Sasaran meleset! Iktibar Bihar! Fokuskan Bangau/Aidil beregu, berpasukan! Myanmar ancaman baharu!
Published byHANYA acara beregu Piala Dunia di Bihar yang mampu menyaksikan podium dinaiki gandingan Malaysia (dari kiri), Noraizat Nordin, Aidil Aiman Azwawi dan Shahalril Aiman Halim. - Kredit foto: SI
SKUAD sepak takraw negara wajar mendapat gambaran lebih jelas siapa yang layak dipertaruh khususnya bagi acara beregu dan kuadran (berempat) pada kejohanan Piala Asia Sepak Takraw Astaf di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 10 hingga 18 Mei 2025 ini.
Pencapaian hanya sebutir pingat gangsa atau tempat ketiga bersama beregu dalam Piala Dunia Sepak Takraw Istaf di Bihar, India menonjolkan betapa perejam, Noraizat Nordin dan pengumpan, Aidil Aiman Azwawi hanya patut difokuskan kepada beregu dan berpasukan.
Kedua-duanya bagaikan terbeban dengan tugas sehingga tidak terdaya membantu Malaysia melepasi saingan peringkat Kumpulan B kuadran di Kompleks Sukan Patliputra, Kankarbagh, Bihar itu dengan ditewaskan lawan di ranking lebih bawah, Vietnam 12-15, 5-15 pada 21 Mac 2025 lalu.
AKSI Norfaizzul Razak kurang dimanfaatkan dan hanya disaksikan dalam penghujung perlawanan kurang mencabar acara kuadran di Bihar. - Kredit foto: SI
Kegagalan ke suku akhir kuadran akibat perbezaan tipis mata keseluruhan itu malah beregu yang disekat oleh Thailand 9-15, 17-15, 15-17 dalam separuh akhir mengakibatkan sasaran final bagi kedua-dua acara itu oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan langsung meleset.
Agak pelik dengan tindakan barisan jurulatih negara yang tidak begitu menguji dua lagi perejam dan pengumpan, Fetri Azwadi dan Nofaizzul Razak dalam kuadran di mana pasukan kita turut menewaskan Myanmar 10-15, 17-14, 15-13 dan Perancis 15-6, 15-7.
NORAIZAT Nordin memanfaatkan ketinggiannya untuk melakukan libasan Maniam ketika berdepan Thailand dan Vietnam serta Myanmar. - Kredit foto: SI
AIDIL Aiman Azwawi seperti terbeban dengan dua acara di Bihar - kuadran dan beregu sehingga gagal mengotakan sasaran final oleh PSM. - Kredit foto: SI
Fetri khususnya beraksi dengan hebat sehingga hampir menjinakkan Thailand pada saingan Kumpulan A kuadran campuran dengan libasan gulung kidal dan adangannya hebat sempat menyaingi dua tonggak Si Gajah Putih, Phutawan Sopa dan Thawisak Thongsai sebelum gandingan negara tewas 17-16, 16-17, 10-15.
Berpasukan, regu, beregu dan kuadran dipertanding pada Piala Asia Astaf dengan setiap pemain hanya dibenarkan bermain dua daripada empat acara itu biarpun Malaysia mendapat keistimewaan menyenaraikan sehingga 15 orang berbanding negara lain, hanya 12.
Noraizat atau digelar Bangau dan Aidil juga wajar diperkasa Fetri sebagai perejam simpanan, manakala Shahalril Aiman Halim yang mendukung peranan itu dalam acara beregu di Bihar, mungkin perlu dikhususkan kepada berpasukan dan regu sahaja pada Piala Asia.
THAILAND menggandingkan Phutawan Sopa dan Rachan Viphan (1) di samping Thawisak Thongsai yang menjuarai acara beregu Piala Dunia Istaf di Bihar. - Kredit foto: SI
Namun beregu negara yang menjuarai Piala Dunia Istaf di Stadium Titiwangsa - gelaran bersejarah tanggal 22 Mei 2024 lalu, diingatkan agar tidak tertumpu kepada Thailand semata-mata yang di Bihar yang menampilkan gandingan baharu, Phutawan (Thawisak) dan Rachan Viphan serta tidak lagi bersandarkan bekas perunding Malaysia, Seksan Tubtong.
Pasangan Myanmar (Shein Wunna Zaw, Zaw Min Khant dan Aung Myo Kyaw) hampir muncul juara di Bihar jika bukan kerana sedikit kontroversi pengadil yang tidak membenarkan bantahan video dalam perlawanan akhir.
Myanmar cuma kalah tipis 15-9, 15-17, 13-15 kepada Thailand sedangkan mereka pada mulanya yang menjinakkan Si Gajah Putih 10-15, 15-7, 15-9 untuk menjuarai Kumpulan B.
Skuad negara dijangka mengadakan siri perlawanan ujian dengan tiga kelab Thailand pada 17 hingga 19 April 2025 ini di Gimnasium Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil sebagai pemanas badan akhir sekali gus medan pemilihan 15 terbaik ke Piala Asia.
Perlawanan dengan kelab yang satu daripadanya Ratchaburi diperkuat bekas tekong Thailand, Rattadech Noijaroen itu bakal membabitkan keempat-empat acara Piala Asia. - KitaReporters
AUNG Myo Kyaw (kanan) melepaskan rejaman kalih sambil Thawisak Thongsai cuba menampan dalam acara kuadran campuran. - Kredit foto: SI
SKUAD SEPAK TAKRAW PROGRAM PODIUM 2025:
Tekong: Syahir Rosdi, Haziq Hairul Nizam, Zarif Marican Ibrahim Marican, Zuhri Zain, Zulkifli Razak, Amar Roslan, Riezman Faizul
Apit kanan/perejam: Azlan Alias, Noraizat Nordin, Redwan Hakim Muhammad, Fetri Azwadi, Shahalril Aiman Halim, Khairul Aiman Rosdi, Afifuddin Razali
Apit kiri/pengumpan: Amirul Zazwan Amir, Aidil Aiman Azwawi, Farhan Adam, Norfaizzul Razak, Zaim Razali.
BARISAN pemain kuadran negara bergambar dengan Perancis sebelum perlawanan Kumpulan B Piala Dunia di Bihar - Noraizat Nordin (3), Aidil Aiman Azwawi (17), Shahalril Aiman Halim (22), Norfaizzul Razak (9), Fetri Azwadi (depan, kiri) dan Amirul Zazwan Amir (8). - Kredit foto: SI