Kehebatan Marvin Schaepper (Marv FPV) mengendalikan dron FPV (First Person View) dengan aksi memukau telah melayakkannya bergelar juara pertama Drone Race Asia atau Perlumbaan Dron Asia (DRA) 2023. Pelumba yang berasal dari Liechtenstein itu membawa pulang wang tunai RM8,425.

Perlumbaan dron trek vertikal tertutup pertama dunia telah berakhir pada 3 Disember 2023, setelah berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat, 1 Disember dan menawarkan wang tunai terkumpul sebanyak RM23,400 (US$5,000). 

Perlumbaan yang berlangsung di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur itu telah membabitkan 30 juruterbang kompeten dari Korea, Amerika Syarikat, Sepanyol, Thailand, Singapura dan juga Malaysia.

Para pelumba lain ialah Minjae Kim (Minjae) dari Korea dan Worawit Subsri (Pepper FPV) dari Thailand yang muncul sebagai pemenang tempat kedua dan ketiga serta memenangi wang terkumpul masing-masing, RM3,925 dan RM2,925. 

Pemenang keempat dan kelima pula adalah Christian Van Sloun (Amari) dari Amerika Syarikat dan Wan Ediyuzlan Wan Hussin (Vyn FPV) dari Malaysia.



Acara bersejarah ini dianjurkan bersama oleh Magic Beans Alchemy Sdn Bhd dan DRA Drone Racing Club serta diterajui Drone Race Asia, persatuan perlumbaan dron FPV yang berpusat di Kuala Lumpur. 

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh juga telah sama-sama merasmikan pembukaan rasmi acara perlumbaan tersebut pada Sabtu, 2 Disember.

Selain daripada perlumbaan kategori DRA Captain, terdapat juga perlumbaan daripada kategori Rookie. Para pelumba Malaysia telah ‘sapu bersih’ tempat pertama sehingga kelima kategori tersebut.

Lim Sheng Xiong (LX) muncul juara kategori Rookie dan membawa pulang wang tunai RM680. 

Manakala, Jaysuman Pusppanathan (Dr Jay) dan Ahmed Feizal Sulaiman Khan (Obot) muncul sebagai naib juara dan tempat ketiga. Masing-masing membawa pulang RM480 dan RM380.



Menurut Pengarah Magic Beans Alchemy Sdn Bhd, YY Choy, "Kami telah berjaya mendapat penyertaan pelumba dron dari seluruh dunia. 

"Ini memberi petanda positif bahawa perlumbaan dron seumpama ini akan mengukuhkan status Malaysia sebagai lokasi yang ideal pada masa akan datang.”

Presiden DRA Drone Racing Club, Johnson berkata, "Perlumbaan DRA 2023 adalah lebih daripada satu perlumbaan. Matlamat adalah menjadikan sukan perlumbaan dron sebagai sukan profesional di Malaysia. 

"Kita mahu mencari potensi muda. Sekali gus, berfungsi sebagai pemangkin kepada pelumba dron pakar untuk menjadi mentor dan model yang berperanan, memberi inspirasi kepada pelumba dron baharu untuk melonjak ke tahap yang hebat." 

Selain daripada itu, YY juga sangat berbesar hati dengan sokongan Kerajaan Malaysia terutama Kementerian Belia dan Sukan kerana telah memperuntuk geran padanan berjumlah RM72,000 untuk penganjuran perlumbaan dron trek vertikal tertutup. 

Sebagai rekod, perlumbaan seumpama ini adalah pertama di dunia. Selain daripada itu, komuniti Malaysia, Rakan Muda, MSAF, dan semua penaja yang mengambil bahagian telah membawa impak dan kejayaan besar untuk acara ini.

Hannah menyatakan peruntukan geran padanan tersebut adalah untuk membantu pasukan negara menaikkan ranking dunia mereka. 

Sukan seumpama itu akan menjadi platform generasi muda untuk meluangkan masa dengan aktiviti bermanfaat berbanding melakukan perkara yang sia-sia. 

"Mengikut Indeks Kesediaan Dron (DRI) 2023, industri dron Malaysia telah menduduki tempat pertama di Asia Tenggara. 

"Malaysia telah menggunakan dron untuk meningkatkan produktiviti dalam pelbagai sektor, termasuk pertanian, kartografi, dan lain-lain. 

"Di samping pelaksanaan praktikal ini, perlumbaan dron berkelajuan tinggi telah mendapat pujian antarabangsa, dan mengalami lonjakan populariti yang konsisten pada skala global,” kata Hannah lagi.



Sebagai rekod, perlumbaan dron akan melalui persaingan melalui dron FPV di trek lumba yang dilengkapi khas. 

Juruterbang lumba akan memakai gogal (google) FPV. Dron lumba dilengkapi dengan alat kawalan jauh dan kamera FPV. 

Perlumbaan realiti maya ini memberikan pengalaman yang menakjubkan. Dron lumba mampu memecut sehingga 120km/j. 

Acara ini merupakan pertama di dunia yang akan menampilkan perlumbaan di trek vertikal pada kadar ketinggian 20 meter. 

Juruterbang lumba akan diuji kecekalan mereka dengan trek unik, yang akan menekankan kelajuan dan ketepatan apabila mereka menavigasi halangan atau pintu yang ditetapkan dalam ruang tertutup dan terkurung.

DRA 2023 melabuhkan tirainya dan Malaysia sebagai tuan rumah pertama. 

Pada masa akan datang, perlumbaan seumpama ini akan menambah persaingan gaya bebas ke dalam senarai sorotannya. Perlumbaan ini akan diadakan pada setiap tahun, mengikut perancangan. - KitaReporters/Kenyataan Media


15
12
0
11
0

Copy Link: