SHAHRUL Saad atau digelar Badak (kanan) cuba merembat bola sambil dikejar oleh Hector Hevel dalam sesi latihan di Pusat Latihan JDT FC, Padang Seri Gelam, Johor pada 21 Mac 2025. - Kredit foto: FAM


‘ULAM Belanda’ yang ditagih sebagai elemen Revolusi Harimau Malaya sudah pun tiba 19 Mac 2025 lalu.

Gerangannya ialah Hector Hevel, 28, perantara menyerang yang pernah menyarung jersi skuad Bawah 16 dan 20 Tahun (B16 dan B20) Belanda pada 2012 dan 2015.

Semakan laman sesawang transfermarkt.com mendapati beliau dilahirkan di Voorschoten, Belanda yang pernah menyarung jersi skuad Bawah 16  dan 20 Tahun negara kincir angin itu.

Kehadiran pemain berdarah warisan dalam sesi latihan pusat hari ketiga di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pasti turut dinanti-nantikan oleh ramai penyokong Harimau Malaya.

Begitu juga Gabriel Palmero, bek kiri kacukan Sepanyol-Malaysia menjelang perlawanan Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Nepal di stadium itu pada 25 Mac 2025 ini.

Pemain berusia 23 tahun ini dijangka menyukarkan ketua jurulatih baharu negara, Peter Cklamovski membuat pemilihan kesebelasan utama bagi posisi yang kerap didukung oleh La’Vere Corbin-Ong dan Daniel Sang Ting mahupun Safwan Mazlan itu.


GABRIEL Palmero (tengah) mengawal bola daripada acahan Dion Cools dalam sesi latihan pusat Harimau Malaya hari keempat. - Kredit foto: FAM 


Hevel dan Palmero kini melengkapkan calon tiga pemain warisan terbaharu Harimau Malaya seperti diuar-uarkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Robert Friend pada 28 Januari 2025 lalu.

Seorang lagi ialah Christian Abad, 19, kelahiran Alicante, Sepanyol yang muncul penjaga gol keempat skuad negara pada hari pertama sesi tersebut, 17 Mac 2025 lalu.

Kemasukan pemain JDT FC ini cukup mengejutkan setelah hanya Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Haziq Nadzli yang diumumkan FAM tersenarai dalam skuad 27 pemain  pada 13 Mac 2025.  

Hevel berpangkalan di kelab divisyen empat Sepanyol, CD Tenerife B, manakala Palmero dari Portimonense dalam Liga Bahagian Dua Portugal – kelab yang pernah disertai sayap kanan negara, Safawi Rasid pada 2020.

Ketika ini, mereka yang berdarah warisan dalam skuad negara ialah Daniel, Corbin, Dion Cools, Matthew Davies, Natxo Insa, Nooa Laine dan Quentin Cheng serta Stuart Wilkin. 


AHMAD Syihan Hazmi Mohamed (kiri) dan Christian Abad. - Kredit foto: FAM


“Naturalisasi antara komponen penting dalam strategi pasukan.

“Matlamat kami ialah mewujudkan skuad seimbang dan berdaya saing yang mewakili kebanggaan dan semangat bola sepak Malaysia,” kata bekas Friend, penyerang Kanada dari 2003 hingga 2011 ini.

Skuad negara juga diperkasakan dua pemain naturalisasi kelahiran Brazil iaitu Endrick Dos Santos dan Paulo Josue serta bekas warga Gambia, Mohamadou Sumareh. 

“Peraturannya ialah 23 pemain, jadi malangnya akan ada pemain yang terlepas.
“Kami satu pasukan. Saya tidak akan menghantar mereka pulang. Mereka ada di sini dan saya mahu mereka berasa sebahagian daripada pasukan. Mereka tetap akan bersama pasukan sehingga wisel penamat 90 minit," kata Cklamovski, 47, warga Australia, dipetik daripada laman sosial FAM pada 22 Mac 2025.  - KitaReporters

PETER Cklamovski mahu menjadikan perlawanan dengan Nepal di SSI penanda aras sentuhan sulungnya sejak diumumkan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada 16 Disember 2024 lalu. Di belakangnya, Safawi Rasid. - Kredit foto: FAM

17
6
0
12
0

Copy Link: