LEE Zii Jia membuat isyarat tangan pada kepala seolah-olah dia menang kali ini dengan ketahanan mental untuk menjawab ramai pengkritik prestasinya selama ini. - Kredit foto: MOM


SEBUTIR lagi pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 menguakkan pintu kem Team Mas dengan kejayaan perseorangan badminton lelaki, Lee Zii Jia di Arena Porte De La Chapelle.

Sesudah pasangan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menjelmakan yang sulung dan mempertahan gangsa sejak Tokyo 2021 pada 4 Ogos 2024, anak jati Alor Setar, Kedah itu pula memastikan podium kiri Olimpik Ke-33 ini turut bertuankan Malaysia. 

Zii Jia, 26, yang juga pilihan ketujuh Olimpik 2024, menumpaskan pemain India, Lakshya Sen 13-21, 21-16, 21-11 dalam tempoh 71 minit perlawanan penentuan pingat gangsa itu pada 5 Ogos 2024.


LEE Zii Jia menayangkan pingat gangsa perseorangan lelaki badminton Sukan Olimpik Paris 2024 - kedua dalam sejarah selepas Rashid Sidek di Atlanta 1996. - Kredit foto: MOM


Dia kini menjadi perseorangan kedua mengalungi Malaysia pingat gangsa badminton selepas Rashid Sidek dalam Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan ketiga selaku penyumbang pingat termasuk Datuk Lee Chong Wei (perak Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016).

Turut pernah menghasilkan pingat perak badminton Olimpik Malaysia ialah dua beregu lelaki, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (Atlanta 1996) dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong (Rio 2016) serta beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (Rio 2016) selain sebutir gangsa oleh Razif Sidek-Jalani Sidek di Barcelona 1992. 

Sebutir pingat gangsa Zii Jia di Paris ini turut menjamin ganjaran RM100,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN) selain RM2,000 secara bulanan daripada Skim Imbuhan Tetap Olimpik (SITO) sepanjang hayat.


LEE Zii Jia (kanan) membuktikan dia yang ketiga terbaik di arena badminton Sukan Olimpik Paris 2024 di belakang Viktor Axelsen (tengah, Denmark) dan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand. - Kredit foto: MOM


Seperti ketika kejayaan Aaron dan Wooi Yik, dua pingat gangsa Team Mas setakat hari ke-11 Olimpik Paris 2024 meletakkan mereka di anak tangga ke-61 senarai pungutan pingat yang berkongsi dengan Dominican dan Moldova.

Malaysia mengatasi jiran rantau Asia Tenggaranya, Indonesia yang masih bersandarkan sebutir pingat gangsa perseorangan wanita badminton.

Namun kontinjen pimpinan Datuk Hamidin Amin ini terus mengekori Filipina yang memungut dua pingat emas gimnastik artistik lelaki dan Thailand dengan sebutir pingat perak menerusi Kunlavut Vitidsarn yang turut mengalahkan Zii Jia dalam separuh akhir, 4 Ogos 2024. 

Pemain Denmark, Viktor Axelsen menghampakan Kunlavut 21-11, 21-11 dalam perlawanan akhir selama 52 minit selepas pertemuan Zii Jia-Sen untuk mempertahan pingat emas perseorangan lelaki Sukan Olimpik yang pernah dimenanginya di Tokyo 2021. - KitaReporters


LEE Zii Jia melompat sambil membuat pukulan kilas kepada Lakshya Sen. - Kredit foto: MOM


Ulasan Zii Jia: 

"Terus terang selepas saya kalah semalam (separuh akhir), sebenarnya saya tidak pasti sama mahu atau tidak pingat ini. 

"Terus terang betapa saya harapkan emas kerana inilah pingat yang masih Malaysia kempunan. Kita sudah banyak gangsa dan perak. 

"Terasa macam saya kena tamparan daripada satu mimpi lena yang indah. Ketika itu saya tidak boleh kenyang makan dan lena tidur. 

"Lakshya masih bagus dalam set kedua. Saya bingung juga ketika itu, apa lagi strategi yang perlu saya buat. Jurulatih saya (Wong Tat Meng) pun panik. 

"Selepas saya jadi pemain bebas, jadikan saya lebih matang, banyak yang berlaku. Saya tidak menjerit, melompat atau meraikan (kejayaan meraih pingat gangsa).

"Jangan putus asa dan cari strategi baharu adalah antara perkara pokok yang membantu kejayaan ini. Mungkin ini satu permulaan perjalanan saya."      


WONG Tat Meng (tengah) menurut Lee Zii Jia, seperti sudah panik melihat kekalahan anak buahnya dalam set pertama dan ketinggalan kepada Lakshya Sen pada set kedua. - Kredit foto: MOM


Laluan pingat gangsa Olimpik 2024 Lee Zii Jia:

Kumpulan G: Kalahkan Viren Nettasinghe (Sri Lanka) 21-14, 21-12, kalahkan Pablo Albian (Sepanyol) 21-10, 21-13.

Pusingan kedua: Kalahkan Toma Junior Popov (Perancis) 21-13, 24-22.

Suku akhir: Kalahkan Anders Antonsen (Denmark) 21-17, 21-15.

Separuh akhir: Dikalahkan oleh Kunlavut Vitidsarn (Thailand) 14-21, 15-21. 

Penentuan pingat gangsa: Kalahkan Lakshya Sen (India) 13-21, 21-16, 21-11.


LEE Zii Jia (kanan) bersalaman dengan Lakshya Sen selepas perlawanan selama 71 minit. - Kredit foto: MOM

15
10
0
21
0

Copy Link: