KEJAYAAN Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meraih pingat emas serta memecahkan rekod Asia dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa wanita Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan pada Rabu, 26 Februari 2025 mengharumkan nama negara.

Pada perlumbaan final, Izzah mencatatkan masa 1 minit 6.229 saat (1:06.229s), memadam rekod Asia sebelum ini , 1:07.137s, yang dilakukannya sendiri semasa kelayakan pada sebelah pagi.

Lebih membanggakan, pelumba yang mendapat julukan The Pocket Rocketwoman itu menewaskan beberapa jagoan dunia seperti Kim Haeun (Korea Selatan) di tempat kedua, Guo Yufang (China), ketiga dan juara dunia dari Jepun, Mina Sato, sekadar menamatkan perlumbaan pada tempat keenam

Emas yang diraih itu menjadikan koleksi keseluruhan Izzah di ATC Malaysia 2025 sebanyak dua emas, satu perak dan satu gangsa, selepas turut cemerlang dalam acara keirin, pecut berpasukan dan pecut individu.

Seluruh rakyat berasa teruja serta bangga dengan kejayaan Izzah itu. Tapi, ramai yang tak tahu kejayaan yang dikecapi oleh gadis bertubuh kecil itu, bukan datang dengan mudah sebaliknya menerusi perjalanan yang panjang dan berliku.



Menelusuri perjalanannya dari awal, Izzah, 22, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, memulakan karier berpunca daripada satu kisah sedih. Ketika dia berusia 12 tahun, ayahnya kehilangan kerja, menyebabkan keluarganya berada dalam terumbang-ambing.

Ketika itu, tampil ibu saudaranya, Noor Alfizar Othman, seorang guru dan jurulatih lumba basikal negeri Kedah menawarkan diri untuk menjaga Izzah dengan niat meringankan beban keluarga berkenaan.

Tapi, tawaran itu datang dengan satu syarat iaitu Izzah mesti menyertai sukan berbasikal walaupun Alfizar sendiri menyedari anak saudaranya itu yang bertubuh kecil langsung tidak memiliki ciri-ciri seorang ahli sukan. Malah dia tidak mampu berlari.

Tapi, semangat Izzah mengatasi tubuhnya yang kerdil, daripada seorang yang terlalu naif tentang sukan lumba basikal, di bawah Alfizar, dia mula menunjukkan potensi.

Alfizar tidak dapat melupakan pengalaman awal Izzah sebagai pelumba basikal seperti pernah diceritakan kepada akhbar The New Straits Times (NST).


NOOR Alfizar Othman (kiri) adalah orang yang bertanggungjawab membentuk bakat Nurul Izzah hingga muncul pelumba terbaik Asia. - Kredit foto Majlis Sukan Negeri Kedah.


“Saya masih ingat pertandingan pertamanya pada Pesta Pulau Pinang.  Agak lelakar melihat Izzah di atas basikal yang terlalu besar untuknya dan helmet yang dipakainya senget sebelah

“Seseorang berkata Izzah dapat peluang menyertai pertandingan itu kerana saya ibu saudaranya. Saya beritahu Izzah ‘Adakah kamu dengar apa yang orang kata mengenai kamu? Kamu perlu buktikan mereka silap.’

“Ia sesuatu yang mencabar kepada kami. Izzah, Adibah (Siti Nur Adibah Akma Fuad) dan saya akan menyertai dalam pertandingan MTB (mountain bike) di seluruh negara dan terpaksa tidur dalam kereta.

“Ada ketika, saya hanya RM12. Saya beritahu mereka, kita perlu memenangi pertandingan atau kita tidak mempunyai cukup wang bagi mengisi minyak kereta dan membayar tol untuk balik.

“Adibah mendapat tempat kedua, menang RM1,000 dan Izzah, ketiga, dapat RM700,” cerita Alfizar.

Alfizar mendedahkan mereka menggunakan sebahagian wang hadiah kemenangan untuk membaiki basikal yang serba kekurangan berbanding basikal yang digunakan oleh lawan mereka.

“Basikal kami hanya mempunyai tiga gear dan kami berlawan dengan basikal yang bergear 23-speed. Ia benar-benar mencabar,” katanya seperti dilaporkan NST.


DARI budak kampung yang naif, Nurul Izzah bergelar pelumba basikal handalan.


Potensi Izzah mula menyerlah selepas setahun dibimbing oleh Alfizar apabila pada usia 13 tahun, Izzah memenangi gangsa Sukan Malaysia (SUKMA) dalam acara MTB XCO, menentang pelumba berusia antara 15-21 tahun.

Bakat Izzah lebih menonjol pada SUKMA 2018 apabila memenangi perak acara 500m dan gangsa dalam acara keirin.

Prestasi Izzah semakin meningkat selepas menyertai skuad trek elit kebangsaan di bawah bimbingan jurulatih John Beasley pada 2022. Pada usia 19 tahun, dia memenangi acara 500m dan gangsa acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2022 di New Delhi.

Pada tahun sama, buat pertama kali Izzah bertanding pada Sukan Asia 2022 yang berlangsung di Hangzhou dan membawa pulang pingat gangsa acara pecut berpasukan bergandingan dengan Nurul Aliana Syafika Azizan dan Anis Amira Rosidi.

Izzah memenangi empat pingat pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2024 termasuk emas acara 500m dan keirin, Ia melayakkan dirinya ke Sukan Olimpik Paris 2024. Meskipun gagal mencipta kejutan namun pengalaman pertama itu meningkatkan lagi keyakinan dirinya.



Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang percaya Izah memiliki potensi untuk mengikut jejak langkahnya bergelar antara pelumba terbaik dunia.

Pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu berkata, perjalanan karier Izzah hampir sama dengan permulaan ketika dia bergelar atlet kebangsaan, bertubuh kecil dan berasal dari kampung.

"Ada sesetengah pihak cakap yang saiz dia kecil dan susah untuk pergi jauh. Namun, saya bersyukur akhirnya dia dapat masuk ke program kebangsaan.

"Cerita kami hampir sama pada waktu permulaan. Berasal dari kampung dan saiz pun kecil berbanding atlet kebiasaan. Kemahuan tinggi Nurul Izzah membuatkan dia terus dapat meningkatkan prestasi dan sentiasa dahaga mengejar kejayaan.

"Sebagai contoh, ACC (Kejohanan Berbasikal Trek Asia) di India (2024), dia melakarkan sejarah apabila menang pingat emas (dua emas) di sana," kata Azizulhasni kepada BH Sukan.



Azizulhasni berkata pencapaian Izzah layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 adalah sesuatu yang membanggakan.

"Untuk layak ke Sukan Olimpik seawal usia ini adalah satu pencapaian yang sangat besar dan menunjukkan yang Nurul Izzah boleh pergi jauh. Sukan lumba basikal antara yang paling susah dan rumit proses kelayakan ke Olimpik.

"Saya layak ke Olimpik pada usia 20 tahun di Beijing dan lihat di mana saya berada pada hari ini dan saya harap Nurul Izzah juga dapat mengikut jejak langkah saya serta harap dia dapat buat lebih baik daripada itu," katanya lagi.



Sementara itu, Beasley turut mengakui bakat Istimewa dimiliki Izzah namun tidak menafikan ia adalah hasil didikan Alfizar.

"Adalah sesuatu yang positif apabila dapat melihat jurulatih seperti Fizat (Alfizar) membangunkan bakat seperti Izzah tanpa kemudahan velodrom untuk menjalani latihan di Kedah. Semua persiapan dilakukan di jalan raya dengan bimbingan jurulatih yang kreatif.

"Dia adalah individu yang berhak untuk menerima pujian di atas kejayaan Izzah," kata Beasley seperti dilaporkan media.

Kejayaan Izzah membuktikan sebutir permata jika digilap dengan baik akan kemilau sinarnya sekali pun dicampak ke lumpur!

Tapi, hakikat yang perlu kita akui, tanpa Noor Alfizar Othman, entah di mana gadis bernama Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, pada hari ini. Dialah (Alfizar) ‘hero’ sebenar dalam cerita ini! - KitaReporters

 

 

 

 

13
14
0
18
0

Copy Link: