Ketika negara meratapi kepergian Tan Sri Dr Ahmad Nawab pada Ahad, 24 Disember 2024, pada hari yang sama seorang lagi komposer tanah air, Othman Mohamed mengadap Ilahi.

Ramai peminat muzik generasi kini kurang mengenali siapakah Othman Mohamed, 65, dan apakah sumbangannya kepada muzik tanah air.

Sebenarnya Othman dianggap komposer dan pemuzik yang tidak suka membangga diri atau ‘low profile’.

Othman adalah pencipta melodi dan lirik lagu keramat Universiti Teknologi MARA (UiTM) iaitu ‘UiTM DI Hatiku’. Lagu korporat UiTM ini dinyanyikan dalam setiap majlis konvokesyen universiti itu.



Othman mencipta lagu itu ketika menjadi antara pelajar pertama kursus muzik di Jabatan Seni Lukis dan Seni Reka, ITM pada 1984. 

Othman merupakan alumni UiTM (dulu dikenali sebagai ITM), yang juga pelajar kumpulan pertama dalam jurusan Diploma Muzik pada 1984.  

Selain itu Othman  adalah pencipta lagu program ‘Bersamamu’ TV3 berjudul  ‘Wajah’ pada awal tahun 2000-an nyanyian Jaclyn Victor dan lirik Habsah Hassan. 



Othman juga pernah menghasilkan sejumlah lagu popular sejak akhir 1970-an. Antara lagu popular ciptaan Othman ialah ‘Jauh Di Sudut Hati' (Sudirman), ‘Di Hari Persandinganmu’, dan ‘Mengapa Perpisahan Yang Kau Cipta’ (Flybaits) dan  ‘Hanya Di Radio’ (Headwind).

Dan mungkin ramai yang mengenali penyanyi Adam Ahmad yang popular melalui lagu ‘Kau Pergi Jua’ pada 1984 dalam album keduanya bersama Omry Record. Lagu ‘Kau Pergi Jua’ adalah ciptaan Othman yang mempopularkan adiknya, Adam.

Ramai yang tidak tahu bahawa Adam dan Othman adalah adik-beradik. Ini kerana bin kedua-duanya berbeza. Nama sebenar ayah mereka adalah Ahmad @ Mohamed. 

Adam Ahmad meninggal pada 15 Mei 2014 ketika berusia 50 tahun.


Sempena Hari Raya 2024, pada Mei lalu, Othman mencipta melodi lagu 'Super Duper Raya' dengan lirik oleh Abdul Wahid Abdul Halim, 41, atau dikenali Prof Piko dendangan kumpulan Marionexxes.

Menurut Othman, ciptaan lagu itu sebagai sumbangan seni bagi menghargai dan bersimpati penderitaan rakyat Palestin terutama di Gaza.



Othman yang pernah mengalami gangguan saraf ‘slip disc’ beberapa bulan lalu dan tinggal sendirian di apartmennya di Seksyen 24, Shah Alam, Selangor. Namun anak-anaknya tinggal berhampiran. 

Othman meninggal dipercayai akibat serangan jantung dan sesak nafas. Jenazahnya dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pagi Isnin, 25 November 2024.

Walaupun jasadnya sudah tiada, namun Othman akan tetap diingati dengan sejumlah lagu popular ciptaannya.

Para pentadbir, petugas dan pelajar UiTM pasti akan mengingati Othman setiap kali lagu ‘UiTM Di Hatiku’ berkumandang. - KitaReporters

11
19
0
11
0

Copy Link: