Sukan golf platform input berguna! Bolehkan UUM-KPT eratkan kerjasama! Untuk perancangan masa depan!
Published bySERAMAI 24 pemain golf dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berentap dalam Kejohanan Golf Persahabatan yang berlangsung di Staffield Country Resort, Negeri Sembilan pada 18 Februari 2023.
Kejohanan persahabatan itu merupakan penganjuran yang pertama oleh UUM melalui Akademi Golf Nasional (AGN) UUM itu turut menggabungkan pensyarah UUM serta pegawai kanan dari KPT.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sukan golf
Berucap dalam majlis meraikan para pemenang, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar berkata, golf merupakan sukan yang istimewa kerana menyediakan ruang serta peluang untuk KPT mendapatkan input berguna dari universiti bagi tujuan perancangan masa hadapan.
“Jaringan yang terjalin dalam sukan golf itu penting dan besar maknanya kerana pihak saya (KPT) boleh mengambil input yang baik dari Universiti Awam (UA) untuk sebarang perancangan akan datang,” ucapnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan di atas inisiatif AGNUUM menganjurkan kejohanan golf persahabatan buat kali pertama.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Shahimi Mohtar berkata, kejohanan tersebut dianjurkan bagi meraikan hubungan kerjasama yang baik antara Seksyen Sukan KPT dan UUM melalui AGNUUM yang berjaya mengendalikan Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) Golf KPT dengan penuh dedikasi serta mencapai pelbagai kejayaan pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Kejohanan ini diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan di antara pengurusan tertinggi UUM secara amnya dan AGNUUM secara khususnya dengan pihak KPT selain memperkukuhkan lagi jalinan silaturahim sesama pelajar di bawah AGNUUM,” katanya.
Antara aksi pemain golf yang menyertainya.
Shahimi menjelaskan bahawa sukan golf bukan sahaja dikhaskan kepada golongan elit seperti yang didakwa oleh masyarakat sebaliknya beliau melihat bahawa sukan golf adalah untuk semua masyarakat.
“Pendedahan bakat-bakat baharu perlu dipupuk agar lahir generasi pemain baharu yang bakal membawa kejayaan.
“Adalah menjadi hasrat UUM yang telah dilantik sebagai Pusat Kecemerlangan Golf dan dengan usaha AGNUUM sebagai pelopor kepada mandat tersebut, maka diharapkan kejohanan ini dapat menyuntik kesedaran dan minat masyarakat Malaysia umumnya kepada sukan golf,” katanya.
Menurutnya, penganjuran ini membentuk lebih banyak jaringan dalam kalangan pemain untuk berkongsi pendapat dan kepakaran masing-masing dalam mempromosikan lagi sukan golf di kalangan masyarakat serta pelajar.
Kejohanan ini menyaksikan tiga pemain terbaik mengungguli kejohanan iaitu, tempat ketiga disandang oleh Timbalan Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Pekan Ramli. Manakala Pensyarah dari Pusat Pengajian Kerajaan (COLGIS) Dr. Muslimim Wallang di kedudukan tempat kedua.
Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) UUM, Prof. Madya Dr. Adzrool Idzwan Ismail, berjaya merangkul gelaran Pemain Terbaik Keseluruhan kejohanan dan bagi kategori Kumpulan Terbaik Keseluruhan pula dinobatkan kepada pasukan KPT. - KitaReporters