TENGKU Hasyri Shah Meerza Tengku Hazman (kanan), perantara Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari yang bapanya, Tengku Hazman Raja Hassan bekas pemain Malaysia dan jurulatih beberapa kelab Pantai Timur. - Kredit foto: FAM


JIKA benih yang baik, dicampak ke tanah menjadi gunung malah kalau ke laut sekalipun, maka pulaulah timbulnya.

Peribahasa ini paling tepat untuk mengungkapkan penampilan trio generasi kedua bekas pemain kebangsaan dalam skuad Bawah 16 Tahun ke Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 Tahun ASEAN 2024 di Surakarta, Indonesia.

Mungkin masih begitu kurang yang mengenali siapa dia tiga remaja yang disapa dengan nama Rizzqin Uqail Muhammad Sany, Tengku Hasyri Shah Meerza Tengku Hazman dan Arayyan Hakeem Norizam dalam skuad yang akan beraksi dari 21 Jun hingga 3 Julai 2024 ini.

Namun bagi para peminat bola sepak tanah air ketika era 90-an dan pertengahan 2000, pasti mereka arif dengan nama-nama dan susuk-susuk seperti Muhammad Sany Fahmi, Tengku Hazman Raja Hassan dan Norizam Ali Hassan dengan Johor FC, Selangor, KL PLUS, MPPJ, Telekom Melaka, Olimpik 2000, Melaka, Perak dan Kedah.




DARI atas, Muhammad Sany Fahmi, Tengku Hazman Raja Hassan dan Norizam Ali Hassan bekas pemain Malaysia era 90-an hingga awal 2000-an.  


Sany, 46, ialah bekas penjaga gol negara dengan tujuh kap antarabangsa dari 2000 hingga 2003; Hazman, 47, pula perantara yang mengumpul 21 kap dari 1998 hingga 2005, manakala Norizam, 48, anak jati Kampung Tedong, Merlimau, Melaka yang pernah bergelar penjaring terbanyak Liga Perdana Satu 2001. 

Ketiga-tiga anak mereka adalah antara 23 pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih B-16 kebangsaan, Javier Jorda Ribera ke Kejohanan B-16 ASEAN untuk berdepan Timor-Leste, Australia dan Thailand dalam Kumpulan C.

Rizzqin dan Arayyan yang bermain sebagai bek kanan dan sayap kanan ketika ini turut mewakili skuad remaja Johor Darul Ta’zim FC, manakala Hasyri merupakan perantara Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari.


JAVIER Jorda Ribera (bertopi) memberikan arahan dan tunjuk ajar kepada skuad B-16 Malaysia dalam sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada 19 Jun 2024. - Kredit foto: FAM


Timor-Leste menjadi rintangan utama tim Ribera pada 23 Jun 2024 diikuti Australia pada 26 Jun 2024 – kedua-duanya di Stadium Sriwedari dan Thailand pada 29 Jun 2024 di Stadium Manahan.

Skuad B-16 negara hanya akan ke separuh akhir pada 1 Julai 2024 sebagai juara kumpulan atau naib juara terbaik antara A, B dan C. Penentuan tempat ketiga dan perlawanan akhir dijadualkan pada 3 Julai 2024.

Malaysia gagal ke separuh akhir edisi 2022 biarpun tanpa kalah setelah menewaskan Kemboja 3-0, seri 1-1 dan 2-2 dengan Myanmar dan Australia untuk mengutip lima mata di Stadium Sultan Agung, Bantul dan Stadium Maguwoharjo, Jogjakarta, Indonesia.  

Kapten bersama B-16, Aisy Aqasha Noorazhar dan Muhammad Amar Imran Uzaini Ashadi menganggap pasukan mereka sudah mempunyai ikatan yang kuat dan mengenali satu sama lain sejak berusia 14 tahun lagi.

“Kami membuat persiapan sejak Februari 2024 lalu – satu tempoh yang panjang dan mantap dengan latihan pesat oleh jurulatih Javier.

“Kami belajar beberapa perkara baharu walaupun ada pemain-pemain yang datang daripada pelbagai pasukan dan kelab. Masing-masing tahu apa yang jurulatih hendakkan,” kata Aqasha.


SKUAD B-16 Malaysia bergambar kenangan dengan barisan pegawai pasukan dan pemimpin FAM dalam majlis makan tengah hari di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada 19 Jun 2024. - Kredit foto: FAM 


Amar menambah, “kami tidak fikir siapa lawan sama ada getir atau tidak Timor-Leste, Australia atau Thailand dalam Kumpulan C sebaliknya kami fokus pasukan sendiri. 

“Perlawanan pertama (dengan Timor-Leste) kemenangan harus diperoleh.  Macam-macam boleh jadi (tetapi kami) harus dapat tiga mata, barulah (mahu) fikirkan perlawanan berikutnya,” kata bek tengah ini.

Tim Ribera turut akan berdepan Lebanon, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Laos pada 23, 25 dan 27 Oktober 2024 di Laos dalam saingan Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-17.

Hanya juara 10 kumpulan kelayakan ini dan lima naib juara terbaiknya akan layak ke pusingan akhir pada 2025 di Arab Saudi. - KitaReporters


PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Amin (tengah) memberi skuad B-16 Malaysia nasihat dan kata-kata perangsang menjelang pemergian mereka ke Surakarta bagi Kejohanan B-16 ASEAN 2024. - Kredit foto: FAM   

8
13
0
11
0

Copy Link: