Dr. X sertai Harimau Malaya! Edu sebagai fisioterapis! Ada 4 unsur Barca jadi Faktor X tim negara!
Published byEDU Martinez (kiri) dan Xavier Valle menjadi tenaga sokongan yang berpengalaman FC Barcelona terbaharu berkhidmat dengan Harimau Malaya. - Kredit foto: FAM
JANGAN salah sangka! Hanya namanya yang mirip Charles Xavier atau Prof. X dalam siri filem adiwira pecah panggung Hollywood, "X-Men"!
Sebenarnya Harimau Malaya bakal mengharungi Pestabola Merdeka Ke-43 dari 4 hingga 8 September 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil lebih mantap dengan sokongan dua bekas pakar kelab gergasi bola sepak dunia dan Sepanyol, FC Barcelona.
Edu Martinez dan Dr. Xavier Valle merupakan dua
nama besar yang akan menabur khidmat dengan skuad kendalian rakan senegara
mereka, Pau Marti Vicente ini masing-masing sebagai fisioterapis dan doktor
perunding apabila kem latihan pusat dibuka mulai 29 Ogos 2024.
Laman sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
menyebut, Martinez berpengalaman sebagai fisioterapis selama 12 tahun di FC
Barcelona sejak 2013 dan bertugas dengan pasukan utamanya dari Disember 2022
hingga Jun 2024 serta telah tiba di ibu negara, 27 Ogos 2024.
“Valle pula merupakan doktor pasukan Barca sejak
2004 dan menyertai pasukan utama kelab itu dari musim 2021/2022 hingga
2023/2024.
“Masing-masing akan bekerjasama dengan
fisioterapis FAM, Mohamad Harris Zafran Ahmad Haraman bagi sesi terapi dan
pemulihan kecederaan pemain-pemain negara dan pasukan perubatan di kem latihan
menjelang Pestabola.
“Valle walau bagaimanapun tidak hadir di Kuala Lumpur sebaliknya hanya sebagai perunding yang akan bekerjasama dengan pasukan perubatan skuad Harimau Malaya bagi meneliti setiap kes kecederaan pemain-pemain,” lapor siaran berkenaan.
PAU Marti Vicente (berkot hitam) dan Juan Torres Garrido (tiga dari kiri) serta barisan kejurulatihan Harimau Malaya. - Kredit foto: FAM
Valle juga pernah bersama Harimau Malaya di Gong
Badak, Terengganu sepanjang kem latihan pusat bagi dua perlawanan antarabangsa tahap
1 menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea yang dimenangi skuad
kendalian Kim Pan-gon ketika itu, 4-1 dan 10-0 pada 14 dan 20 Jun 2023 lalu.
Sejak itu, dia terus bekerjasama rapat dengan pasukan
negara walaupun ketika musim bola sepak Malaysia dengan memberikan pandangannya
tentang kecederaan pemain dan akan meneruskan peranan itu, tambah siaran tersebut.
Pau, 41, juga sebelum menyertai Harimau Malaya sebagai penolong ketua jurulatih pada 23 Mac 2022, merupakan bekas penolong jurulatih FC Barcelona B dari 2018 hingga 2021 malah dia kini dibantu oleh Juan Torres Garrido, rakan senegara yang juga ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun Malaysia.
Torres juga ialah bekas Ketua Pencari Bakat FC Barcelona bagi kawasan Catalunya dari 2016 hingga 2020.
JADUAL pertandingan Pestabola Merdeka Ke-43 yang menemukan lawan Asia Tenggara, Asia Barat dan Asia Tengah di 'kandang' Harimau Malaya. - Kredit foto: FAM
Filipina atau digelar Azkals diundi menjadi lawan sulung Harimau Malaya pada separuh akhir Pestabola pukul 9 malam, 4 September 2024 dengan si menang atau si kalahnya bakal berdepan Lebanon atau juara bertahan, Tajikistan dalam perlawanan akhir atau penentuan tempat ketiga, 8 September 2024.
Lebanon dan Tajikistan pula diundi sebagai pembuka tirai pukul 4.30 petang 4 September 2024 yang kesemua perlawanannya berlangsung dalam kalendar dan mempengaruhi ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Sepak mula perlawanan Malaysia-Filipina dan final Pestabola Merdeka 2024 ialah 9 malam manakala penentuan tempat ketiga antara pasukan yang kalah kedua-dua separuh akhir itu juga 4.30 petang.
Harimau Malaya kini menghuni ranking ke-134 dunia
manakala Filipina ke-147 dengan kali akhir menyertai Pestabola ialah pada 1972
dan pertemuan Siri Tiga Negara FAS pada 23 Mac 2022 di Singapura menyebelahi
pasukan kita, 2-0.
Lebanon (ke-116), bakal mula menguak pintu
Pestabola setelah menarik diri daripada edisi ke-42, 2023 kerana turut
bertembung Palestin dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia
2027.
Tajikistan di ranking tertinggi, ke-103, menghampakan tim Pan-gon 2-0 dalam final di Bukit Jalil untuk menjulang trofi pertandingan antarabangsa antara tertua Asia dan diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra sempena meraikan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. - KitaReporters