LAHAT Daduk Sulik meninggal dunia di Madinah ketika mengerjakan ibadah umrah. - Kredit gambar Nizaruddin Kadir.


RAMAI yang mengimpikan untuk meninggal dunia di Madinah, tempat Nabi Muhammad SAW wafat dan dimakamkan namun tidak ramai memperoleh peluang itu.

Justeru kematian bekas pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim, Lahat Daduk Sulik di Madinah pada Ahad, 2 Februari 2025 (jam 4.00 petang waktu Malaysia) boleh dianggap sebagai anugerah Allah SWT yang seharusnya dicemburui.

Menurut rakan karib Allahyarham, Nizaruddin Kadir, walaupun amat merasai kehilangan Lahat namun beliau bersyukur kerana sahabatnya itu dijemput Illahi di Madinah, bumi suci yang penuh barakah.


LAHAT Daduk (depan, dua dari kanan) sebagai Presiden JSL menyampaikan sumbangan kepada waris Md Jamil Ismail, sambil disaksikan barisan AJK JSL termasuk Nizaruddin Kadir (kiri sekali). Kredit foto PKBPPNJ.


“Bagi saya Allahyarham adalah insan terpilih kerana tidak semua orang berpeluang meninggal dunia di Madinah, sebaik-baik tempat untuk kita kembali kepada Allah. 

“Saya tak tahu apa rahsia Allahyarham sehingga mendapat keistimewaan itu, hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Tapi, sepanjang mengenali arwah, terutama sejak 10-15 tahun kebelakangan ini, beliau seorang yang warak, sangat taat kepada perintah Allah dan banyak membuat kebajikan.

“Sebagai Presiden Persatuan Kebajikan Lagenda Bola Sepak Negeri Johor (JSL), Allahyarham memang sentiasa mengambil berat kebajikan bekas pemain bola sepak Johor.

“Beliau berusaha mencari dana dengan pelbagai cara untuk membantu rakan-rakan bekas pemain terutama mereka yang sedang berdepan kesulitan hidup dan juga yang diuji dengan masalah kesihatan,” ujarnya. 


LAHAT Daduk Sulik ketika mewakili skuad pelapis kebangsaan, Harimau Malaysia. - Kredit foto: Koleksi RJ Rosli


Nizaruddin, 57, yang merupakan setiuasaha JSL berkata beliau mengenali Lahat sejak zaman remaja mereka terutama ketika berkerja sebumbung di Kewangan Usaha Bersatu Berhad (KUBB) serta menyarung jersi pasukan Johor pada 1990-an. 

“Allahyarham memang disenangi rakan-rakan kerana sifat peramah, berbudi bahasa serta rendah diri. Sebagai seorang yang lebih senior, beliau sentiasa menasihati kami.

“Sesuatu yang pasti kami rindui adalah kata-kata nasihat beliau. Setiap hari, beliau akan berkongsi pelbagai kata nasihat melalui grup WhatsApp yang saya yakin dikarang sendiri kerana ia amat puitis. Ramai yang mungkin tidak tahu, Allahyarham seorang berjiwa seni,” ujar beliau lagi.

Lahat, 62, dan isterinya, Normadiah Abd Majid, berada di Tanah Suci bagi menjalani ibadah umrah. Beliau yang mempunyai sejarah masalah jantung, diabetes dan strok ringan dilaporkan dimasukkan ke Hospital Al Zahra, Madinah pada Sabtu, 1 Februari 2025.

“Saya dimaklumkan oleh anak lelakinya, Afiq bahawa keadaan Lahat agak kritikal dan perlu dipindahkan ke hospital lain untuk menjalani pembedahan.

“Petang semalam (2 Februari 2025), kira-kira pukul 4 petang (waktu Malaysia), saya menerima berita kematian Lahat. Saya tidak pasti apakah dia sempat menjalani pembedahan atau tidak,” katanya.


LAHAT Daduk bersama isterinya, Normadiah Abd Majid mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci.


Sementara itu, rakan sepasukan Lahat dalam pasukan pelapis kebangsaan, Harimau Malaysia pada tahun 1980-an, Kamrulzaman Yusof mengimbas kembali zaman mereka bersama skuad pelapis negara itu.

“Allahyarham seorang yang happy go lucky. Beliau juga seorang penghibur dalam kalangan kami. Selalunya, selepas latihan, Lahat akan bermain gitar sambil kami menyanyi beramai-ramai.

“Ia salah satu cara kami bersantai selepas penat menjalani latihan. Saya dapati beliau memang mempunyai bakat seni tapi tidak mengembangkannya kerana lebih minat kepada bola sepak,” cerita Kamarul.

Menurut Kamarul, kali terakhir mereka bertemu adalah pada perlawanan bola sepak testimoni untuk mendiang Serbegeth Singh di Kluang, Johor, beberapa tahun lalu.


LAHAT Daduk (duduk, empat dari kiri) dan Kamarulzaman Yusof (berdiri, kiri) adalah antara pemain skuad pelapis kebangsaan, Harimau Malaysia pada Pestabola Merdeka 1984 yang turut disertai Kevin Keegan (duduk, tiga dari kanan).


“Beliau masih ceria seperti dahulu, cuma saya difahamkan ketika itu beliau baru pulih daripada serangan jantung. Tapi, beliau tetap bersemangat dan bermain beberapa minit pada perlawanan itu.

“Saya juga dapati perubahan ketara pada diri Allahyarham apabila beliau lebih terarah kepada agama. Boleh dilkatakan beliau ketika itu seorang yang warak.

“Bagi saya, kematian Lahat di Madinah adalah satu anugerah yang sangat besar Allah kurniakan kepada beliau. Semoga Allah merahmati rohnya serta menghimpunkan Allahyarham bersama golongan beriman,” ujar Kamarul.


LAHAT Daduk (tengah) menyerahkan tracksuit yang pernah dipakainya ketika bersama skuad pelapis Harimau kepada Norisyam Ramli untuk diabadikan dalam Muzium Bola Sepak Kebangsaan. - Kredit foto Muzium Bolasepak Kebangsaan.


Bagi pengasas Muzium Bola Sepak Kebangsaan, Norisyam Ramli, tracksuit yang dihadiahkan oleh Allahyarham untuk disimpan di muzium berkenaan akan menjadi khazanah yang sangat bernilai.

“Saya pertama kali bertemu beliau ketika persatuan bekas pemain Johor menjemput saya ke majlis sambutan hari raya mereka pada 2020. Beliau banyak berkongsi pengalamannya ketika bersama skuad pelapis Harimau Malaysia.

“Pada 2022, Lahat menghadiahkan tracksuit yang pernah dipakainya ketika bersama skuad Harimau Malaysia untuk saya abadikan di Muzium Bola Sepak Kebangsaan. Saya sangat berbesar hati dengan sumbangannya,” ujar Norisyam.


Kredit: Facebook Johari Yop


Lahat Daduk adalah produk bola sepak negara yang dihasilkan oleh skuad pelapis kebangsaan yang ketika itu dikenali sebagai Harimau Malaysia. Antara pemain yang sezaman beliau adalah Kamarulzaman Yusof, Razip Ismail, Dollah Salleh, Faridzul Kasim dan Azlan Johar.

Lahat pernah bergandingan bersama legenda bola sepak Liverpool dan England, Kevin Keegan mengemudi barisan tengah skuad Harimau pada Pestabola Merdeka 1984.

Keegan ketika itu dijemput oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia untuk melatih skuad Harimau Malaysia. Walaupun skuad pelapis negara itu gagal melangkah jauh pada pertandingan Pestabola Merdeka pada tahun itu (1984), namun kehadiran bekas bintang England itu meninggalkan impak besar kepada pemain-pemain muda negara.

Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas roh Allahyarham Lahat Daduk Sulik. Al-Fatihah. - KitaReporters

9
11
3
14
0

Copy Link: