapa Siti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana?
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Siti Nordiana
Peminat-peminat Nana mahu pun pengikutnya yang seramai 3.9 juta dalam laman sosial Instagramnya usahlah gusar dan risau kerana penyanyi berstatus ibu tunggal ini bukan dilanda masalah.
‘Cukup Derita Itu’ adalah lagu runut bunyi terbaharu nyanyian Nana untuk drama arahan Along Kamaludin yang menggunakan judul sama lakonan bintang popular seperti Hisyam Hamid, Ruhainies, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Didie Alias, Farhan Asri, Dian P Ramlee, Balkisyh Semundur Khan, dan ramai lagi.
Drama bersiri 40 episod itu kini sedang ditayangkan di slot Samaranda TV3 setiap Isnin hingga Khamis selama sejam mulai 10 malam bermula 6 Mei 2021 lalu.
Bagi Nana, penghasilan lagu runut bunyi sememangnya menuntut penjiwaan yang selari dengan jalan cerita sesebuah drama mahupun filem.
“Hakikatnya, perjalanan ceritanya perlu cukup jiwa dan rasa untuk melengkapkan keseluruhan mood naskhah berkenaan,” begitu pendapat Siti Nordiana.
Menyalurkan sepenuh emosi dan rintihan dalam lagu ciptaan Tam Spider dan lirik hasil nukilan Siti Rosmizah ini, Nana mengakui tetap berdepan cabaran tersendiri melunaskan lagu berkenaan meskipun diakui kehebatannya menyampaikan sebarang genre lagu dengan cara tersendiri tidak perlu diragui.
“Lagu runut bunyi perlu ada pendekatan tersendiri dan itulah cabaran yang saya hadapi untuk memastikan 'Cukup Derita Itu' menjadi. Pertama sekali, semestinya saya kaji terlebih dahulu keseluruhan plot cerita drama berkenaan untuk memastikan dapat gambaran tepat.
“Memandangkan drama itu adalah naskhah yang menuntut permainan emosi dan ada babak kesedihan, saya kena tekankan dari segi itu juga. Justeru, untuk lagu ini, saya cuba salurkan corak penceritaan dengan nada merintih terhadap setiap bait liriknya,” ujar Siti Nordiana sambil melahirkan rasa berbesar hatinya dapat menyanyikan karya nukilan Tam Spider.
“Dia sememangnya komposer yang begitu teliti dan banyak membantu saya mendalami lagu berkenaan dengan emosi tepat,” tambah Nana.
Sentiasa mengutamakan ketelitian dalam karyanya, Tam mengakui lagu ‘Cukup Derita Itu’ merupakan satu tugasan cukup besar di mana sebelum beralih kepada proses rakaman, perbincangan mendalam dengan Siti Rosmizah dibuat untuk memastikan aura lagu terbabit mampu setanding jalan cerita drama itu sendiri.
“Walaupun runut bunyi itu hanya berdurasi beberapa minit, penghasilannya perlu dilakukan dengan begitu teliti. Terutama dari segi melodinya, kena menepati keseluruhan mood serta perjalanan kisah yang ingin disampaikan dalam drama berkenaan,” luah Tam.
Beliau memuji bagaimana Siti Rosmizah menerangkan secara mendalam dan terperinci berkenaan aspek penceritaan lagu tersebut, sekali gus sangat membantunya untuk menghasilkan karya yang boleh meruntuh jiwa ramai sebaik mendengarnya serta menghayati baik liriknya. - KitaReporters