Kumpulan Mr DIY (M) Berhad (Mr DIY) melancarkan edisi 2023 pertandingan seninya, kali ini dengan tema yang sangat menarik iaitu “Panas atau Sejuk” (“Hot or Cold”). 

Peruncit perkakas rumah kegemaran Malaysia itu mengundang bakat-bakat seni dari seluruh negara untuk meluahkan fikiran, interpretasi, bentuk, dan ekspresi kreatif mereka mengenai topik ini dan menterjemahkannya ke atas kanvas. 

Penterjemahan hasil seni tersebut boleh dibuat berdasarkan makna sebenar iaitu berasa panas atau sejuk, atau dengan pengertian dan konotasi yang lebih mendalam, misalnya dengan merujuk kepada topik seperti yang digunakan dalam sastera atau bahasa deskriptif, serta isu semasa seperti perubahan iklim dan alam sekitar. 

Pertandingan tahun 2023 ini menawarkan hadiah-hadiah tunai yang lumayan berjumlah lebih RM45,000 kepada 20 pemenang dalam pelbagai kategori, termasuk Hadiah Utama, Anugerah Pilihan Juri, dan Anugerah Pilihan CEO, serta beberapa kategori baharu termasuk Anugerah Seniman Kreatif, dan Anugerah Sorotan. 

Selain itu, lima pemenang akan diberi pengiktirafan dalam setiap kategori berikut - Bakat Muda Mr DIY, Anugerah Pilihan Ramai, dan Anugerah Penghargaan Khas. 



Ini adalah kali kedua Mr DIY mengadakan pertandingan seni ini. 

Pada tahun 2022, Pertandingan Seni Mr DIY menganugerahkan Hadiah Utama kepada Mohd Syazwan Abd Rahim, 28, dari Shah Alam untuk karya seninya 'Upside Down', berdasarkan tema tahun 2022 iaitu “Kita Jaga Kita. What’s Next Malaysia?” 

Mr DIY melancarkan pertandingan tersebut pada tahun 2022 dengan matlamat untuk menanamkan penghargaan terhadap seni Malaysia dalam kalangan orang ramai, yang seterusnya diharap dapat menyumbang ke arah pembangunan ekosistem kreatif yang kaya dan pelbagai di negara ini. 

Peruncit tersebut juga berharap dapat menyediakan platform yang mampan untuk memupuk dan membangunkan bakat-bakat seni di seluruh negara, sebagai salah satu cara mereka menambah nilai kepada Malaysia dan kehidupan rakyat Malaysia.

Bakat-bakat seni yang berminat untuk mengambil bahagian perlu menghantar penyertaan mereka di laman web Mr DIY: https://www.mrdiy.com/mrdiy-art-competition-2023 sebelum 10 Mei 2023, dan dengan menyertakan huraian ringkas mengenai karya seni mereka (tidak melebihi 200 patah perkataan). 

Kanvas fizikal juga perlu dihantar ke Ibu Pejabat Mr DIY di Seri Kembangan tidak lewat dari 7 Jun 2023. - KitaReporters/Kenyataan Media


8
13
0
14
0

Copy Link: