Revolusi Harimau Malaya menderu! Tibanya Dr Craig sebagai elemen ketiga! Jadi Ketua Prestasi Tinggi!
Published byBIODATA ringkas Dr. Craig Dunca dalam laman sesawang FAM. - Kredit foto: FAM
REKOD pencapaian dan reputasi silam memang cemerlang namun apakah impaknya kepada pasukan kebangsaan Malaysia dengan kehadiran Dr. Craig Duncan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor mulai Januari 2025 ini?
Warga Australia ini menjadi elemen ketiga revolusi Harimau Malaya dalam penstrukturan baharu organisasinya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas pengumuman pelantikan Peter Cklamovski dan Robert Douglas Friend sebagai ketua jurulatih negara dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada 16 dan 31 Disember 2024 lalu.
Dia menyandang jawatan Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan pasukan negara, lapor siaran media menerusi laman sesawang dan sosial FAM pada 2 Januari 2025.
CRAIG Duncan menjadi Ketua Sains Sukan FFA yang bergandingan dengan Peter Cklamovski selaku penolong pengurus Socceroos juara Piala Asia 2015.
Duncan ialah antara tulang belakang kejayaan Australia atau dijuluki Socceroos menjulang Piala Asia AFC 2015 di tanah airnya dan Iran (Team Melli) ke separuh akhir edisi 2019 di Abu Dhabi.
Bersama Western Sydney Wanderers, kelab ini menjadi pasukan Australia pertama memenangi Liga Juara-Juara Asia pada 2014, lapor siaran itu.
Menilai jawatan terbaharu ini dan latar belakang kariernya, dia seperti penyelesaian kepada masalah kecederaan dan pemulihan pemain negara yang sering kali membelenggu mereka dalam melonjakkan persembahan terbaik di atas padang.
Duncan pasti lebih berperanan sebagai petugas sokongan kepada barisan kejurulatihan Cklamovski malah mungkin dilantik atas saranan ketua jurulatih itu di mana mereka bekerjasama dalam Socceroos juara Piala Asia 2015 selain direstui rakan senegara yang juga Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell.
“Dr. Craig merupakan CEO Agensi Penyelidikan Prestasi dari 2009 hingga 2024 selain bekas Ketua Sains Sukan Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) dari 2014 hingga 2018.
“Pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Sukan dan Senaman Universiti Sydney ini juga pernah menyertai Universiti Katolik Australia selaku Pensyarah Kanan Senaman dan Sains Sukannya pada 2013 serta Penasihat Rakan Kongsi Prestasi Elit.
“Tanggungjawabnya (dengan Harimau Malaya ialah) dalam hal-ehwal prestasi tinggi, kecergasan fizikal, pemulihan, sains sukan dan psikologi sukan; pemakanan dan pembangunan kakitangan,” lapor siaran berkenaan.
CRAIG Duncan menyelia prestasi tinggi Iran atau digelar Team Melli yang mara ke separuh akhir Piala Asia 2019.
Duncan juga diharap tidak lagi bertolak ansur dengan helah kelab handalan Liga Super, Johor Darul Ta'zim FC yang hanya mengutus laporan perubatan dua tonggaknya yang dikatakan cedera dan tidak cergas untuk dipanggil bagi tugasan Harimau Malaya dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Kes ini telah berlaku ketika skuad negara kendalian Pau Marti Vicente menagih khidmat Natxo Insa dan Romel Morales untuk berdepan Laos dan India dalam siri perlawanan antarabangsa tahap 1 di Bangkok dan Hyderabad pada 14 dan 18 November 2024 lalu.
Mereka tidak hadir pun ke Wisma FAM untuk melapor diri dan diperiksa terlebih dahulu, namun alih-alih dalam beberapa hari kemudian, cergas bermain sebuah perlawanan persahabatan ketika Liga Malaysia direhatkan bagi tugasan antarabangsa.
HARIMAU Malaya yang mengukir persembahan terbaiknya sepanjang 2024 dengan menambat Korea Selatan 3-3 dalam Piala Asia 2023/2024 di Stadium Al Janoub, Al Wakrah, Qatar. - Kredit foto: FAM
Namun segala rekod dan reputasi di Australia dan Iran mahupun Western Sydney Wanderers dianggap hanya laku di atas kertas selagi tidak dapat diterjemahkan kepada Harimau Malaya yang menghadapi misi penting iaitu Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 yang bermula 25 Mac 2025 hingga 31 Mac 2026.
Malaysia yang kini penghuni ranking ke-130 dunia, diundi dalam Kumpulan F dengan Vietnam (ke-114), Nepal (ke-175) dan Laos (ke-186) dengan hanya juaranya dalam saingan timbal balik enam perlawanan ini bakal ke pusingan akhir di Arab Saudi pada 2027 bersama-sama lima lagi pasukan.
Di bawah kendalian Kim Pan-gon dan dibantu Pau, Harimau Malaya berjaya ke Piala Asia kali pertama sejak 1980 (atau yang ketiga termasuk 1976) biarpun sekadar corot di Kumpulan E di Qatar dengan dibenam Jordan 4-0 dan Bahrain 1-0 selain mengikat Korea Selatan 3-3.
Memandangkan visi rangka kerja prestasi tinggi Dr. Craig yang ditetapkan oleh FAM turut meliputi pasukan belia dan wanita kebangsaan, sudah tentu pencapaian yang jauh lebih membanggakan daripada sebelumnya dituntut pada skuad bawah 23 tahun (B-23) baharu dengan pengendali baharunya, Nafuzi Zain.
Sukan SEA Ke-33 di Thailand dari 9 hingga 20 Disember 2025 menjadi misi kemuncak mereka dengan hanya pingat emas atau sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir pasti menjadi kayu pengukur keberkesanan revolusi bola sepak FAM ini.
Kali akhir Malaysia mengecapi ibu segala pingat emas temasya pelbagai sukan dwitahunan serantau ini ialah pada 2011 di Jakarta, Indonesia dengan menjinakkan tuan rumah 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat 1-1. - KitaReporters
CRAIG Duncan bukan sekadar membantu barisan kejurulatihan Harimau Malaya pimpinan rakan senegaranya, Peter Cklamovski bahkan skuad B-23 Malaysia yang diterajui Nafuzi Zain mahupun pasukan belia lain dan wanita kebangsaan. - Kredit foto: FAM