Video| Naim Daniel rindu Purnama! Pertama tanpa sentuhannya!
Published byPADA usia 23 tahun, penyanyi muda Naim Daniel sudah boleh berbangga dengan pencapaiannya dalam pentas muzik tempatan waima lagunya ‘Sumpah’ berjaya menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-34. Tidak terhenti di situ, lagunya ‘Sembah’ pula juarai carta mingguan dalam Muzik-Muzik, ERA dan berjaya merangkul 2 anugerah dalam Mid Year Joox Music Awards. Kini, bagaimana pula agaknya pencapaian lagu terbaharunya, “Purnama”. : KitaReporters
Lagi kisah-kisah berkaitan Naim Daniel:
https://kitareporters.com/search?search=Naim+Daniel
Mungkinkah lagu ini akan terus memancarkan cahaya kegemilangan bagaikan bulan purnama pada wajah penyanyi yang kini sedang popular dalam slot drama sangat berjudul 'Lelaki Lingkungan Cinta di TV3 itu?
Yang pasti judul lagu hasil ciptaan Amzar Razqa bersama sentuhan Hanis Rafi dan Omar K ini tidak bermula dengan pangkal huruf ’S’ seperti lagu-lagu popularnya, ‘Sumpah’ dan ‘Sembah’ mahu pun dua lagi lagu single terawalnya, “Sekali Lagi’ dan “Sempurna’.
Barangkali disebabkan ‘Purnama’ merupakan lagu nyanyian pertama yang tidak mendapat sentuhan peribadi daripada Naim sebagaimana lagu-lagu terdahulu, di mana Naim turut terlibat sebagai pencipta dan penulis lirik bersama.
“Purnama dicadangkan oleh seorang teman rapat saya untuk diberikan kepada Naim kerana Naim adalah penyanyi yang sesuai dan terbaik membawa lagu itu,” cerita Amzar Razqa yang turut menulis lirik lagu ciptaannya itu.
Sebagai penyanyi sudah tentu Naim tidak menolak rezeki kan?
Tidak kisahlah judulnya lari daripada abjad ’S’ atau tidak, yang pasti Naim membuktikan mampu menjadi penyanyi versatil dan menerima sebarang tanggungjawab yang terserah ke atas bahunya.
Baru-baru ini pun, Naim telah berkolaborasi bersama Hael Husaini dan Haqiem Rusli dengan single bertajuk ‘Lara’ di mana lagu itu menduduki #2 trending di YouTube dan menduduki #3 dalam Carta Malaysia 50 di Spotify.
Bercakap mengenai ‘Purnama’ kata Naim, “lagu ini ditujukan khas buat mereka yang merindui orang yang mereka kasihi dan sentiasa mendoakan mereka walaupun mereka sudah tiada.
"Jadi buat semua yang masih hidup, sentiasa hargai dan beritahu keluarga dan rakan-rakan yang rapat bahawa anda menyayangi mereka sebelum terlambat.”
Satu nasihat yang cukup baik dijadikan renungan buat mereka yang mengalami keadaan seumpama ya tak?
Apa pun jika korang sering menjengah ke laman Instagram Naim, tentu perasan beliau telah menyanyikan teaser lagu ‘Purnama’ malah mencabar pengikutnya untuk bernyanyi bersamanya dalam TikTok ‘Purnama Duet Challenge’ pada bulan September 2020.
Ketika itu apabila dibaca kapsyennya Naim ini dilihat menulis ayat yang membayangkan seolah beliau belum pasti mahu atau tidak menerbitkan lagu ‘Purnama’ tersebut.
Tetapi sekarang dah sah, Naim kembali lagi dengan single terbaharunya bergenre balada ‘Purnama’ terbitan World Peace Entertainment.
Video muzik lagu ini yang mengisahkan mengenai seorang lelaki mengalami tekanan emosi dan mental gara-gara kehilangan seseorang yang dikasihi dijangka akan dilancarkan pada 27 November 2020 di YouTube World Peace Entertainment.
Dan seperti biasa ia boleh didapati dan dimuat turun di semua streaming platform seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX dan lain-lain. - KitaReporters