Onn Hafiz Ghazi (dua dari kanan) menyampaikan Notis 5A Tanah Rancangan Felcra Peta Temalek Fasa Kedua, Labis, Johor kepada salah seorang pemohon berjaya.
Onn Hafiz Ghazi (tengah) bertanya sesuatu kepada salah seorang penerima Notis 5A Tanah Rancangan Felcra Peta Temalek Fasa Kedua, Labis, Johor pada 23 September 2022.
PENANTIAN hampir 30 tahun 191 pemohon Tanah Rancangan Felcra Peta Temalek Fasa Kedua, Labis, Johor berakhir selepas mereka menerima Notis 5A yang disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Labis di Dewan Cha Thai Kor, Labis pada 23 September 2022 lalu.

Lagi cerita-cerita menarik berkaitan tanah rancangan Felcra

Onn Hafiz Ghazi turut menyampaikan sumbangan kepada golongan B40 di Parlimen Labis, dan turut kelihatan ADUN Tenang, Haslinda Salleh (bertudung merah); ADUN Bekok, Tan Chong (kiri) dan Pegawai Daerah Segmat, Kamal Hasrin Hashim (dua dari kanan). 
Md. Taufek Hasan, 54, salah seorang penerima tanah kurniaan pertanian yang telah ditanam dengan tanaman komoditi kelapa sawit itu menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan negeri yang sudi mengurníakan hak milik tanah tersebut kepada pemohon yang telah membuat permohonan sejak tahun 1989 lagi.
"Tempoh 30 tahun bukan satu tempoh yang singkat, ramai juga dalam kalangan pemohon yang meninggal dunia dalam sepanjang tersebut sebelum sempat permohonan mereka diluluskan selain tidak kurang juga yang sudah berputus asa.
"Saya sendiri yang dipanggil untuk proses temu duga pada tahun 2003 sudah berputus asa dan beranggapan permohonan saya tidak dipertimbangkan kerana tidak mendapat sebarang maklum balas dalam tempoh yang begitu lama," katanya.
Md. Taufek Hassan.
Namun katanya, dia bersyukur dan begitu teruja apabila menerima surat pemakluman bahawa permohonannya diluluskan beberapa minggu lalu sambil menyifatkan kurniaan tersebut sebagai rezeki anak-anaknya.
Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk menyerahkan kepada pengurusan Felcra untuk mengerjakan tanah kurniaan tersebut seperti rakan-rakan pemohon lain yang berjaya memandangkan rata-rata penerima tidak berkemampuan atau tidak berpengalaman menguruskan kebun kelapa sawit.

Onn Hafiz Ghazi (tengah) menerima replika cek berjumlah RM44,550 bayaran premium Tanah Rancagan Felcra Peta Temalek Fasa Kedua, Labis.

Rakannya, Mohamad Latif, 51, seorang kakitangan Majlis Daerah Labis (MDL) turut melahirkan rasa syukur atas pengurniaan tanah seluas tiga ekar yang sudah pun ditanam dengan tanaman kelapa sawit berusia kira-kira tiga tahun itu.

Katanya, penerima tidak perlu berbuat apa-apa untuk membanggunkan tanah pertanian yang mempunyai keluasan keseluruhan 585 ekar itu kerana semuanya sudah dilakukan oleh Felcra sebelum ini, malah mereka juga tidak perlu mengeluarkan wang poket untuk bayaran premium kepada kerajaan negeri kerana bayaran tersebut turut dibayar oleh Felcra.
Mohamad Latif.
"Terus terang saya katakan saya tidak mampu untuk mengerjakan plot tanah yang dikurniakan sekiranya menerima tanah yang masih belum dibanggunkan atas faktor kesihatan dan usia.
"Konsep ini pada pandangan saya adalah konsep terbaik yang bersifat menang-menang kepada kedua-dua belah pihak. Selain tidak membebankan penerima, langkah yang dilaksanakan juga mampu menyeragamkan pengurusan agar lebih teratur dan mudah," katanya.
Dia pada masa sama turut melahirkan keyakinan dengan kemampuan Felcra untuk menguruskan yang dikurniakan itu memandangkan pengalaman luas Felcra dalam kerja-kerja membangun dan menguruskan ladang-ladang kelapa sawit di seluruh negara. - KitaReporters

11
11
0
13
0

Copy Link: