Tahniah Zed Zaidi! Dilantik jadi ahli Lembaga Pengarah Finas! Janji bela nasib penggiat, anak seni!
Published byPelakon dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menjadi individu terbaharu yang dilantik sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 42, dilantik untuk tempoh dua tahun bermula 15 Ogos 2022 hingga 14 Ogos 2024. Dia mengganti Datuk Khaidhirah Abu Zahar (Dhirah Zahar) yang tamat tempoh khidmat pada 1 Januari 2022 hingga 31 Julai 2022.
Zed berharap pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah di Finas dapat membela nasib penggiat dananak seni tanah air.
Menurutnya, demi memartabatkan industri kreatif dia akan cuba memurnikan polisi, dasar, prosedur, serta hal berbangkit untuk dinikmati pemain-pemain industri.
"Alhamdulillah syukur, terima kasih Allah. Saya tahu pelantikan ini, bukan semua orang yang suka pada kita, tetapi dengan dugaan dan cabaran ini membuatkan saya lebih kuat untuk berjuang bagi membela penggiat dan anak-anak seni secara konsisten dan inilah asam garam dalam perjuangan.
"Terima Kasih Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa kerana memberikan kepercayaan dan amanah ini kepada saya.
"Terima Kasih kepada Pengerusi Finas Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang melihat kelebihan diri saya untuk membantu memartabatkan lagi Industri Kreatif Malaysia.
"Insya-Allah saya akan membantu Zurainah bagi memurnikan lagi polisi, dasar, prosedur, dan lain lain di peringkat dalaman Finas nanti agar dapat memberikan kelebihan dan manfaat yang lebih baik kepada pemain pemain industri," katanya.
Zed Zaidi menjadi Presiden Seniman sejak 2012 dan menjadi individu paling muda menjawat jawatan berpengaruh itu.
Ahli-ahli lain Lembaga Finas terdiri daripada Senator Datuk Seri Zurainah Musa (Pengerusi), Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim (CEO Finas), Datuk Seri Rosmadi Ismail, Datuk A Aida, Mastura Ahmad Mustafa, Adam Ham, Ahmad Ibrahim (Mat London), Shures Ratnakrishnan dan Idwan Ariff Abdul Rahman. - KitaReporters