Wajah baharu Harimau Malaya 2025! Ada empat lagi pemain berdarah kacukan! Tunggu kelulusan kerajaan!
Published byFERGUS Tierney, penyerang berdarah kacukan Malaysia-Scotland yang menyerlah dengan satu gol terhadap Kemboja dalam Kejohanan ASEAN. - Kredit foto: FAM
BERMATA biru dan berambut perang. Pasti juga gerangannya yang berfizikal lebih bagus dan berpengalaman bola sepak bertahap lebih tinggi di benua bukan Asia.
Senang cakap - wajahnya juga ala-ala Fergus Tierney,
penyerang berjersi nombor 22 Malaysia yang sempat membolosi gawang Kemboja di
Phnom Penh dalam Kejohanan ASEAN pada Disember 2024 lalu.
Empat lagi pemain berdarah kacukan kini hanya menunggu kelulusan kerajaan Malaysia untuk menyarung jersi Harimau Malaya khususnya menjelang Kelayakan Piala Asia 2027 mulai 25 Mac 2025 ini.
NAIM GARCIA. - Kredit foto: TRMK
Siaran media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyebut, “proses mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia bagi empat pemain warisan baharu kini menunggu kelulusan muktamad kerajaan Malaysia.
“FAM berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas sokongan yang diberikan dalam meningkatkan mutu Harimau Malaya,” lapor siaran itu menerusi laman sesawang dan sosial persatuan pada 25 Januari 2025.
FAM menurut siaran itu juga dalam proses melengkapkan dokumentasi bagi empat lagi pemain warisan (separuh Malaysia sama ada daripada bapa, ibu, datuk atau nenek).
Badan induk kebangsaan ini dalam siaran tersebut, masih tidak menamakan siapa pemain-pemainnya namun difahamkan dua daripada mereka ialah Naim Garcia dan Ramon Rodriguez Jimenez.
RAMON Rodriguez Jimenez atau digelar Monchu. - Kredit foto: TRMK
Naim, 23, dan setinggi 1.80 meter dilahirkan di
Madrid, Sepanyol merupakan sayap kanan Racing Ferrol, manakala Ramon, 26, pula perantara kelab Aris, Greece setinggi 1.73 meter ialah anak jati Palma,
Sepanyol.
Fergus, 22, dilahirkan di Glasgow, Scotland mempunyai ketinggian 1.84 meter, kini dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) ke kelab Thailand, Nakhonpathom United FC dan sebelumnya, Chonburi FC.
Antara pemain warisan lain Harimau Malaya sekarang ialah Nooa Laine, Matthew Davies, La'Vere Corbin-Ong, Darren Lok, Stuart Wilkin dan Daniel Sang Ting.
Harimau Malaya, penghuni ranking ke-132 dunia akan bertandang ke Nepal (ke-175) bagi membuka kempen kelayakan Kumpulan F pada 25 Mac 2025, mungkin mengadakan satu perlawanan antarabangsa tahap 1 dengan sebuah lagi negara beberapa hari sebelumnya.
Turut merintangi Malaysia dalam mencapai misi muncul juara untuk layak ke pusingan akhir di Arab Saudi ialah juara baharu Kejohanan ASEAN 2024-2025, Vietnam dan Laos yang masing-masing menduduki ranking ke-116 dan 186 dunia.
PETER Cklamovski dikerumuni wakil media tempatan bagi mendapatkan ulasan pertamanya sejak menjejak kaki di Malaysia pada 22 Januari 2025.
Skuad negara yang berketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski dari Australia juga tampil dengan busana baharu berjenama Puma ekoran perjanjian kerjasama FAM selama empat tahun, pada 23 Januari 2025 lalu.
Peter pada majlis pengenalan ‘belang baharu’ Harimau Malaya yang berteknologi Ultraweave Revolusioner Pyna itu, berkata kepada media, “semua orang akan berpeluang tidak kira siapa dan sebagus mana kamu.
“(Pasukan Malaysia) sudah ada asas yang bagus tetapi
kita masih kena bekerja keras dan kekal merendah diri. Pemain-pemain juga kena
buktikan mereka cukup bagus untuk mewakili negara.
“Saya percaya secara bersama, kita boleh mengubah (Harimau Malaya) menjadi sesuatu yang istimewa,” kata bekas penolong pengurus Australia atau dijuluki Socceroos yang berjaya menjuarai Piala Asia 2015 ini. - KitaReporters
PETER Cklamovski (berdiri, kanan) bersama-sama dua tonggak Harimau Malaya (depan, dari kiri), Safawi Rasid dan Nooa Laine yang tampil 'berbelang baharu' berjenama Puma pada majlis pengenalannya di Bandar Sunway, Selangor pada 23 Januari 2025. - Kredit foto: FAM